Oleh Siti Salasiah Salamun
Isu pendatang asing di Sabah bukan isu yang baru. Isu ini sudah berlanjutan bertahun lamanya. Walaupun dianggap isu yang lapuk, namun ia tetap mencuri tumpuan semua pihak saban hari, kerana pelbagai masalah yang ditimbulkan oleh pendatang asing ini keluar di corong radio dan media massa. Kes pecah rumah, mencuri, merompak dan penyeludupan dadah dan rokok, semuanya melibatkan pendatang asing dan hal ini amat membimbangkan penduduk tempatan.
Kebanjiran pendatang asing ke negeri ini disebabkan oleh pelbagai faktor. Namun, faktor paling dominan adalah mencari pekerjaan yang baik lantaran persaingan yang terlalu sengit untuk mencari pekerjaan di negara asal mereka. Di Indonesia misalnya, kepadatan penduduk yang tinggi amat menuntut penduduknya untuk bersaing mendapatkan pekerjaan. Apabila lambakan penduduk terjadi, imigrasi ke negara lain akan berlaku. Pendatang asing ini akan menggunakan apa jua cara untuk memasuki negara lain terutamanya negara jiran kerana pintu sempadan yang dekat dan mudah untuk dimasuki sama ada secara sah ataupun tidak.
Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Sukarti Wakiman menjelaskan dalam Bernama pada 29 April 2011, keadaan muka bumi Sabah yang berbukit bukau dengan sempadan laut yang begitu panjang merupakan cabaran utama kepada pasukan keselamatan dan agensi penguatkuasaan untuk mengawal pergerakan manusia antara negeri ini dan negara jiran
Hal ini memberikan impak yang besar kepada isu pendatang asing ini. Tambahan pula, bancian pada tahun lalu menunjukkan bahawa seramai lebih 800 000 orang penduduk di negari ini adalah pendatang asing. Tidak mustahil angka ini akan terus meningkat pada tahun ini. Hal ini amat membimbangkan dan perlu diberikan perhatian yang khusus.
MASALAH SOSIAL
Pelbagai masalah sosial yang dicetuskan oleh pendatang asing ini, sama ada mereka datang daripada Indonesia, Filipina, India, Pakistan ataupun negara lain dan sama ada mereka datang secara sah ataupun tidak. Statistik Jabatan Penjara Sabah yang dikeluarkan pada Oktober tahun ini menunjukkan bahawa jumlah warga asing yang ramai menyebabkan kesesakan di tiga penjara utama di Sabah iaitu di Kota Kinabalu, Tawau dan Sandakan. Secara keseluruhannya sebanyak 60% penghuni penjara ini adalah warga asing dan 40% adalah penduduk tempatan. Warga asing ini ditahan atas pelbagai tuduhan seperti jenayah dan dadah serta kesalahan imigresen.
Selain itu, penyeludupan rokok ke negeri ini juga didalangi oleh pendatang asing. Sama ada mereka menyeludup masuk dari Tawau atau kawasan pantai timur Sabah. Kebanyakan pendatang asing dari Filipina dan Indonesia yang melakukan kegiatan penyuludupan dan penjualan rokok haram ini di Sabah. Di Sandakan misalnya, mereka menjual rokok ini secara terbuka di kawasan stesen bas. Tambah menghairankan apabila mereka ini menjual rokok tersebut tanpa halangan dan sekatan dari pihak berkuasa seperti pihak KASTAM dan polis. Di Kota Kinabalu juga tidak terkecuali.
Di kawasan seperti di Jalan Sinsuran Kota Kinabalu, merupakan ‘hot spot’ untuk menjual rokok seludup ini dan ianya dijual pada harga yang sangat murah. Jika penjualan rokok ini boleh dilakukan secara terbuka, tidak mustahil jika penjualan dadah turut dilakukan oleh pendatang asing ini.
Isu penjualan arak secara haram di kawasan petempatan penduduk juga suatu fenomena yang semakin membarah dan perlu ditangani segera. Di Tuaran misalnya, penjualan arak secara haram ini dilakukan oleh pendatang asing yang mempunyai MyKad.
Kes pembunuhan yang melibatkan pendatang asing ini turut mengancam keselamatan penduduk tempatan. Seperti kes yang berlaku pada Mei tahun ini di Kota Kinabalu, yang melibatkan kematian seorang pemandu van yang dibunuh oleh perompak yang dipercayai pendatang asing dari Filipina. Perompak ini terlebih dahulu merompak kedai emas si mati sebelum membunuhnya dengan cara menembaknya sehingga mati. Hal ini sekaligus menunjukkan bahawa pendatang asing ini sangat membahayakan kerana mereka turut memiliki senjata api dan terdapat juga antara mereka yang memiliki senjata tajam seperti parang dan pisau ‘Rambo’.
