Kawan-kawan saya dalam UMNO bercakap mengenai rasa cemas bila kerajaan yang dipimpin oleh UMNO menabur wang begitu banyak kepada rakyat. Bayaran RM100, RM200, dan sekarang ini RM500 sedang rancak dijalankan.
Tapi apa yang hendak dirisaukan? Bukankah ini hasil pejuangan UMNO dan bukti UMNO dan BN amat prihatin kepada rakyat?
Mereka bertanya kepada saya, bayaran-bayaran ini, adakah ianya meningkatkan peluang UMNO dan kerajaan BN menang? Saya cakap sudah tentu ia meningkat peluang- peluang untuk rakyat merasa sakit hati. Bila rakyat sakit hati, bertambah ramailah musuh-musuh UMNO.
Hah? Macam mana itu berlaku? Saya menyatakan bahawa dalam hal beri-memberi ini, UMNO selalu menghadapi masalah. Siapa yang menentukan siapa dapat RM100, RM200 dan RM500? Selalunya yang menentukan ialah ketua kampung.
Ketua kampung punya keutamaan ialah menyenaraikan adik-beradik, saudara-saudara terdekat, dan geng-geng yang sebulu dengan mereka. Golongan yang terpinggir lebih ramai daripada yang dapat imbuhan. Ini memang resam sesetengah ketua kampung. Semasa saya jadi ADUN dahulu, saya mempunyai masalah dengan ketua-ketua kampung yang seperti inilah juga- yang jadi pagar yang memakan padi.
Kalau buka kawasan pembesaran kampung, lot-lot tanah disapu mereka dan keluarga mereka sendiri. Kalau ada rumah rakyat, rumah PPRT, sanak-saudara didahulukan. Bahkan lot-lot tanah diberi kepada suku-sakat mereka yang tidak pun tinggal dalam kawasan pemberian tanah.
Apabila saham Felcra diberi oleh kerajaan- yang sepatutnya diberi kepada KEPALA keluarga, pemimpin kampung mendesak diberi kepada anggota isi rumah. Kalau keluarga nya ada lima orang, mereka mahu saham Felcra diberi kepada kelima-lima ahli keluarganya. Apa akan jadi bila perkara seperti ini dibiarkan? Ianya bermakna, lima ketua keluarga yang lain dinafikan peluang untuk dapat saham Felcra.
Nah , sekarang perkara yang serupa berlaku apabila pentadbiran Najib Razak membayar wang kepada rakyat. Ramai orang menerima wang tersebut tapi bilangan yang dinafikan hak untuk menikmati rezeki dari Najib Razak juga kian bertambah.
Jadi saya suka sangat Najib Razak buka lebih banyak ruang kebencian rakyat. Ini melanggar nasihat yang dia selalu beri kepada rakan-rakan dan ahli UMNO. Jangan buka terlalu banyak ruang untuk orang membenci kita.
Dan saya harap ada orang membawa perkara ini kepada mahkamah. Adakah pemberian wang ini suatu bentuk sogokan dan rasuah untuk mendapatkan undi rakyat?
Kepada saya, ianya satu bentuk rasuah yang dilakukan dengan terang. Duit dan wang ini bukan UMNO yang punya. Ianya duit yang datang dari hasil pendapatan kerajaan. Operasi menyampaikan wang tersebut sepatutnya dilakukan melalui pejabat-pejabat daerah. Kenapa wang tersebut disampaikan oleh ketua bahagian UMNO dan bakal-bakal calon dari komponen BN?
Di Sentul Kuala Lumpur, penyampaian wang RM500 ini menonjolkan bakal calon dari parti Gerakan yang akan menentang Tian Chua dalam PRU-13 nanti. Tapi jangan risau, kita sudah tahu ‘outcome’ PRU tersebut.
Tian Chua yang berani membaringkan diri di hadapan jentera dan kenderaan polis tidak mungkin dikalahkan oleh rasuah Gerakan dan UMNO.
