Najib juga mengumumkan bahawa tol bagi lebuh raya Timur-Barat di persimpangan Salak dan Taman Connaught dijangka akan dimansuhkan Mei ini.
Ketika membentangkan Bajet 2011 tahun lalu, Najib mengumumkan tol bagi lebuh raya kendalian Plus akan ditangguhkan selama lima tahun.
Pemegang konsesi Lebuh Raya Kuala Lumpur-Karak dan Lebuh Raya Pantai Timur Fasa 1 ialah MTD Prime Sdn Bhd manakala syarikat konsesi Lebuhraya Hubungan Timur-Barat, yang menghubungkan Persilangan Salak dan Persilangan Taman Connaught adalah Metramac Corporation Sdn Bhd.
Mengenai tiada kenaikan tol bagi dua lebuh raya berkenaan, Najib meminta supaya tempoh konsesi tidak dilanjutkan dan tiada pampasan diberikan oleh kerajaan bagi semakan tol yang tertunggak itu.
Bagi penamatan konsesi tol untuk Lebuh Raya Hubungan Timur-Barat pula, beliau berkata, ia adalah penutupan lebih awal daripada tempoh yang sepatutnya iaitu pada 2018.
Katanya langkah itu juga tidak membabitkan pemberian sebarang pampasan.
Perdana Menteri berkata inisiatif penutupan awal tol itu akan memberi manfaat kepada kira-kira 39 juta pengguna lebuh raya tersebut.
“Ini bermakna pengguna lebuh raya tersebut tidak perlu lagi membayar tol. Tarikh implementasi penutupan tol, bagaimanapun akan berkuat kuasa setelah urusan dokumentasinya selesai, dijangka dalam bulan Mei 2011,” katanya.
Najib berkata inisiatif itu juga adalah manifestasi kesungguhan kerajaan untuk mencari penyelesaian berhemah berkaitan isu tol.
“Saya juga ingin menyeru agar inisiatif sebegini dapat dicontohi oleh syarikat pemegang konsesi yang lain demi kepentingan rakyat,” katanya.
Ditanya sama ada inisiatif-inisiatif yang diumumkan itu turut akan dilakukan di Lebuh Raya Utara-Selatan, yang dikendalikan oleh syarikat konsesi PLUS Expressway Berhad dan menjadi laluan utama pengguna di negara ini, Najib berkata perkara itu juga masih dalam pertimbangan kerajaan.
“Nanti dulu, satu persatu. Ada lagi. Saya ada banyak pengumuman akan datang” kata beliau.
No comments:
Post a Comment