Thursday, January 27, 2011

Kerajaan Negeri Kedah janji teliti masalah masyarakat Siam

ALOR SETAR - Kerajaan Negeri akan meneliti masalah permohonan tanah untuk tujuan pertanian oleh masyarakat Siam di negeri ini bagi mengetahui punca sebenar kesukaran mereka mendapatkannya.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Datuk Ir Phahrolrazi Zawawi berkata, aduan masyarakat Siam mengenai kesukaran memperoleh Sijil Pertanian Siam yang diperlukan bagi membolehkan mereka memohon Tanah Rizab Melayu perlu diberikan perhatian memandangkan perkara itu kebiasaannya diuruskan bahagian Pentadbir Tanah dan Daerah di setiap kawasan.

Menurutnya, kebiasaannya permohonan yang dibuat di bahagian itu tidak dipanjangkan ke pengetahuan Kerajaan Negeri setelah dianggap tidak layak.

“Setakat ini, saya masih tidak dapat sebarang aduan berkenaan perkara itu daripada mana-mana individu berketurunan Siam.

“Saya juga meminta mereka datang menemui saya di pejabat bagi memberi penjelasan lanjut berkenaan isu ini,” katanya sewaktu dihubungi Sinar Harian semalam.

Phahrolrazi berkata, pihaknya tidak menafikan terdapat ramai individu dari golongan Siam yang memperoleh Tanah Rizab Melayu dengan menggunakan Sijil Pertanian Siam.

“Bagaimanapun, Kerajaan Negeri tidak menolak kemungkinan untuk menyerahkan tanah kepada masyarakat Siam bukan melalui Rizab Melayu sebagai alternatif untuk mengurangkan bebanan kepada mereka,” katanya.

Sebelum ini, Kerajaan Negeri digesa menyelesaikan masalah Sijil Pertanian Sian yang menjadi penghalang kepada masyarakat keturunan itu meneruskan bidang pertanian yang menjadi sumber ekonomi negeri.

Sementara itu, Ahli Dewan Negara, Senator Boon Som Inong berkata, masyarakat Siam percaya tempoh menunggu yang lama bagi mendapatkan sijil itu antara satu hingga tiga tahun tidak wajar dan perlu dipercepatkan.

“Permintaan masyarakat Siam dianggap wajar kerana mereka mahu diberi peluang sama seperti rakyat lain yang menyahut seruan kerajaan membangunkan ekonomi negara melalui sektor pertanian,” katanya yang juga Penasihat Penyelaras Pembangunan Masyarakat Siam Pendang.

No comments:

Post a Comment