Friday, October 28, 2011

Lima anak rayu ibu pulang

PAYA NAHU 2 – Seorang ibu yang sedang mengandung anak keenam dikatakan meninggalkan lima anaknya dengan menghilangkan diri dan tidak diketahui ke mana arah tujuannya.

Nasib lima beradik itu terus dirundung malang apabila terpaksa mengharungi cabaran setelah kehilangan ibu kemudiannya bapa pula ditahan kerana dipercayai terlibat dalam kegiatan jenayah.

Lima beradik berusia antara empat hingga 15 tahun yang ditinggalkan ibu mereka sejak September lalu bagaimanapun merayu supaya ibu segera pulang kerana terlalu merindui selain bimbangkan keselamatannya yang sedang mengandung.

Mohd Fitri Abdul Razak, 15, Nurul Fatini, 14, Nur Asyikin, 11, Muhammad Ridzuan, 8 dan Muhammad Hakimie, 4, merayu supaya ibu mereka, Hasnah Md Yusoff, 36, pulang ke rumah segera setelah tidak berjumpa sejak beberapa minggu lalu.

Kesemua mereka kini berada dalam jagaan nenek dan ibu saudara sejak Hasnah keluar dari rumah dipercayai mengikut seseorang.

Menurut nenek mereka, Siti Ramah Chelleh, 54, lima cucunya kini berada dalam jagaannya di Flat Paya Nahu 2 sejak Hasnah dan menantu tiada selain meminta supaya anaknya segera pulang walau di mana sahaja berada memikirkan nasib penjagaan cucu yang terabai.

“Saya merayu Hasnah supaya pulang berjumpa anak-anak yang terlalu merinduinya kerana mereka amat memerlukan sokongan, perhatian dan kasih sayang memandangkan kesemuanya masih kecil dan bersekolah.

“Sekiranya dia mempunyai masalah saya minta hubungi sahaja keluarga di sini dan maklum di mana dia berada, Insya-Allah kami akan pergi ambil serta bawa dia pulang segera,” katanya.

Siti Ramah berkata, kehilangan Hasnah kali ini adalah kali ketiga sejak 2011 kerana sebelum ini anaknya pernah dua kali hilang.

“Kali pertama dia hilangkan diri ialah semasa bulan puasa lalu. Selepas tiga hari hilang keluarga dapat tahu dia ada di Pulau Pangkor dan terpaksa ke sana untuk jemput dia pulang.

“Selepas itu semasa pertengahan bulan puasa dia keluar dari rumah semula tetapi dengan membawa anak bongsu, Muhammad Hakimie dan tak tahu ke mana menghilangkan diri. Seminggu selepas Aidilfitri baru dapat tahu dia ada di Kuala Ketil dan kakaknya terpaksa pergi ke sana menjemputnya pulang. Selepas dua minggu duduk di rumah, Hasnah tidak senang duduk dan terus keluar rumah meninggalkan anak bongsu keseorangan yang ketika itu sedang tidur sementara anak-anak lain sedang bersekolah dan tak balik sampai sekarang,” katanya.

Anak sulung Hasnah, Mohd Fitri berkata, keganjilan terhadap sikap ibunya disedari setahun lalu yang bersikap dingin dengan anak-anak berbanding sebelumnya yang terlalu menyayangi mereka.

“Dulu mama (Hasnah) tak pernah marah kami malah sangat sayang tetapi akhir-akhir ini dia bersikap pendiam, banyak berkurung, termenung dan langsung tak peduli makan minum serta persekolahan kami,” katanya.

Anak kedua, Nurul Fatini berkata, sejak bersikap dingin, tiada lagi lawak jenaka ibunya malah sering meninggikan suara apabila adik-adik buat bising.

“Walaupun mama marah tetapi kami semua tetap sayangkan mama dan ingin mama segera pulang untuk sama-sama sambut Hari Raya Aidiladha tidak lama lagi. Adik juga terlalu rindukan mama,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Persatuan Penduduk Projek Perumahan Rakyat (PPR) 2 Paya Nahu, Jalani Murad berkata, orang ramai yang mengenali Hasnah atau mempunyai sebarang maklumat mengenai wanita itu boleh menghubungi talian 019-4524959 (Along) bagi membantu menemuinya.

Dalam pada itu, hadir sama dalam perjumpaan keluarga berkenaan, Setiausaha Khas Penyelaras Parlimen Merbok PPR 2, Roslina Ahmad.[Sinar Harian]

No comments:

Post a Comment