Wednesday, February 8, 2012

Tekan UMNO sampai detail macam nie.. kompom kancing gigi aihhh..!!!

Jelaskan isu pembangkang Umno bantu keluarga miskin P.Pinang


Pembangkang khususnya Umno Pulau Pinang digesa menjelaskan mengenai agihan RM1.1 juta Skim Pembangunan Kesejahteraan Rakyat (SPKR) yang kononnya diterima oleh 301 keluarga miskin d negeri berkenaan, kata Lim Guan Eng.

Ketua Menteri Pulau Pinang itu turut meminta Datuk Zainal Abidin Osman selaku Ketua Perhubungan Umno negeri merangkap Penasihat Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLBW) supaya menjelaskan mengenai 22 keluarga miskin kononnya dari Nibong Tebal dekat Seberang Perai Selatan (SPS) yang dihitung menerima kira-kira RM50,000 setiap keluarga dari peruntukan RM1.1 juta oleh kerajaan pusat.

“Hanya selepas 3 tahun, barulah Datuk Zainal sudi menjelaskan bahawa SPKR sebanyak RM1.1 juta diberikan bukan kepada 22 buah keluarga miskin tegar tetapi sebenarnya kepada 301 keluarga miskin.

“(Jika) 301 buah keluarga yang menerima RM1.1 juta ini, bermakna setiap keluarga miskin memperolehi RM3,654. Perlu ditanya, mengapa hanya 301 buah keluarga miskin yang mendapat faedah sedangkan ada lebih 700 keluarga miskin tegar di Pulau Pinang?

“Mengapa 400 buah miskin tegar (berbaki yang lain) tidak mendapat perhatian daripada kementerian Datuk Zainal?” soal beliau yang juga Ahli parlimen Bagan merangkap ADUN Air Puteh.


Beliau turut mempersoal kenyataan terbaru Zainal (gambar), iaitu peruntukan RM1.1 juta itu adalah sebahagian dari bantuan keseluruhan SPKR yang didedah kira-kira RM22.9 juta sejak tahun 2009 hingga 2012.

“(Jika benar) RM22.9 juta telah diberikan dalam lebih 3 tahun ini kepada 3,938 peserta miskin (maka) secara purata setiap keluarga dapat RM5,815.

“Ini menimbulkan persoalan macam mana 3,938 keluarga miskin dipilih oleh Datuk Zainal atau pihak kementerian persekutuan kerana masih ada ramai keluarga miskin yang tidak menerima bantuan RM5,815 tersebut,” ujarnya.

Beliau, bagaimanapun mengalu-alukan inisiatif kerajaan pusat melalui Umno membantu rakyat termiskin di negeri Pulau Pinang sekiranya ia benar-benar dilakukan sejak lebih tiga tahun lepas.

Isu ini timbul ekoran akhbar Berita Harian pada 26 Februari 2009 melaporkan bahawa RM1.1 juta diperuntukan untuk membantu 22 keluarga miskin tegar di negeri Pulau Pinang yang sehingga sekarang masih diteraju oleh Pakatan Rakyat.

Ekoran itu, Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Kebudayaan, Masyarakat Penyayang & Alam Sekitar, Phee Boon Poh diarahkan oleh Kerajaan Negeri Pulau Pinang untuk mendapatkan maklum balas lanjut daripada Zainal.

Pun begitu, Zainal enggan memberi maklum balas lanjut pada dua surat rasmi Boon Poh yang bertarikh 1 April dan 12 Mei 2009.

Tindakan tidak demokratik oleh Zainal itu mendorong Boon Poh yang juga Adun Sungai Puyu membuat laporan polis pada 31 Julai tahun yang sama, namun tiada sebarang tindakan pihak berwajib mengenai laporan polis tersebut.

Guan Eng dalam kenyataan terbaru masih mengarahkan Boon Poh untuk mendapatkan senarai nama serta maklumat mengenai keluarga miskin berkenaan yang kononnya menerima beribu-ribu ringgit daripada kerajaan pusat seperti yang diakui oleh Zainal.

Beliau berbuat demikian kerana beliau mahu membandingkan senarai penerima oleh kerajaan pusat dengan senarai keluarga miskin tegar yang sebenar dalam rekod Kerajaan Negeri Pulau Pinang.

Dijangka pihak zainal akan terus berdalih demi mengelirukan rakyat Pulau Pinang kononnya kerajaan pusat telahpun menyumbang antara RM3,654 hingga RM50,000 kepada sejumlah tertentu keluarga miskin tegar berkenaan.

http://notamerah.wordpress.com/2012/02/09/jelaskan-isu-pembangkang-umno-bantu-keluarga-miskin-p-pinang-cmlimguaneng/

No comments:

Post a Comment