Monday, January 31, 2011

Husam | UDA | Blogger

Arked Uda Mesti Kekal

Ada blogger tersepit ekornya bila Kerajaan Negeri Kelantan umumkan akan mengambil balik tanah Uda di Kota Bharu.

Dari 'lubang kubur Nik Aziz' sampai kepada 'aku akan panggil engkau penipu' berhamburan keluar. Kenapa mesti panas baran dan sensitif melampau?

Teori 'kerugian ketiga' kononnya akan berlaku jika tanah Uda itu diambil balik. Berapa pula kos akan terlibat.

Menjadi blogger bukan bererti kita faham segala-galanya dan punya lesen besar untuk melanyak semua perkara. Kitalah super hero maha betul dan orang lain hanya penghuni lubang kubur yang terkebil-kebil.

Ambil balik tanah Uda - kesudahannya rugi akan jadi lebih besar.

Semudah itukah? Saya tanya sekali lagi, semudah itukah?

Kalau semudah itu kerugian boleh berlaku dan blogger berkenaan nampaknya amat handal bab untung rugi, sepanjang kareer beliau venture di sana sini, rekod beliau untung saja? Ada rugi sekali sekala. Macam mana boleh rugi? Dalam handal ada kurangnya, bukan?

Tanah prime seluas 1.5 ekar di tengah bandar Kota Bharu dengan muka hadapan jalan, tidak boleh dijanakan dengan komponen komersial yang boleh janakan keuntungan, selain memenuhi tanggung jawab menyediakan kemudahan premis perniagaan untuk peniaga kecil dengan harga yang berpatutan?

Blogger bukan pemaju.

Sudut penjanaan pembangunan atas tanah sebegitu berharga tentulah bukan kepakaran beliau. Beliau hanya nampak berapa harga tanah kena dibayar dan tak nampak berapa penjanaan dari tanah yang dibayar itu. Kesian.

Jika tidak mengapa Uda sendiri, pemilik tanah itu sekarang, menghantar proposal untuk membangunkan tanah itu dengan pangsapuri 17 tingkat? Katakan jika pangsapuri itu dimajukan oleh syarikat lain selepas mereka membeli tanah itu dari Uda dengan harga kurang sepuluh juta, jika keuntungan bakal diperolehi lebih sepuluh juta, syarikat itu sudah untung, bukan rugi. Apa lagi kalau keuntungan adalah lebih besar dari itu atau komponen pembangunannya berbeza dan lebih menguntungkan.

Tapi persoalan pokok dari cadangan pembangunan pangsapuri Uda itu di sini ada dua;

a. Ke mana peniaga kecil yang telah bermukim di situ selama ini akan pergi?
b. Kenapa Uda lari dari fungsi asal penubuhannya untuk menempatkan peniaga Bumi di tengah bandar? Kenapa tidak dibina ruang niaga mencukupi berharga rendah untuk peniaga di situ? Alih-alih datang dengan cadangan pangsapuri yang tidak ada kena mengena dengan fungsi asalnya menyediakan premis perniagaan di bandar-bandar.

Kerana itulah, enam tahun silam Uda mengeluarkan notis kepada semua peniaganya untuk berpindah dari situ. Berpindah ke mana? Ke mana-mana mengikut peniaga itu sendiri. Tiada penyelesaian, hanya notis pindah keluar.

Sedangkan asal usul tanah PT 207 Seksyen 11 bernilai prima itu diberi oleh Kerajaan kepada Uda pada tahun 1984 lagi ialah untuk membina penempatan kekal peniaga kecil. 27 tahun berlalu. Lihat lah keadaan Arked Uda itu selepas 20 tahun.... Menyedihkan.

Mungkin blogger itu dah lama tak berkunjung ke KB. Terlupa betapa dhaifnya Arked itu.

Atap silih berganti tetapi bangunan tuanya kian lusuh. Dari penempatan sementara lebih 20 tahun dulu, kini peniaganya dinotis untuk keluar tanpa penyelesaian.

Apa? Mahu Kerajaan Negeri berputih mata?

Itulah asalnya peniaga ini akan ditemnpatkan di Bazar Tok Guru. Memikul beban peninggalan Uda yang sudah lari dari matlamat asalnya.

Bila beban Uda terus menerus dipersalahkan kepada Kerajan Negeri, mengapa tidak kita melihat penyelesaian dalam ruang yang lebih besar?

Bila nanti ruang niaga yang mencukupi untuk peniaga Arked Uda telah siap bersama komponen komersial yang lain untuk subsidi silang projek itu, peniaga lain di Bazar Tok Guru boleh menikmati ruang niaga yang lebih besar seperti hasrat mereka.

Lihat apa berlaku di Tanjung Tokong di Pulau Pinang. Saya agak faham isu ini kerana telah beberapa kali melawat dan berdialog dengan orang Melayu yang menjadi penduduk tetap di situ turun temurun sudah ratusan tahun. Sekarang mereka dianggap sebagai setinggan atas tanah tempat tinggal mereka turun temurun.

Tun Razak yang menubuhkan Uda untuk membela orang Melayu terutama di bandar-bandar telah menganugerahkan tanah-tanah prima di Pulau Pinang termasuk di Tanjung Tokong dengan fee nominal. Harapan masa itu ialah Uda boleh membangunkan tanah ini dengan modal yang diberi oleh Kerajaan dan dengan itu harganya mampu dibeli oleh orang Melayu.

