Hukum yang seleweng
SETIAP tahun kita menerima Laporan Ketua Audit Negara dan setiap tahun itu juga kita mendengar perkara yang pelik-pelik berlaku dalam pengurusan perbelanjaan di jabatan-jabatan kerajaan.
Sampai bila ia akan terus berlaku? Ia amat memalukan negara dan rakyat juga sudah bosan mendengarnya. Saya tidak nampak berlaku perubahannya walaupun setiap tahun berlaku pendedahan di Parlimen dan juga di media.
Ini kerana pelakunya terus bebas dan tiada tindakan yang diambil terhadap mereka. Perasaan malu juga tidak ada kepada kakitangan jabatan yang terlibat.
Ini kerana menteri-menteri juga mencari pelbagai alasan mempertahankannya.
Saya percaya penyelewengan yang didedahkan sedikit sebanyak akan menghakiskan kepercayaan rakyat kepada kerajaan dan akhirnya akan ditentukan dalam peti undi.
Ini harus diambil iktibar oleh Perdana Menteri, Timbalan Perdana Menteri, Menteri-menteri, Ketua Setiausaha Negara dan Ketua-ketua Setiausaha Kementerian yang membuat dasar.
Setiap tahun, kita disogokkan dengan pembelian yang tidak munasabah harganya, perlanggaran peraturan perbendaharaan dan perbelanjaan yang melebihi bajet.
Sudah sampai masanya kerajaan menubuhkan jabatan-jabatan audit dalaman di setiap jabatan kerajaan. Ketua-ketua audit ini harus melapor terus kepada Ketua Setiausaha Kementerian masing-masing. Ikut cara syarikat swasta menjalankan kerja audit. Kakitangannya tidak perlu ramai dan mesti dianggotai ahli profesional yang terlatih dalam bidang audit kewangan.
Setiap tahun, mesti ada 'audit plan' yang dirancang oleh jabatan masing-masing. Juruaudit harus membuat audit seperti yang dirancang. Rancangan audit ini mestilah mendapat persetujuan daripada ketua audit di jabatan masing-masing.
Hanya ketua juruaudit sahaja yang tahu kelemahan di setiap jabatan.
Dengan cara ini, kementerian dapat mengesan penyelewengan lebih awal dan membetulkannya dengan segera. Setiap kerja mesti ada jangka waktu yang mesti dipatuhi.
Tindakan mesti diambil untuk menghukum mereka yang melakukan kesalahan dengan sengaja. Ketua-ketua jabatan juga tidak terkecuali daripada diambil tindakan jika berlaku kesalahan yang disengajakan di jabatan masing-masing.
Inilah satu cara yang terbaik untuk memperbaiki pengurusan kewangan kerajaan. Jika tidak, kita terus mendengar berita penyelewengan pengurusan kewangan kerajaan pada setiap tahun.
Saya percaya laporan itu berasaskan audit yang dibuat secara rambang. Jadi banyak lagi yang kita tidak tahu.
No comments:
Post a Comment