Zaleha-bersama-ahli-keluarga

KUBANG PASU - Kesibukan dalam kerjaya tidak pernah menjadi penghalang kepada pengetua Sekolah Menengah Agama Al-Khairiah, Pedu, Kuala Nerang mendidik 12 anaknya sehingga berjaya.

Penerima Tokoh Ibu Mithali tahun ini, Zaleha Ibrahim, 59, berkata, kerjaya itu turut memberi peluang mendidik sendiri anak-anaknya yang pernah menerima pendidikan di sekolah menengah itu.

Menurutnya, beliau sentiasa menitikberatkan pendidikan agama untuk memastikan kecemerlangan 5,300 pelajar di sekolahnya dan menggalas tanggungjawab sebagai ibu kepada tujuh anak perempuan serta lima lelaki.

“Bagi saya amalan kita amat penting untuk membentuk keperibadian anak-anak serta menjadi contoh terbaik bagi mereka menjadi insan berguna bukan sahaja berjaya di dunia tetapi juga di akhirat.

“Amalan membaca surah Maryam, Yusuf, Luqman sejak mengandung serta memberikan anak susu ibu adalah resipi utama melahirkan anak yang cemerlang,” katanya kepada Sinar Harian selepas menerima anugerah Tokoh Ibu Mithali sempena Sambutan Maulidur Rasul 2012/1433 peringkat negeri Kedah, di Dewan Wawasan di sini, semalam.

Isteri kepada seorang imam masjid, Ismail Md Taib, Zaleha bersyukur kerana mampu memikul amanah yang diberi dengan sebaiknya dan percaya niat ikhlas dapat membantu meringankan beban dalam apa juga pekerjaan dilakukan.

“Kebanyakan anak saya memilih untuk melanjutkan pengajian dalam bidang Bahasa Arab kerana mempunyai asas agama di sekolah menengah dan saya sentiasa menyokong mereka memilih bidang pengajian bersesuaian.

“Saya sendiri tidak menyangka akan dipilih menerima anugerah yang baru pertama kali diperkenalkan pada tahun ini dan hanya mengetahuinya selepas dihubungi pejabat Jabatan Agama Islam Kedah,” katanya.

Menurutnya, kebanyakan anaknya sama ada lepasan Universiti Al-Azhar dan universiti tempatan memilih untuk mengikut jejak langkahnya menjadi guru dan juga pensyarah, tiga yang paling kecil masih meneruskan pelajaran di sekolah.

“Anak-anak perlu ditekankan dengan didikan agama sejak mereka masih kecil dan apabila meningkat dewasa mereka mempunyai pegangan agama yang kukuh dalam meneruskan kehidupan masing-masing,” katanya.