oleh FARUSH KHAN
Air mata ibu Yue Yue sudah lama kering, tetapi doa dan harapannya terus membuak. Dia menjenguk di celah tingkap bilik bedah hospital tentera di selatan China, tidak putus putus memanggil nama anaknya yang sedang bertarung dengan maut.
“Dia mendengar suara saya. Dia kuat. Saya tahu dia akan hidup,” kata ibu muda itu, yakin. Wartawan dan orang ramai yang berkerumun di belakangnya tidak dapat menahan air mata mendengar dia terus merayu: “Yue Yue, kembalilah kepada ibu; berilah ibu sekali lagi peluang untuk memanja dan mencurahkan sepenuh kasih sayang pada mu; kembalilah.”
Seminggu selepas itu, Yue Yue kembali, tetapi bukan kepada ibunya; kepada Tuhan. Kanak-kanak perempuan comel berusia dua tahun itu mati dalam keadaan sangat tragis dalam kes langgar lari melibatkan dua kenderaan dalam tempoh tujuh minit di jalan sempit sebuah pasar di Foshan, Guangdong, pada 13 Oktober lalu.
Kematian Yue Yue dalam kejadian memalukan yang dirakamkan CCTV dan dimuatkan dalam laman sosial, mengundang kemarahan masyarakat seluruh dunia. Mereka tersentak, bagaikan tidak percaya apa yang disaksikan.
Pemandu dua kenderaan tersebut sanggup meninggalkan tempat itu, membiarkan Yue Yue meraung kesakitan; tulang kaki dan pinggang patah dengan badannya berlumuran berdarah.
Seolah-olah tidak cukup, 18 orang yang lalu-lalang dalam tempoh 10 minit dia terbaring di tengah jalan, tidak peduli untuk menyelamatkannya. Akhirnya, seorang pengangkut sampah, Chen Xiaomei, mengangkat dan meletak Yue Yue di tepi jalan, dalam keadaan terkulai seperti anak patung.
Chen, wirawati segera itu, kerana tidak tahan menghadapi tekanan dikejar wartawan di rumah dan di jalan, lari balik ke kampung halamannya di pedalaman setelah menyerahkan sebahagian daripada wang dan hadiah diterima daripada mereka yang menghargai tindakan kemanusiaannya itu.
Kedua pemandu itu sudah ditahan polis, tetapi ia tidak memberhentikan debat mengenai persoalan apakah nilai kemanusiaan sudah lenyap di China kerana pembangunan pesatnya? Atau ia disebabkan undang-undangnya?
China ada lebih 1.3 bilion penduduk hari ini dan sebahagian masyarakatnya dikatakan enggan membantu mangsa kemalangan kerana takut mereka pula akan dipersalahkan dan menghadapi tindakan undang-undang.
Beberapa kes berprofil tinggi menyaksikan mereka yang menolong mangsa kemalangan disaman pihak mangsa sendiri. Apa sahaja alasannya, yang jelas sebilangan manusia nampaknya sudah sampai ke peringkat melampau dalam keghairahan mengaut harta hingga tidak mahu lagi menolong orang kesusahan.
Ini masalah kemanusiaan; ia boleh berlaku bukan di China, tapi di mana juga di muka bumi ini.
Kita masih ingat kes di Britain yang turut menjadi perdebatan di seluruh dunia apabila beberapa perusuh berpura-pura hendak membantu seorang pelajar Malaysia yang jatuh basikal, sebelum memukul dan mengambil wang dan telefon bimbitnya.
Selepas kejadian itu, rakyat Britain turut mempersoalkan keruntuhan moral di negara mereka; apakah akibat kerakusan manusia mengaut material atau disebabkan sistem pendidikan.
Dalam kes di Foshan itu, masyarakat dunia yang bersimpati menyumbangkan kira-kira 270,000 yuan (RM132,750) kepada ibu bapa Yue Yue, tetapi apakah sumbangan boleh menyelesaikan masalah keruntuhan moral yang sangat serius seperti itu?
Di Guangdong, pihak berkuasa cuba cari jalan memperbaiki taraf keruntuhan moral masyarakat dengan bincang kemungkinan gubal undang-undang baru bagi menghukum mereka yang abaikan sesiapa memerlukan bantuan.
Patutnya ia sudah lama dilakukan kerana kita tahu ada sesuatu tidak kena kepada sistem sosial yang boleh benarkan kebobrokan begitu berlaku.
Tragedi itu nampak mula menjadi peringatan kepada masyarakat supaya sikap enggan menolong mereka yang dalam kesusahan tidak berlaku lagi.
Menurut pakar, sikap keberatan menolong adalah senario urbanisasi di mana orang luar membanjiri bandar-bandar dan dalam proses itu mewujudkan jiran yang tidak mengenali antara satu sama lain.
Kepesatan urbanisasi bukan libatkan China sahaja, tetapi merata dunia. Di negara kita bagaimana? [Sinar Harian]

No comments:
Post a Comment