Friday, October 28, 2011

PPSMI nie dah mahsuh kaa atau wayang saja???

Kerajaan perlu tegas, mansuhkan PPSMI

KUALA LUMPUR - Pejuang dan pakar Bahasa Kebangsaan, Dr Awang Sariyan, meminta kerajaan bertegas dan tidak melayan desakan pelaksanaan dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI), secara pilihan di sekolah.

Menurutnya, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga Menteri Pelajaran mengakui, berdasarkan kajian Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), hanya tiga peratus pelajar mendapat manfaat dari PPSMI.

“Jadi adakah kita ingin mengabaikan hak asasi 97 peratus pelajar lain, sedangkan pendemokrasian pendidikan menuntut pendidikan mesti diperoleh sejumlah besar rakyat, kita tak boleh korbankan 97 peratus hanya untuk melayan tiga peratus yang masih berminat dengan PPSMI,” katanya.

Beliau berkata, golongan memerlukan PPSMI ialah golongan elit yang mungkin telah hilang jati diri.

“Kekeliruan golongan elit ini, tidak perlu dilayan, kerajaan perlu bertegas dan tidak lagi berdolak-dalih, mengubah keputusan pemansuhan itu,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Presiden Persatuan Linguistik Malaysia, Kamal Shukri Abdullah Sani berkata, satu memorandum mengandungi empat resolusi menyokong pemansuhan PPSMI akan diserahkan kepada Timbalan Perdana Menteri, 29 Oktober depan sempena Kongres Bahasa dan Persuratan Melayu ke-8.- Bernama

No comments:

Post a Comment