Sunday, November 27, 2011

3 gol dalam tempoh 6 minit mengundang padah buat Harimau Muda

Bahrain malukan Harimau Muda

PEMAIN pertahanan Harimau Muda, Mohd. Zubir Azmi (kiri) diasak pemain Bahrain, Sami Mohamed Al Husaini pada aksi Kumpulan C kempen kelayakan Olimpik 2012 di Stadium, Bukit Jalil malam tadi. Harimau Muda tewas 2-3.

TIGA gol pasukan lawan dalam tempoh enam minit mengundang padah buat Harimau Muda apabila tewas 2-3 kepada Bahrain pada aksi Kumpulan C kelayakan Olimpik 2012 Zon Asia di Stadium Nasional, Bukit Jalil malam tadi.

Lebih mendukacitakan, anak-anak buah Ong Kim Swee gagal menggunakan kelebihan dua gol sekalipun Bahrain terpaksa beraksi dengan sepuluh pemain setelah Fahad Tareq Showaiteb dilayangkan kad merah pada awal babak kedua.

Ternyata beraksi di depan lebih 40,000 penyokong sendiri bukannya kelebihan buat Harimau Muda yang mungkin sudah boleh melupakan impian untuk menjejakkan kaki ke bumi London tahun depan.

Percaturan jurulatih Bahrain, Salman Shareeda yang membawa masuk dua penyerang gantian, Saad Salah Al-Amer dan Isa Ahmed Muthanna, dalam tempoh 10 minit membuahkan hasil apabila kedua-dua pemain itu meledak ketiga-tiga gol pasukan pelawat.

Bahrain terlebih dahulu menguji gawang negara apabila rembatan Mohamed Ali Tayeb Al-Alawi terus ke dakapan penjaga gol, Khairul Fahmi Che Mat seawal minit kedua.

Tersentak dengan asakan itu, Harimau Muda yang kembali mengatur gerak, namun rembatan Wan Zack Haikal Wan Nor hasil hantaran cantik satu dua bersama Irfan Fazail, mudah dibaca penjaga gol pelawat, Ashraf Waheed Al-Sebaie lima minit kemudian.

Gol pendahuluan Harimau Muda akhirnya menjelma apabila rembatan deras kaki kiri Nazmi Faiz Mansor dari luar kotak penalti terus menerjah jaring Bahrain pada minit ke-30.

Jaringan itu ternyata menambah tonik Harimau Muda apabila berterusan menggandakan asakan, namun tandukan Mohamed Amer Saidin sedikit melewati palang gol hasil sepakan penjuru Mahali Jasuli pada minit ke-37.

Sebaik babak kedua bersambung, Bahrain dilihat semakin tertekan apabila terpaksa beraksi dengan 10 pemain setelah Fahad dilayangkan kad merah gara-gara mengasari Mohd. Affize Faisal Mamat pada minit ke-58.

Peluang itu dimanfaatkan sepenuhnya Harimau Muda yang berjaya menggandakan kelebihan apabila kesilapan mudah Ashraf Waheed yang gagal menangkap kemas bola hantaran lintang Mohd. Fandi Othman dihukum Mahali Jasuli yang tenang menyambar bola muntah untuk gol kedua pada minit ke-66.

Bahrain yang tidak berputus asa berjaya merapatkan kedudukan apabila sepakan gunting Saad Salah terus menerjah gawang Harimau Muda pada minit ke-80.

Gegak gempita di Stadium Nasional, Bukit Jalil akhirnya bertukar sunyi sepi apabila Isa Ahmed berjaya menjaringkan dua gol pantas dalam tempoh dua minit bagi memastikan tiga mata berharga buat Bahrain.

Cubaan Harimau Muda untuk sekurang-kurangnya menyamakan kedudukan tidak berhasil apabila Mohd. Ferris Danial Mat Nasir yang tidak dikawal gagal menyambut hantaran Mahali pada masa kecederaan.

Ia merupakan kekalahan ketiga berturut-turut buat Harimau Muda dalam saingan kelayakan Olimpik selepas tewas 0-2 dalam dua-dua perlawanan menentang Jepun dan Syria sebelum ini.

Dengan keputusan itu, Harimau Muda kini kekal di tangga tercorot Kumpulan C, sementara Jepun kekal menerajui takhta apabila menjinakkan Syria 2-1 di Stadium Olimpik Nasional, Tokyo semalam.

No comments:

Post a Comment