Gangguan seksual terhadap penduduk tempatan oleh pendatang asing ini turut menimbulkan ketakutan yang berpanjangan, terutamanya kepada golongan wanita. Golongan pendatang asing ini tanpa rasa takut mengganggu penduduk dan kadang kala sehingga mencabul dan meraba. Hal ini terjadi di dalam pengangkutan awam, di tempat awam dan di dalam lif serta di kawasan-kawasan perumahan.
ISU SETINGGAN
Kebanjiran pendatang asing ini juga turut menyebabkan pertambahan kawasan setinggan di negeri ini terutamanya di kawasan bandar besar seperti di Kota Kinabalu, Tawau dan Sandakan. Di Sandakan misalnya, kawasan tumpuan untuk mendirikan perumahan setinggan adalah di kawasan perindustrian seperti di kawasan Batu Sapi dan di sekitar Batu 2 dan Jalan Buli Sim-Sim.
Rentetan daripada masalah setinggan ini, ia turut menyebabkan masalah lain timbul di kawasan petempatan itu seperti pergaduhan, penyeludupan dadah dan rokok, pembunuhan dan kecurian. ‘Pembiakan’ masalah sosial ini amat membimbangkan, tambahan pula budaya lain yang dibawa oleh pendatang asing ini seperti melepak, berjudi dan sebagainya juga semakin meresap dan menular di kalangan penduduk tempatan, terutamanya remaja.
PERSAINGAN PEKERJAAN
Persaingan sengit penduduk tempatan dengan pendatang asing dalam bidang pekerjaan seharusnya turut dipandang serius oleh kerajaan negeri. Di Sandakan misalnya, sebuah kilang pengeluar papan lapis yang beroperasi di Batu Sapi telah membuang pekerja yang terdiri daripada penduduk tempatan dan mengupah pekerja asing yang didakwa lebih murah kadar gajinya.
Dalam sektor perkapalan pula, seperti yang dilaporkan oleh Pengarah Jabatan Laut Sabah, Abdul Aziz Mahamud pada November tahun lalu, 90% pekerja dalam bidang tersebut adalah terdiri daripada pekerja asing. Statistik yang dikeluarkan pada November tahun lalu oleh Jabatan Tenaga Kerja Sabah merekodkan lebih daripada 15 000 belia di Sabah tidak mempunyai pekerjaan.
Semua ini berlaku kerana penduduk tempatan terpaksa bersaing dengan warga asing ini untuk mendapatkan pekerjaan. Tambahan pula, jika warga asing ini diberikan upah yang lebih rendah, sudah tentu pihak majikan memilih mereka kerana ia membantu mengurangkan perbelanjaan untuk membayar upah pekerja.
Berikutan daripada situasi tersebut, tidak hairanlah apabila ramai daripada anak tempatan yang berhijrah ke negeri lain di Semenanjung Malaysia untuk mendapatkan pekerjaan lantaran taraf hidup yang semakin menuntut untuk mendapatkan wang untuk meneruskan kehidupan.
PENUTUP
Penduduk di negeri ini sudah muak dengan pelbagai janji yang ditawarkan oleh kerjaan negeri yang berkali-kali berjanji akan menyelesaikan isu ini, namun ia ibarat melepaskan batuk di tangga. Tidak ada pun kesungguhan yang diperlihatkan dan jauh sekali untuk melihat hasilnya.
Pihak kerajaan negeri seharusnya bersungguh-sungguh dalam menangani masalah pendatang asing ini. Bekerjasama dengan kerajaan persekutuan juga merupakan langkah yang bijak kerana di negeri lain di Semenanjung Malaysia turut dibanjiri oleh pendatang asing dan kebanyakannya membawa masalah yang serupa.
Penubuhan suruhanjaya, Ops PATI, Makmal Pengurusan Pekerja Asing dan polisi pengurangan pekerja asing di pelbagai sektor seharusnya dapat menyelesaikan isu ini. Saya amat yakin dan percaya bahawa rakyat negeri ini sangat berbesar hati sekiranya dapat ditempatkan di pelbagai sektor untuk mengisi kekosongan yang ada. Janganlah sampai kera di hutan disusukan, anak di rumah mati kelaparan.
No comments:
Post a Comment