Sukalah saya mengingatkan dalam soal beri duit dan wang ini- ianya bukanlah suatu perkara yang luar biasa. Bahkan, inilah bukti yang saya suka sebut sebagai satu-satunya cara dan kaedah yang DS Najib tahu dan gunakan untuk menyelesaikan masalah. Cara nya ialah membayar sana-sini. Itu dianya, cara parti UMNO dan pemimpin tertingginya menyelesaikan masalah.
Elok kita biarkan UMNO mengamalkan cara merasuah rakyat. Sebab sebuah parti seperti UMNO yang mempertahankan sokongan kepadanya melalui merasuah rakyat tidak akan kekal lama. Ini berbanding dengan parti politik yang mencerna dalam diri penyokong nilai-nilai, keyakinan dan kepercayaan kepada seruan perjuangan.
Saya mahu orang Melayu sedar bahawa UMNO tidak mempunyai seruan perjuangan. Alif Ba Ta UMNO (Agama , Bangsa dan Tanah Air) sudah lama disingkirkan dan digantikan dengan perjuangan kepentingan peribadi dan kelompok.
Adakah UMNO berjuang untuk kepentingan bangsa Melayu?
Ianya hanya suatu metos yang dibina oleh pemimpin-pemimpin haprak UMNO. Apabila keadaan cemas dan sesak, ketika itulah UMNO akan menjerit sana sini, bahawa hanya merekalah yang melindungi kepentingan bangsa Melayu, Agama dan Tanah Air.
Berhentilah daripada menipu bangsa Melayu.
Jika UMNO berjuang untuk kepentingan Melayu, maka tidaklah mereka menafikan hak bangsa Melayu mendapat royalti minyak di Kelantan dan Terengganu. Penduduk dalam dua negeri ini majoritinya Melayu, tapi mengapakah royalti minyak tidak diberi secara langsung kepada rakyat di kedua-dua negeri itu secara langsung?
Rakyat Kelantan dinafikan hak mendapat royalti hanya semata mata rakyat negeri itu menyokong parti PAS. Dalam kes negeri Terengganu, orang UMNO sendiri tidak percaya kepada pemimpin UMNO negeri untuk mengendali pemberian wang royalti minyak.
Orang UMNO tak percaya kepada orang UMNO sendiri kerana mereka tahu, jika royalti minyak Terengganu dikendalikan oleh Mat Said dan geng-geng, wang tersebut akan masuk ke dalam poket orang lain.
Maka nya, UMNO bukanlah memperjuangkan kepentingan bangsa Melayu secara keseluruhan.
Pertama, orang Melayu yang dimaksudkan oleh UMNO itu, tidak termasuk Melayu yang bukan dalam UMNO. Melayu yang dimaksudkan oleh UMNO ialah Melayu dalam UMNO itulah jua.
Dalam kamus UMNO orang Melayu hanya ahli UMNO yang tiga juta itu sahajalah yang layak digelar Melayu. Orang Pahang, bila tidak bersetuju dengan sesuatu pendapat akan berkata- kepala bapak awaok! Maka bila orang UMNO kata mereka berjuang untuk orang Melayu, saya orang Pahang akan berkata, kepala bapak awaok!
Kedua, daripada tiga juta ahli itu, UMNO berjuang untuk kumpulan terpilih. Jika cawangan UMNO mempunyai 50 orang ahli, ketua cawangan akan berjuang untuk 30 orang sahaja. Itu terdiri daripada yang sekabilah dengannya. Amalan ini dilakukan di peringkat cawangan, bahagian dan seterusnya pada peringkat induk.
Bayangkan sebuah parti yang membina kekuatannya di atas perpecahan yang bermula di peringkat cawangan lagi - adakah parti seperti ini layak bercakap mengenai perpaduan dan bersatu?
Dasar yang ada dan diamalkan oleh UMNO ialah dasar BUMIPUTERA - yang berada di hadapan mengaut dan memonopoli segala hasil pejuangan ialah putera-putera pemimpin, putera raja, putera ahli politik, putera ketua cawangan, putera ketua bahagian, putera ahli MKT UMNO dan putera-putera orang berkuasa dan ternama. Bumi? Anak Bumi ketinggalan di belakang PUTERA tanpa apa-apa selain dari memegang telur sendiri.
- Sakmongkol AK47
No comments:
Post a Comment