Monday, January 31, 2011

Kerajaan sedia lakukan ‘swapping’ untuk bolehkan Siam miliki rumah

ALOR SETAR, 31 Januari - Rakyat keturunan Siam adalah Bumiputera tetapi mengikut undang-undang yang sedia ada mereka tidak dibenarkan membeli rumah-rumah yang dibina di atas Tanah Rizab Melayu.

Undang-undang ini bukan diwujudkan oleh Kerajaan hari ini tetapi yang sedia ada sebelum Pakatan Rakyat mengambil alih pemerintahan dan pentadbiran hari ini hanya meneruskan pelaksanaannya sahaja.

Demikian kenyataan oleh Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan, YB Dato’ Ir Phahrolrazi Haji Zawawi.

Kerajaan Negeri, katanya, tidak menafikan hak rakyat keturunan Siam untuk membeli rumah. “Ini kerana 50 peratus unit rumah di satu-satu taman perumahan yang dibangunkan adalah pegangan bebas yang terbuka kepada sesiapa sahaja rakyat negeri ini untuk membelinya termasuklah Bumiputera keturunan Siam,” ujarnya.

Mengulas laporan sebuah akhbar hari ini yang memetik segelintir penduduk keturunan Siam dalam Daerah Padang Terap tidak dibenarkan membeli rumah di Taman Seri Naka.

Laporan itu juga menyebut beberapa orang penduduk keturunan Siam di daerah Padang Terap tidak dibenarkan membeli rumah kerana tapak perumahan itu adalah Tanah Rizab Melayu dan mereka menggesa kerajaan mengkaji semula undang-undang itu.

“Kerajaan akan mengkaji isu ini dan kes yang berbangkit boleh diselesaikan dengan baik.

“Mereka boleh membeli rumah berkenaan dan kerajaan akan lakukan ‘swapping’ bagi unit-unit yang mereka beli dan akan diganti di tempat lain,” katanya.

Ujarnya, kaedah ‘swapping’ ini akan dilaksanakan dalam menangani kes-kes tertentu sahaja seperti menyelesaikan kes penduduk keturunan Siam untuk membeli rumah berkenaan.

“Isu ini bukanlah isu baru sebab rakyat keturunan Siam tidak dianggap sebagai Melayu walaupun mereka adalah Bumiputera dan mereka tidak berhak memiliki Tanah Rizab Melayu. Ini adalah peraturan sedia ada. Mereka tidak boleh beli atau memiliki tanah rizab, rumah atau kebun atas Tanah Rizab Melayu,” katanya.

Penduduk berkenaan boleh membeli rumah yang dibangunkan atas tanah berstatus pegangan bebas di mana-mana tempat kerana sebahagian besar tanah di Kedah adalah pegangan bebas.

Tambahnya, status mereka sebagai Bumiputera sepatutnya tidak menghalang daripada memiliki rumah sendiri dan beliau bersedia berbincang untuk menyelesaikan masalah ini.

No comments:

Post a Comment