PENDANG – Dua peragut melarikan diri selepas berjaya meragut beg tangan di Jalan Kolam Lembaga Pertanian Muda (Mada) di Kampung Alor Parit di sini, petang Selasa lalu.
Sinar Harian difahamkan kejadian itu berlaku kira-kira 7.30 petang ketika mangsa yang menunggang motosikal dalam perjalanan pulang ke rumah.
Mangsa, Shalihah Ismail,45, berkata, dia masih dalam trauma akibat kejadian itu namun, bersyukur kerana dia dan anaknya tidak mengalami sebarang kecederaan.
“Saya dalam perjalanan pulang dari arah pekan Pendang bersama anak Noor Shazwani Ahmad, 23, yang duduk di belakang dan tidak menyangka akan berlaku kejadian itu memandangkan beg tangan anak berada di bahagian tengah antara pembonceng dan penunggang.
“Ketika melalui Jalan kolam Mada itu saya mendengar bunyi motosikal dari arah belakang yang menghampiri motosikal saya. Berikutan itu saya memperlahankan kenderaan kerana menyangka ada orang yang dikenali ingin berbual,”katanya ketika di temui di rumahnya, semalam.
Menurutnya, ketika dia memperlahankan motosikal, tiba-tiba dua orang lelaki dalam lingkungan 20-an yang menunggang motosikal jenis Modenas Kriss berwarna biru meragut beg tangan Noor Shazwani dengan� pantas.
“Ketika beg tangan itu diragut saya dan anak tidak dapat berbuat apa melainkan menjerit dan membunyikan hon meminta tolong manakala dua lelaki itu terus memecut dan menuju ke arah pekan Pendang,” katanya.
Sementara itu, Shalihah berkata, anaknya kehilangan wang hampir RM300, kad pengenalan, surat dan beberapa lagi dokumen penting yang ada dalam beg itu.
“Saya tidak menyangka kejadian itu akan berlaku memandangkan tempat kejadian itu tidak jauh daripada rumah iaitu kurang dari 500 meter.
“Ketika kejadian lebih 15 kanak-kanak dan golongan muda sedang bermain sepak takraw berdekatan kawasan itu menyebabkan seorang daripada mereka cuba mengejar peragut itu dengan motosikal namun, apabila menghampiri peragut itu, salah seorang daripada mereka cuba mengancam dengan menggunakan lastik menyebabkan dia gagal menangkap dua peragut itu,” katanya.
Berikutan kejadian itu, dia membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis daerah Pendang.
No comments:
Post a Comment