Airnya masih diguna segelintir penduduk, dipercayai mampu rawat penyakit.
Setiap kawasan mempunyai sejarahnya tersendiri, begitu juga dengan nama daerah Pendang turut mempunyai kaitan dengan sebuah telaga bersejarah terdapat di pekan ini yang masih wujud sehingga kini.
Telaga sejarah atau lebih dikenali sebagai Telaga Gajah merupakan tempat gajah dijinakkan dimandikan pada masa dahulu. Air di telaga itu turut digunakan untuk kegunaan harian penduduk kawasan Pendang masa itu.
Telaga Gajah yang berada di Laman Warisan Majlis Daerah Pendang (MDP) merupakan telaga asal yang airnya tidak pernah kering walaupun di musim kemarau panjang.
Sinar Harian difahamkan ia tidak pernah kering kerana terdapat satu lubang menghubungkan air sungai ke perigi itu, namun penduduk tidak pasti sama ada lubang itu masih berfungsi atau tidak.
Telaga itu turut mencatat sejarahnya tersendiri apabila semua gajah mandi di situ adalah yang balik daripada menghantar ufti (bunga) emas ke negeri Siam memandangkan pada masa itu haiwan itu menjadi kegunaan utama pada zaman pemerintahan.
Mampu merawat penyakit
Beberapa penduduk yang ditemui Sinar Harian memaklumkan, air dari telaga itu masih digunakan segelintir penduduk yang mendakwa ia dapat merawat penyakit.
Zakaria Darus, 51, berkata, dia pernah mengambil air di telaga itu kerana mendengar ia dipercayai mampu menyembuhkan penyakit terutama bagi rawatan tradisional.
“Air di telaga itu masih jernih namun pada masa ini terdapat banyak ikan dilepaskan di dalamnya dan sukar untuk dicedok kerana kedudukan agak tinggi berbanding keadaan asal.
“Saya tidak tahu sama ada air itu betul-betul dapat menyembuhkan penyakit atau tidak kerana penyakit yang saya mahu ubati menggunakan air itu tidak berhasil, tetapi banyak mendengar bahawa air itu sangat bagus,” katanya.
Sementara itu, penduduk, Zainol Razak, 77, atau lebih dikenali sebagai Wa berkata, telaga itu dikorek seorang lelaki Cina pada zaman dahulu seluas 4.8 meter.
Ia bagi kegunaan penduduk selain tempat persinggahan gajah dari Titi Akar dan Padang Durian untuk mandi selepas membawa durian bagi menjalankan perniagaan di pekan itu.
Zainol berkata, penduduk akan mandi di situ menggunakan pencedok upih pinang selain menggunakan pam pusing untuk mengangkut air ke rumah.
Menurutnya, telaga itu satu-satunya tinggalan sejarah yang ada di pekan Pendang, namun keluasannya semakin bertambah selepas MDP menaik taraf telaga dan kawasan itu.
Penduduk luar tidak tahu
Sinar Harian difahamkan oleh MDP bahawa Telaga Gejarah itu dinaiktarafkan kira-kira penghujung tahun lalu sebagai daya tarikan Pendang yang sinonim dengan sejarah nama daerah itu.
MDP memaklumkan bahawa telaga itu dinaik taraf dengan lebih cantik untuk menarik ramai orang luar datang ke kawasan itu dan dapat mengetahui sejarahnya selain diwujudkan laman warisan bersebelahan telaga tersebut.
Seorang penduduk luar, Faridah Jaafar, 46, yang berasal dari Pokok Sena tidak pernah mengetahui kewujudan telaga sejarah itu walaupun sering datang ke kawasan berkenaan.
“Saya tidak tahu mengenai telaga ini dan pada hari ini baru saya tahu selepas melihat orang ramai mengunjungi kawasan ini,” katanya.
Penduduk Pendang, Siti Munirah Muhammad, 28, berkata, Telaga Gajah itu bukan sahaja tidak diketahui penduduk luar tetapi dia yakin ramai masyarakat setempat tidak menyedari kewujudan telaga itu dan sejarahnya.
Menurutnya, dia berpendapat pihak berkenaan sepatutnya merancang sesuatu atau mempromosikan lagi tempat sejarah itu supaya lebih dikenali kerana ia merupakan satu-satunya tinggalan sejarah masih ada di pekan berkenaan.
No comments:
Post a Comment