Apa jadi? Silal lah blogger berkenaan berkunjung ke sana. Sebahagian tanah prima di tepi pantai telah dibangunkan dengan kondomium mewah dan secara otomatik terjual kepada orang lain. Orang Melayu terkebil-kebil. Kini, baki orang Melayu yang ada disitu akan dianjak dari baki tanah yang ada.

Jika itu falsafah pembangunan yang hendak dibawa ke KB, baik Kerajaan Negeri sahaja campur tangan dan melindungi peniaga sedia ada berapa pun kos yang perlu dibelanjakan. Lebih-lebih lagi, dengan gabungan komponen yang betul, kedua objektif sosial tidak terkorban oleh objektif komersial.

Adakah itu rugi? Adakah itu penipu?

Saya boleh meneka kenapa blogger berkenaan terasa ekornya tersepit.

Maklumlah sekarang ia jadi bos blogger pihak sebelah sana untuk hentam Kerajaan Negeri. Mestilah nak tunjuk bakat.

Lagi pula, Uda di bawah jagaan menteri dari Kelantan. Bila tersentuh kegagalan Uda, tersentuh menteri berkenaan. Pantang.

Nampak sangat alpa menteri itu pula. Apa Uda sudah buat kepada orang KB? Setakat tangguh notis satu tahun?

Kalau notis itu tak keluar, tak payah sambung satu tahun. Kenapa notis mesti dikeluarkan??? Kalau pun Uda tak nak majukan dengan premis tetap yang baru untuk peniaga itu, biarkan sahaja mereka kekal di situ. Baru lah tak timbul masalah. Itu yang sensitif. Saya pun faham. Lubang kubur ada di mana-mana dan setiap orang ada lubang kubur masing-masing. Jangan seronok sangat nak malukan orang.

Tapi kalau blogger ini cukup 'power' dan berjiwa rakyat, beliau patut suarakan supaya Uda kekalkan peniaga itu di situ sampai kiamat. Saya akan sokong. Semoga lubang kubur semua kita jadi lebih luas.....

Bagi pihak saya, saya telah menggunakan sedikit sebanyak kedudukan saya untuk menangguhkan kebenaran pembangunan oleh MPKB kepada Uda atas tanah itu selama lebih lima tahun. Kalau tidak, peniaga di situ sudah jadi pelarian.

Uda memohon sejak 2005. Kita tangguhkan dan tangguhkan kebenaran itu. Namun, ia bukan penyelesaian. Tidak ada perubahan konsep pembangunan Uda. Penyelesaiannya ialah mengambil balik. Maaf. Kerana saya tidak rela peniaga yang telah pernah dihalau dari depan bangunan UMNO Kelantan berantakan satu masa dulu sekitar tahun lapan puluhan sekali lagi dipermainkan. Ia sejarah yang panjang. Saya sendiri saksikan detik-detik memilukan itu hampir tiga puluh tahun lalu. Masa itu, saya masih muda remaja. Ia kekal menjadi sebahagian dari kefahaman saya apa itu penindasan.

Alang saya menulis, izinkan juga saya sentuh beberapa sentuhan lain blogger berkenaan ke atas saya sebelum ini.
Saya memang ada menjemput beliau bersama rakan lain untuk minum kopi satu malam. Malam di mana berita DSAI akan didakwa atas kes liwat yang berjalan sekarang. Kebimbangan saya masa itu ialah DSAI akan ditahan di lokap sampai keputusan kesnya dibuat. Bagaimana keadaan perjuangan PR jika itu berlaku? Kami membinacngkan scenario itu.

Alih-alih kononnya saya bersetuju DSAI memang melakukan perbuatan itu.

Kedua, konon nya saya mengatur YB Penasihat Undang-Undang Negeri bertemu Tok Guru untuk menjadi kambing hitam dalam kes perlantikan menantu Tok Guru. Kononnya saya sanggup buat kerja salah kerana nak pertahankan Tok Guru.

Beliau boleh libatkan nama saya. Sekalipun menjejaskan nama baik, saya mampu bertahan. Itu sebahagian dari lumrah perjuangan. Tidak luput dari ingatan saya munajat Saiyidina Ja'afar As Sadik, antara lain;

'Dan betapa banyak nikmat yang Engkau kurniakan kepadaku, tetapi sedikit sekali aku mengsyukuri, dan betapa Engkau mengujiku tetapi sedikit sekali aku bersabar,
namun betapa sedikit sekali kesyukuranku pada Mu atas banyaknya nikmatMu pada ku, Engkau tidak menegah nikmat itu berterusan melimpahiku, dan betapa sedikit sekali kesabaranku atas ujian yang Engkau timpakan ke atas ku, namun tiada kemurkaanMu ke atasku......"

Tetapi sewenang-wenang membabitkan nama baik pegawai kerajaan untuk keenakan berblog, tolonglah hormati kemulian diri mereka. Mereka tidak punya peluang bersihkan diri dan terpaksa memendam rasa.

Walau bergelar blogger di alam maya, bumi ini juga yang kita pijak dan tempat kembali kita adalah hari semua akan dipersaksikan.

YB Husam Musa
http://cetusan-hati.blogspot.com

No comments:

Post a Comment