Saturday, January 29, 2011

Kabel telefon sering dicuri

BALING – Penduduk Kampung Tandop Simpang Empat di sini, merungut apabila sering menghadapi masalah talian telefon dan Internet berikutan kabel telefon yang sering dicuri oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.

Kejadian terbaru berlaku, apabila kabel sepanjang 200 meter hilang. Penduduk mendakwa, ia dilakukan oleh individu atau sindiket yang tidak bertanggungjawab dengan menggunakan lori untuk mengaburi mata penduduk.

Penduduk, Khanit a/l Din Udun, 56, berkata, sebelum menyedari kabel itu dicuri, dia telah menghubungi Telekom Malaysia Cawangan Baling bagi membuat aduan mengenai gangguan talian telefon rumahnya.

“Dalam perjalanan untuk pergi ke Pekan Baling, saya ternampak wayar kabel di tepi jalan dipotong dan mengesyaki ia telah dilakukan sekumpulan individu yang tidak bertanggungjawab hingga menyusahkan kami.

“Saya syak mereka yang melakukan perbuatan ini dengan menaiki lori kerana terdapat kesan tayar pada rumput di kawasan kabel ini di sepanjang jalan,” katanya kepada Sinar Harian.

Menurutnya, dia percaya kegiatan itu dilakukan pada waktu malam sehingga awal pagi ketika penduduk masih tidur.

Menurutnya, penduduk sering merungut berikutan masalah itu yang kerap kali berlaku.

“Kita tidak sedar kecurian ini berlaku kerana jalan itu sering dilalui kenderaan berat setiap masa yang sering keluar masuk untuk menghantar bahan binaan.

“Kebanyakan penduduk menggunakan talian tetap untuk berhubung memandangkan liputan untuk telefon bimbit sukar diperoleh,” katanya.

Dia berkata, aduan kepada TM Baling juga telah dibuat agar tindakan segera dapat diambil.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan Dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JKKKP), Taman Seri Baling, Che Basah Ahmad, 50, kecurian kabel itu bukan sahaja berlaku di kawasan kampung, malah ia turut berlaku di taman perumahan.

Menurutnya, disebabkan masalah berkenaan, banyak pengguna telah terputus hubungan termasuk pengguna kemudahan Internet.

Sementara itu, jurucakap Telekom Malaysia (TM) berkata, pihaknya sering menerima laporan kecurian itu dan tindakan segera sentiasa diambil bagi mengatasi masalah berkenaan.

Namun, ia juga melibatkan kos yang tinggi untuk menggantikan wayar kabel yang hilang.

Menurutnya, TM sentiasa berusaha memberi perkhidmatan yang terbaik tetapi berikutan tindakan kumpulan yang tidak bertanggungjawab menyulitkan urusan penduduk dan juga pihaknya.[Sinar Harian]

No comments:

Post a Comment