Wednesday, February 8, 2012

KL-Today.com mohon maaf pada MB Kedah

KL-Today.com mohon maaf pada MB Kedah (8 Februari 2012)
Pada hari ini, pihak media Bernama dan TV3 melalui Buletin Utama jam 8.30 malam (8/12/2012) telah menyiarkan berita mengenai penafian Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Azizan Abdul Razak bahawa beliau tidak meletakkan jawatan sekaligus menafikan khabar angin mengenai perletakan jawatan berdasarkan laporan bahan tersebut di beberapa laman web sejak semalam.

Namun begitu, laporan tersebut oleh Bernama dan TV3 telah juga menyebut berita berkenaan telah disiarkan oleh laman KL-Today.com . Secara professional, pihak kami mengakui memang ada menyiarkan berita yang mendakwa Datuk Seri Azizan akan meletakkan jawatan di bawah tajuk ‘ Dalam 3 jam, Azizan bakal letak jawatan?’ semalam. Namun begitu, kami ingin tegaskan bahawa bahan berita berkenaan telah diambil sepenuhnya dengan hanya tajuk ditukarkan dari laman web mynewshub.my. Laman portal berkenaan menggunakan tajuk ‘MB Kedah Letak Jawatan Beberapa Jam Lagi? dengan bahan yang sama. Mukasurat itu boleh dicapai di alamat web:

http://mynewshub.my/2012/02/07/mb-kedah-letak-jawatan-beberapa-jam-lagi/


Kami di KL-Today.com menyiarkan bahan-bahan berita yang disediakan sendiri dan diperolehi dari laman web dengan harapan pihak pengunjung atau pembaca menilai sendiri kandungannya. Namun begitu, kami ingin memohon maaf pada Datuk Seri Azizan di atas penyiaran bahan tersebut sekiranya bahan tersebut menyinggung hati Datuk Seri. Kami berjanji di masa hadapan akan lebih bertanggungjawab di atas penyiaran bahan-bahan berita terutamanya melibatkan isu politik di negara ini.

Kami juga ingin menafikan dakwaan bahawa kami terlibat secara rasmi atau berkomplot dengan sesetengah pihak yang cuba menjatuhkan Datuk Seri Azizan sebagai Menteri Besar Kedah. Untuk pengetahuan semua, di KL-Today.com, kami melakukan yang terbaik supaya menjadi adil dan telus untuk menyiarkan berita-berita politik yang tidak berpaksi pada satu-satu kumpulan sahaja di negara ini. Kami yakin bahawa rakyat Malaysia sudah terlalu bijak untuk menilai bahan berita terutamanya melibatkan khabar angin.

Ketua Pengarang
KL-Today.com

No comments:

Post a Comment