Wednesday, October 26, 2011

Hukuman takzir untuk liwat isteri

SHAH ALAM – Perbuatan suami meliwat isteri tidak boleh dijatuhkan hukuman hudud, sebaliknya dikategorikan sebagai hukuman takzir.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Islam Pendidikan dan Dakwah Kelantan, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah berkata, perbuatan itu tetap haram dan salah dari segi undang-undang, cuma tidak termasuk dalam hukum hudud dan dari sudut hukuman ia akan dikenakan hukum takzir.

“Mengapa ia dikenakan hukuman takzir dan bukannya hudud? Jawapannya ialah kerana berlaku syubhah di situ.

“Dalam perlaksanaan hudud, seperkara yang mesti diambil kira dalam perlaksanaan ialah perlaksanaan hukuman hudud mesti meraikan satu kaedah yang penting iaitu hudud itu tidak boleh dilaksanakan sekiranya ada syubhah.

“Persoalannya di mana syubhah itu dalam kes ini? Syubhahnya ialah hubungan suami isteri itu sendiri atau dalam istilah fekah, syubhah kerana isteri itu adalah milik suami tidak seperti mana dalam kes kesalahan hudud yang dinyatakan yang mana pasangan bersalah tersebut tidak mempunyai hubungan yang sah dari sudut syarak, ia berbeza dengan kesalahan liwat suami isteri,” katanya pada sidang media pada siri Wacana Sinar Harian ke-8, Hudud: Dilema Pelak�sanaannya di Kompleks Kumpulan Media Karangkraf, di sini semalam.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas dakwaan Ahli Parlimen Kulim Bandar Baharu, Datuk Zulkifli Noordin yang mendakwa hukum hudud yang hendak dilaksanakan Pas membenarkan suami meliwat isteri.

Dalam sidang media itu Mohd Amar membidas pihak mendakwa hukum hudud yang ingin dilaksanakan di Kelantan dan Terengganu adalah hukum Pas.

Katanya, jika mereka yakin itu adalah hudud Pas, mereka dicabar membawa hudud yang sebenar berdasarkan al-Quran dan hadis.

“Kalau betul apa yang kita lakukan tidak benar dan bercanggah daripada al-Quran dan sunnah, kami bersedia dan menukar dan memindanya. Tiada masalah,” katanya yang menyifatkan tindakan itu sebagai kenyataan liar.[Sinar Harian]

No comments:

Post a Comment