SEBUAH kompleks membeli belah baharu, KL Festival City telah dibuka mulai 20 Oktober 2011. Terletak di Danau Kota, Setapak, kompleks ini memang tersergam indah di kawasan tersebut, tambahan ia di tepi Jalan Genting Kelang yang menuju Zoo Negara dan ke MRR2.
Kehadirannya tentu disambut baik oleh mereka yang minat membeli belah atau sekadar bersantai dan makan-makan. Ia juga bakal dilengkapi dengan pawagam yang tentunya bakal menarik ramai penggemar filem.
Juga yang pasti ia akan menambah kesesakan lalu lintas di kawasan Danau Kota yang selama ini memang sudah menderita dengan kesesakan akibat operasi bazar larut malam (uptown) di situ.
Namun perkara utama yang hendak saya utarakan di sini ialah daripada pemerhatian saya, pembinaan kompleks itu belum siap sepenuhnya. Pembinaan di bahagian atas komleks membeli belah masih berjalan.
Soalan saya kepada pihak berkuasa dan dalam hal ini tentunya Dewan Bandara Kuala Lumpur (DBKL) ialah bagaimanakah kompleks ini dibenarkan dibuka sedangkan pembinaan masih berjalan?
Apa akan jadi jika bahan-bahan binaan atau perancah jatuh mengenai orang ramai? Lebih teruk lagi, apa akan jadi jika ada di antara beberapa kren yang digunakan dalam pembinaan itu tumbang? Bayangkanlah akibat daripada tragedi itu.
Sementara kita mengharapkan tidak akan ada apa-apa berlaku, kita juga tidak boleh mengambil mudah kemungkinan ia akan berlaku. Tidak guna menyalahkan pihak itu dan pihak ini jika ia sudah terjadi. Menuding jari selepas ia berlaku tiada gunanya. Sebaiknya cegah sebelum terjadi.
Justeru, saya berharap perkara seperti ini diberi perhatian serius. Pihak DBKL juga bertanggungjawab untuk memberi penjelasan mengenai perkara ini.
No comments:
Post a Comment