Tuesday, October 9, 2012

Graduan Tahfiz KUIN boleh lanjut pelajaran tanpa MQA

ALOR SETAR – Pengerusi Jawatankuasa Agama, Pelajaran dan Koperasi, Pembangunan Luar Bandar dan Pembasmian Kemiskinan, YB Dato’Mohamed Taulan Mat Rasul menafikan graduan Ijazah Sarjana Muda Pengajian Tahfiz Al-Quran dan Al-Qiraat Insaniah pada Konvokesyen 17 September lalu, tidak dapat melanjutkan pengajian atau memohon pekerjaan berikutan masalah ketiadaan MQA.

Beliau yang juga merupakan Ahli Lembaga Pengarah Kolej Universiti Insaniah berkata, proses permohonan akreditasi penuh program Ijazah Sarjana Muda Pengajian Tahfiz Al-Quran dan Al-Qiraat daripada Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) berjalan lancar dan kini di peringkat penilaian badan bebas yang dilantik MQA.

“Pihak kami masih menunggu tarikh yang sesuai daripada MQA untuk badan penilaian terbabit berkunjung ke Insaniah bagi proses seterusnya.

“Kita juga sudah melepasi beberapa peringkat, tidak mungkin perlu menunggu sehingga setahun untuk mendapatkan MQA. Jika permohonan baru mungkinlah tapi pihak kita telah mengemukakan permohonan yang sudah dikemaskinikan pada 26 September lalu.

“Lagi pun dokumentasi yang dihantar ke MQA September lalu merupakan permohonan peringkat ke tiga sejak Januari,” jelas beliau.

Menurutnya lagi, permohonan mendapatkan kelulusan menjalankan program dibuat dua tahun sekali manakala peringkat ke dua membabitkan permohonan akreditasi sementara yang diperoleh selepas pelajar memulakan pengajian.

“Mereka masih boleh memohon J-QAF dengan menggunakan transkrip dan sijil sementara Insaniah, tetapi untuk mengesahkan jawatan mereka perlu tunjuk ijazah yang ketika itu sudah memperoleh MQA.

“Pengesahan jawatan dibuat selepas tempoh tiga tahun berkhidmat dan dalam tempoh berkenaan mereka sudah memperoleh MQA,” terangnya lagi.

Selain itu sambungnya, sudah ada beberapa graduan kumpulan berkenaan yang berjaya melanjutkan pelajaran ke luar negara dan ini menunjukkan mereka tiada masalah untuk membuat pernohonan.

Penjelasan berkenaan diberi bagi menyangkal dakwaan mengatakan ada graduan Ijazah Sarjana Muda Pengajian Tahfiz A-Quran dan Al-Qiraat yang terpaksa bekerja sebagai pemandu teksi gara-gara sijil tidak diiktiraf. Selain itu kelewatan memperoleh MQA kononnya pihak mereka perlu meneliti dokumen terbabit dan akan menyerahkan kembali kepada Insaniah sekiranya terdapat kesalahan dan proses berkenaan didakwa mengambil masa hampir setahun.

1 comment:

  1. Tolong sikit:

    http://beritakuin.blogspot.com/2012/10/isu-ijazah-tiada-mqa-kembali-hangat.html

    ReplyDelete