Sebuah NGO yang berpangkalan di Pulau Pinang kecewa dengan tindakan ahli-ahli politik Melayu yang tergamak melemparkan dakwaan keji serta menjijikan berbentuk seksual bagi menamatkan kerjaya politik lawan masing-masing.
Presiden Kongres Melayu Pulau Pinang, Rahmad Isahak berkata permainan politik ini “desperado” itu tidak akan memberi manfaat kepada masyarakat.
Justeru, katanya Pakatan Rakyat dan BN akan saling menuduh sesama sendiri.
Pakatan, sebagai contoh, katanya telah menuduh Umno sebagai dalang di sebalik dakwaan yang memfitnah anak ketua menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng (berbaju hijau).
“Orang Melayu harus diyakini bahawa politik lucah dan porno bukanlah falsafah perjuangan pemimpin-pemimpin Melayu di Malaysia,” kata Rahmad pada sidang akhbar di Pulau Pinang hari ini.
“Sebagai sebuah NGO Melayu yang bertapak di Pulau Pinang dan berkecuali, kami dukacita dan rasa terhina sekiranya benar isu tersebut dimainkan oleh pemimpin politik Melayu.
“Tak kira pemimpin ini datang dari parti politik Melayu manapun jangan sampai meletakkan martabat kemelayuan di peringkat yang terendah,” katanya.
Rahmad juga menasihatkan pemimpin Melayu supaya jangan sampai kuasa politik mereka ditolak oleh orang Melayu sendiri atas kesilapan yang berlandaskan ketamakkan kuasa.
Beliau mengulas dakwaan yang dibuat oleh penulis blog pro-Umno bahawa anak remaja Lim telah mencabul kehormatan rakan sekelasnya dan dan akibat itu terpaksa dipindahkan dari sekolah SMK Heng Ee.
Ketua Menteri itu juga didakwa membayar wang pampasan kira-kira RM200,000 kepada ibu bapa gadis itu untuk menutup skandal berkenaan.
Namun gadis yang dituduh itu, Anya Ann Corke (bawah, kiri), Lim dan pengetua SMK Heng Ee semuanya telah menafikan kejadian berkenaan.
Menurut Rahmad, orang-orang Melayu juga sudah muak dan letih dengan permainan politik begini.
“Bagaimana soal ekonomi Melayu dapat dipertingkatkan jika sesama pemimpin Melayu gemar bermain politik?
“Jika benar pemimpin Melayu jadi dalang terhadap fitnah terhadap pemimpin Cina, (ini) bakal menjadi liabiliti politik yang (hanya akan) merugikan orang Melayu,” katanya.
No comments:
Post a Comment