Saturday, January 29, 2011

POKOK SENA - Masa niaga terhad, untung kecil

POKOK SENA - Baru sahaja selesai isu rasa tidak puas pihak peniaga dengan tindakan tegas penguat kuasa Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS) yang merobohkan gerai haram dan mengangkut peralatan berniaga di pasar Pekan Pokok Sena, di sini, isu lain pula timbul.

Bagaimanapun rata-rata mengakui bahawa tindakan tegas yang dilaksanakan penguat kuasa bertujuan mendidik selain menjaga keselamatan pengguna jalan raya berdekatan pasar berkenaan.

Namun kini, peniaga bingung memikirkan tempoh perniagaan yang dikatakan terhad iaitu bermula sekitar jam 7 pagi hingga 12 tengah hari dan memohon agar ia dipertimbangkan.

Peniaga sayur yang enggan dikenali berkata, masa berniaga yang dihadkan sehingga waktu tengah hari hanya membuatkan mereka meraih keuntungan yang kecil.

Menurutnya, dia difahamkan bahawa tempoh dihadkan bertujuan memberi ruang kepada pihak berkaitan membersihkan pasar.

“Kami amat mengalu-alukan usaha membersihkan pasar berkenaan agar berada dalam keadaan selesa baik untuk peniaga dan pelanggan yang datang ke sini tetapi tempoh berniaga sehingga tengah hari sahaja dilihat tidak relevan.

“Rata-rata pelanggan kami terdiri daripada penduduk kampung seperti petani dan penoreh getah, mereka akan pergi bekerja dahulu pada waktu pagi dan balik pada waktu tengah hari untuk membeli barangan basah di pekan ini,” katanya kepada Sinar Harian, ketika ditemui, disini.

Peniaga itu berkata, masa yang dihadkan juga akan membebankan peniaga yang akan cuba menjual barang seawal mungkin untuk meraih pulangan modal sebelum memperoleh keuntungan.

Peniaga ikan yang juga enggan dikenali berkata, dia berharap pihak berkenaan dapat menimbangkan kembali arahan itu agar tidak membebankan peniaga dan juga pelanggan yang setiap hari datang ke pekan berkenaan.

Menurutnya, dia juga terpaksa memikirkan alternatif lain bagi memastikan ikan yang diambil dapat dijual kepada pelanggan yang datang pada waktu petang.

“Sebelum ini, semua peniaga dapat berniaga sehingga waktu petang dan mereka mampu meraih pendapatan yang agak baik tetapi sekiranya dihadkan sehingga waktu tengah hari sahaja, kadangkala masa yang diperuntukkan tidak cukup untuk peniaga mendapatkan kembali modal perniagaan mereka pada hari itu,” katanya.

No comments:

Post a Comment