Friday, January 28, 2011

GURUN - Jambori Basikal Bukit Jerai (JMJ) 2011 mendapat sambutan luar biasa

JMJ 2011 dapat sambutan luar biasa

GURUN - Jambori Basikal Bukit Jerai (JMJ) 2011 mendapat sambutan luar biasa setelah menerima penyertaan hampir 2,000 orang dari seluruh Malaysia dan juga luar negara.
 
Program yang bertempat di Perfect Channel Sdn Bhd, Gurun itu adalah anjuran Kelab Sukan dan Rekreasi Perwaja (Kesurep) bersama Kelab Maountain Bike Perwaja.

Tempat pertama JMJ dimenangi peserta dari Terengganu iaitu Mohd Iskandar Fitri, naib johan, Azizan Manaf dan ketiga adalah Mohd Shafari Abdul Malik.

Presiden Kelab Kakitangan Perwaja Gurun, Azirohemi Aziz berkata, program ini mendapat sambutan menggalakkan oleh penggemar aktiviti berbasikal bukit sejak kebelakangan ini.

“Konsep asal Pertandingan Basikal Bukit secara individu kebanyakan ditukarkan kepada bentuk yang lebih santai iaitu sukan dan riadah secara Jambori. Dengan cara ini ahli kelab berbasikal yang ada di negara ini disatukan dalam pertemuan dengan ahli kelab yang lain semasa jambori ini diadakan.

“Penggemar basikal bukit turut terdiri daripada peserta yang berusia melebihi 60 tahun. Ia kini menjadi satu gaya hidup yang sihat bagi masyarakat Malaysia daripada semua golongan,” katanya.

Menurutnya, jambori ini menerima sokongan padu dari pihak pengurusan Perfect Channel Sdn Bhd dan PFC Engineering Sdn Bhd dan penajaan beberapa syarikat lain di kawasan utara tanah air.

“Laluan untuk kayuhan Jerai Mountainbike Jamboree merangkumi jarak sejauh 48 kilometer melibatkan kawasan ladang getah dan kelapa sawit sekitar Ladang Permaipura, Sungai Puntar, Kampung Bongkok dan Ladang Sime Plantation.

“Kawasan tersebut dipilih kerana kesesuaiannya sebagai medan kayuhan. Laluan berbukit yang mencabar ini dapat menguji ketahanan mental dan fizikal peserta disamping menjalin semangat berpasukan dan kesukanan,” katanya.

Pelepasan peserta untuk acara ini disempurnakan Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Senator Gan Ping Shou.

No comments:

Post a Comment