ALOR SETAR - Sebanyak 21,184 permohonan pemilikan tanah di Kedah diluluskan dalam tempoh tujuh tahun bermula 2005 sehingga 2011 bagi membolehkan pemohon mendapatkan geran tanah.
Pengarah Tanah dan Galian (PTG) Kedah, Datuk Mohamad Nor Rofie berkata, selepas kelulusan diberikan sudah menjadi tanggungjawab pemohon untuk menjelaskan bayaran ditetapkan kerana perundangan menetapkan hak milik (geran) hanya boleh didaftar setelah selesai semua bayaran.
Menurutnya, jumlah keseluruhan sebanyak 37,699 permohonan berbanding yang diluluskan kerana dalam tempoh berkenaan masih terdapat tunggakan sebanyak 16,515 belum diselesaikan sepenuhnya.
“Kita sentiasa memberi perhatian dengan mengambil inisiatif untuk mengurangkan masa proses bagi meningkatkan kuantiti penyelesaian walaupun terdapat beberapa faktor kekangan seperti bebanan tugas, teknikal, fizikal tanah, peralatan.
“Antara inisiatif dilaksanakan dengan mengadakan bengkel pelan tindakan menangani permasalahan pelupusan tanah bagi mencari kaedah terbaik menyelesaikan tunggakan permohonan tanah sedia ada,” katanya.
Beliau berkata, namun dari jumlah tunggakan berkenaan tidak semua permohonan boleh diproses kerana melibatkan kawasan hutan simpan, kegagalan pemohon untuk menunjukkan lokasi tapak yang dipohon, tidak kerjasama untuk kerja sukat tanah.
“Manakala bengkel khas Pentadbiran Tanah Negeri Kedah diadakan untuk mencari kaedah penyelesaian serta mempercepatkan proses permohonan tanah yang ada selain membincangkan aspek amalan serta perundangan.
“Kata juga turut mengambil langkah untuk mewujudkan sistem permohonan tanah secara elektronik iaitu E-Mohon. Kerajaan Negeri sudah meluluskan sejumlah peruntukan untuk tujuan itu,” katanya.
Menurutnya, sistem berkenaan kini di peringkat tawaran sebut harga dan Pentadbiran Tanah Kedah menyasarkan sistem itu dapat di aplikasi selewatnya pada Januari tahun depan.
“Sistem E-Mohon ini berpandukan kepada sistem E-mohon yang digunakan oleh Pentadbiran Tanah Negeri Terengganu.
“Apabila sistem berkenaan berfungsi kelak akan dapat memudahkan pemantauan proses, atau perkembangan fail oleh pengurusan bermula dari permohonan hingga ke peringkat pengeluaran hak milik tanah,” katanya.
No comments:
Post a Comment