Oleh: ZULKIFLI YAHAYA
Lagi catatan rekod Kerajaan negeri Pakatan Rakyat Kedah iaitu berjaya melangkau paras defisit bagi tahun ini sebanyak RM19 juta. Maknanya, bila tengok dalam akaun pada hujung tahun masih ada lebihan wang.
Kerajaan negeri tidak perlu menadah tempurung pada kerajaan Pusat untuk membayar gaji atau membiayai pembayaran menampung defisit. Cerita tadah tempurung ini pernah berlaku semasa kerajaan negeri di bawah pentadbiran BN dulu. Sekarang pun masih berlaku, cuma bukan Kedah sebaliknya kerajaan negeri yang dibawah pentadbiran BN.
“Awal tahun saja kita telah melangkaui defisit, jadi apa yang dirancangkan dalam Bajet 2011 dapat kita laksanakan, jika kerajaan persekutuan tak bagi pun kita boleh buat,” jelas Menteri Besar, Dato’ Seri Azizan Abdul Razak.
Ada lagi catatan menarik ialah hasil negeri Kedah tahun 2010 meningkat sebanyak 17.32 peratus, berbanding 2009. Hasil balak bagi tahun 2010 meningkat 562.5 peratus berbanding tahun 2007, walaupun diusahakan di atas keluasan yang sama. Peningkatan hasil bertambah dari tahun ke tahun sejak Pakatan mengambil alih.
Sultan Kedah dalam titah ucapan sempena Sambutan Hari Keputeraan baginda mengucap tahniah kepada Menteri Besar Kedah kerana berjaya menerajui pentadbiran dengan baik dan berjaya melaksanakan beberapa pembaharuan bagi meningkatkan tahap kesejahteraan hidup rakyat negeri ini.
Suasana ini, menurut baginda, telah memberi keyakinan kepada pelabur dan masyarakat perniagaan dengan kemasukan pelaburan asing dan tempatan bagi memajukan sektor pembuatan. Selain itu Langkawi Permata Kedah turut menjadi pilihan pelabur untuk memajukan produk pelancongan bertaraf antarabangsa.
Sultan sebagai Payung Negeri turut mengakui kehandalan Menteri Besar.
Baru-baru ini satu kajiselidik telah dibuat oleh sebuah badan bebas menunjukkan bahawa majoriti pengundi di Kedah masih mahu mengekalkan kerajaan Pakatan Rakyat Kedah. Ertinya dari bawah hingga ke atas, semuanya menyenangi kerajaan yang ada. Itulah barangkali yang sangat memeningkan BN sehingga memaksa orang nombor satu parti itu turun ke Kedah melancarkan serangan.
Presiden Umno turun ke Sungai Petani melancarkan slogan ‘BN Menang, Kedah Senang’. Semua ahli Umno seluruh Kedah dikerah untuk hadir, malangnya kehadiran tidak sampai lima ribu orang. Apa yang dicanangkan Najib adalah bahan temberang lama yang diulang-ulang.
Agak melucukan apabila berkali-kali Najib bertanya hadirin, “Adakah kerajaan negeri (Pakatan) menunaikan janji yang dibuat dalam pilihanraya?” orang ramai buat tidak peduli. Mungkin kerana kasihan melihat dia bertanya soalan berulangkali, barulah soalannya dijawab dengan terpaksa oleh pemimpin-pemimpin Umno negeri sendiri dengan perkataan “Tidak.” Lemah bunyinya, kerana BN sendiri sedar bahawa sebahagian besar janji-jani manifesto Pakatan Rakyat telah ditunaikan.
Seperti Dr. Mahathir, Najib juga mengakui bahawa BN sukar merampas Kedah jika mereka berpecah sesama sendiri. Pengerusi BN itu tidak akan menyebut isu perkelahian dalaman parti mereka jika ianya tidak wujud. Faktor perpecahan dalaman terbukti menjadi sebab penting BN kalah pada 2008. Perpecahan yang sedang dan bakal berlaku lebih sengit. Jangan harap pihak yang disabotaj dulu sehingga kalah, akan datang menyondol dengan tebal untuk menyokong seterunya dalam parti yang pernah mengkhianatinya dulu.
Harus diingat bahawa tahun 2008, PAS dan rakan Pakatan hanyalah pembangkang, modal cuma air liur. Sekarang PAS sudah boleh bersama rakyat di mana-mana kerana mempunyai rangkaian lengkap di semua peringkat, dari atas hingga ke akar umbi iaitu; exco, ahli majlis kerajaan tempatan dan Majlis Ketua Kampung. Rakyat sudah merasai air tangan kerajaan Pakatan Rakyat. Maka laluan untuk BN menjadi gelap, sempit dan berliku.
Najib turun ke Sungai Petani, kawasan di mana ahli-ahli Umno membaling kerusi dalam mesyuarat agung bahagian. Dia mengakui secara jujur bahawa semua pemimpin yang bertelagah itu adalah ‘orang-orangnya’. Itu baru cerita dalam satu kem iaitu kem Najib. Orang Muhyiddin Yasin atau lain-lain pemimpin Umno belum masuk campur. Kalau bertempur semua kem-kem dalam Umno, maka lagi hancur berkecailah Umno Kedah.
Isu yang berlegar dalam Umno sekarang ialah jika BN menang, Menteri Besarnya ialah Datuk Ahmad Bashah Md Hanipah, Pengerusi Perhubungan Umno kini. Ia sudah menjadi bahan persendaan sebahagian besar kakitangan kerajaan negeri kerana mereka kenal siapa Mat Bashah. Dalam Umno sendiri beliau telah dibelasah habis-habisan oleh penyokong BN dalam medan maya. Itulah untung ruginya revolusi informasi melalui media kedua, segala isu dalaman organisasi tidak boleh dibendung. Seantero dunia tahu bahawa Umno Kedah sedang berpecah dan Mat Bashah tidak dapat diterima secara solid oleh seluruh kepimpinan Umno negeri.
Perkembangan terbaru semua ceramah politik Pakatan Rakyat secara terbuka dilarang di Kedah. Sewaktu Najib berkempen di atas pentas BN di Sungai Petani, ratusan polis berkawal di Tualang, Pokok Sena untuk menghalang Datuk Mahfuz Omar dari berceramah. Ruang demokrasi makin disempitkan.
Pilihan yang ada sewaktu segala maklumat benar disekat dari sampai ke pemikiran rakyat, maka menyemarakkan perpecahan dalam Umno sepatutnya menjadi alternatif untuk meraih ‘undi tidak ikhlas’ (undi protes).
Soalnya bagaimana untuk mengekal dan menyemarakkan lagi perpecahan dalam Umno/BN? Ia perlukan perancangan.
No comments:
Post a Comment