Thursday, October 27, 2011

Apabila kantung rakyat jagaan ‘Abang Umno’ kian pokai

Oleh SHIRZAD LIFEBOAT

https://blogger.googleusercontent.com/img/b/R29vZ2xl/AVvXsEjbrH8gF0QgBTsh84NHjk6FheqKmgA3dlS1ASF8noZeqwb4KYK_fdg7FCPQ_12MMXqhVywcvDLmVRLRjOA-5L9GgkRV6gerzDjow85rJtEJH5DoqsXZAJyHbES5cZWTtHZsdX1BH5_xvUo/s1600/najib-pening1.jpgSuatu ketika dulu, ada ungkapan popular berbunyi, “Ada duit abang sayang, tak ada duit abang melayang.”

Maka besar kebarangkalian berdasarkan ungkapan klasik ini, Abang Umno-BN mengumumkan dua tiga jenis ‘pemberian-sekalisahaja’ atau dalam bahasa Perdana Menteri/Menteri Kewangan, Dato’ Seri Najib Tun Razak, oneoff payment kepada adik-adik sekalian agar Abang Umno-BN tak melayang dalam pilihan raya umum akan datang.

Politik kuasa ini kadang-kadang ibarat orang bercinta. Sebab itu mereka yang telah dan sedang menerima pelbagai ganjaran daripada Umno-BN dalam bentuk kontrak, komisyen, lesen, konsesi dan seumpama dengannya terus mencintai Abang Umno-BN.

Kalau boleh tak mahu berpisah sampailah ketikanya untuk dimasukkan ke dalam liang lahad.

Bagi rakyat biasa penyokong dan pengundi parti tersebut, sayangnya mereka terhadap Abang Umno-BN kerana kepandaian si abang bermain ‘tanam tebu di bibir’. Namun mereka tidaklah mencinta si abang bagaimana segelintir kecil yang menerima pelbagai hadiah dan habuan. Tapi hari ini tanda abang sayang akan melayang sudah semakin jelas. Dengan hutang negara yang dalam liga menghampiri setengah trilion dan begitu juga hutang isi rumah yang sudah melepasi angka 500 bilion ringgit, Abang Umno-BN sudah mula pening kepala.

Tapi ibarat lelaki yang suka memperdaya wanita, Abang Umno- BN terus membuat seribu jenis janji, terus mengayat rakyat dan terus memutar-belitkan isu itu dan ini yang membabitkan ekonomi.

Walaupun pertumbuhan ekonomi negara menunjukkan kadar hanya empat peratus berbanding lebih daripada lima peratus sebagaimana yang diramalkan oleh maha guru ekonomi, Abang Umno-BN masih lagi menjaja kononnya ekonomi negara adalah baik, kukuh dan abang cukup pandai mengurus kewangan negara.

Cakaplah apa pun dan pusinglah ikut mana sekalipun, namun tembelang Abang Umno- BN sudah tidak dapat ditutup lagi.

Ibarat orang yang melepaskan angin, bau pekongnya semerbak menusuk ke seluruh negara.

Dulu kebanyakan rakyat tak pandai sangat, tak ramai yang berpendidikan tinggi dan tak ada Internet. Bahan rujukan utama balik-balik adalah akhbar seperti Utusan Malaysia dan sumber berita muktahir semata-mata ‘TV Tiga Untuk Anda’. Maka mudah sahaja mereka kelentongkan oleh para pemimpin berkuasa yang tidak bertanggungjawab dan lebih mementingkan kedudukan politik daripada kedudukan rakyat.

Tapi hari ini semuanya sudah berubah. Kalau Abang Umno-BN mendabik dada kononnya pandai sangat menguruskan ekonomi negara dan mengaku tanpa segan silu betapa ikhlas dan jujur mereka, rakyat sana sini sudah mula bertanya, ‘betulkah’ apa yang dikatakan itu.

Dan persoalan yang berlegar di ruangan minda, cukup mudah.

Kenapa kedudukan tunai mereka kian hari kian parah walaupun ada di antara mereka yang telah menerima kenaikan gaji dan sebagainya. Kebanyakannya menuding jari kepada faktor harga barangan keperluan utama yang naik pada kadar cukup fenomenal serta semakin kedekutnya kerajaan terhadap pemberian subsidi.

Kedudukan inilah yang telah mengakibatkan rakyat Malaysia mencatatkan jumlah hutang isi rumah (kad kredit, pinjaman peribadi, ansuran pembayaran rumah, kereta, motosikal, TV, peti sejuk dan pelbagai lagi) ketiga tertinggi di dunia.

Menurut CIMBResearch, hutang isi rumah atau house hold debt meningkat begitu cepat pada kadar 11.1 peratus setahun dari 2004- 2009, dan daripada RM516.6 bilion pada akhir tahun 2009 kepada RM560 bilion pada akhir Ogos 2010. Dan nisbah hutang tersebut kepada keluaran dalam negara kasar (KDNK) melonjak daripada 66.7 peratus kepada 76 peratus pada tahun 2009.

Itu cerita beberapa tahun lalu, cerita sekadar menggambarkan betapa ‘terror’nya Abang Umno-BN menguruskan ekonomi negara.

Laporan Tahunan Bank Negara Malaysia 2010 pula menunjukkan pada akhir tahun fiskal berkenaan, hutang isi rumah sudah menjadi RM581 bilion atau 76 peratus daripada KDNK.

Dalam bahasa harian ini bermakna rakyat Malaysia terpaksa menggunakan separuh daripada pendapatan mereka untuk membayar hutang. Justeru sebab itulah semakin ramai yang mengeluh, “kerja macam nak mati pun dapat gaji semuanya habis bayar hutang.”

Setakat ini, kecuali gimik transformasi, tidak jelas apakah langkah konkrit kerajaan Abang Umno-BN untuk mengatasi masalah ini. Apa yang jelas, Abang Umno-BN terus mengambil sikap ‘relaks’ – ekonomi kita ok, rakyat kita hidup makmur, krisis kewangan Eropah tidak akan menjejaskan kita dan dan blah blah. Mungkin inilah yang mendorong BNM negara, dalam laporan berkenaan mendakwa bahawa paras hutang isi rumah itu masih lagi boleh ditangani kerana paras penabungan tinggi rakyat, peluang pekerjaan yang cukup baik dan pertumbuhan pendapatan.

Tak tahulah berapa banyakkah pertumbuhan pendapatan rakyat dalam sebutan sebenar. Tapi di sebalik jaminan jangan susah hati kerana krisis kewangan di tempat lain tidak akan, jangan kata turut menjejaskan kita malah tempias pun kita tak kena, krisis kewangan terbaru Eropah sudah mula memberi kesan kepada nilai tukaran ringgit berbanding dolar Amerika, Yen Jepun dan sebagainya.

Ketika kolum ini ditulis satu dolar Amerika adalah bersamaan RM3.13. Maknanya kalau dulu anda hanya memerlukan, barangkali RM2.93 untuk membeli satu dolar Amerika, kini anda harus membayar RM3.13 untuk nilai sama mata wang dolar. Bayangkanlah sekiranya ada yang perlu membayar AS$100 juta dan sebagainya untuk melunaskan hutang dan sebagainya.

Atas sebab yang sama, kuasa dan nilai muka ringgit di negara sendiri juga terus menguncup mengakibatkan penderitaan rakyat dari segi ekonomi ibarat sudah jatuh ditimpa tangga.

No comments:

Post a Comment