Monday, November 28, 2011

Talian Hayat kat FELDA pun nampak macam dah nak lemas dah nie... kesian Najib..!!

Peneroka Felda beri Najib kata dua, Isa Samad atau undi

KUALA LUMPUR, 28 Nov ― Dilihat sebagai bantahan terbuka kali pertama, badan yang mewakili peneroka Felda hari ini menggesa Pengerusi Felda Tan Sri Isa Samad berundur secara terhormat dan mahu Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak menunaikan permintaan itu jika inginkan undi pilihan raya umum ke-13.

Gesaan itu dibuat pada satu media di sini hari ini oleh Jawatankuasa Perunding Peneroka (JKPP), yang diiktiraf secara rasmi oleh Felda, mendakwa mewakili 1.6 juta warga peneroka dan sekitar 120,000 peneroka dari 11 wilayah Felda di seluruh negara.

Desakan itu dibuat ketika pentadbiran Najib bersiap sedia menghadapi pilihan raya umum ke-13 dan mengharapkan sokongan padu peneroka Felda yang selama ini dianggap sebagai kubu kuat Umno-BN.

Selain menggesa Isa, yang mengetuai Felda sejak setahun lalu, JKPP juga menggesa Pengarah Seranta Felda Datuk Noor Ehsanuddin Mohd Harun Narrashid dan Ketua Pegawai Eksekutif Felda Global Ventures Holdings Sdn Bhd, Datuk Sabri Ahmad agar berundur sama.

Desakan itu memuncak ketika proses menyenaraikan Felda Global Ventures sedang giat dijalankan.

Langkah penyenaraian itu diumumkan oleh Najib ketika membentangkan Bajet 2012 pada 7 Oktober lalu.

“Di atas segala polemik, isu dan masalah yang timbul, JKPP dan (Gerakan Persatuan Wanita) GPW dengan ini sebulat suara mengusulkan kepada Tan Sri Isa Samad, Datuk Sabri Ahmad dan Datuk Noor Ehsanuddin agar mengundur diri secara terhormat dan jika hasrat kami ini tidak ditunaikan oleh YAB Persana Menteri, jelaslah sokongan peneroka Felda semasa pilihan raya umum ke-13 tidak lagi diperlukan oleh kerajaan memerintah,” kata kenyataan media itu.

Sidang media itu dikendalikan oleh Pengerusi JKPP Shamsuddin Othman yang juga salah seorang ahli lembaga pengarah Felda.

Turut hadir pada sidang media hari ini ialah sembilan naib pengerusi JKPP Wilayah.

Pada sidang media hari ini, Shamsuddin, 59, menyenaraikan masalah dan isu dihadapi oleh pihaknya termasuk dakwaan ketua peneroka itu dihina oleh Isa, ketiadaan maklumat yang cukup mengenai proses penyenaraian dan tindakan Seranta Felda ‘Umno’ mengganggu peneroka.

Kenyataan media menyebut Isa pada satu taklimat mengenai proses penyenaraian di Kuala Pilah pada 12 November lalu telah menghina Shamsuddin dengan mengeluarkan ayat seperti “jika budak kecil, saya dah lempang”, “munafik”, “pembohong”, “penipu”, “jika saya jumpa saya akan lutu dia”.

Shamsuddin berkata, dalam pengalamannya sebagai seorang peneroka ini kali pertama seorang pengerusi menghina ketua peneroka sebegitu rupa.

Kenyataan itu menambah, “JKPP dan GPW yang mewakili majoriti ahli Koperasi Permodalan Felda menolak pelantikan Tan Sri Isa sebagai Pengerusi Koperasi Permodalan Felda melalui kuasa menteri koperasi dan meminta kerajaan menghormati hak demokrasi ahli-ahli Koperasi Permodalan Felda dan Undang-undang Koperasi Permodalan Felda.”

Kenyataan itu menambah, JKPP dan GPW juga tidak bersetuju dengan keluaran akhbar pojok 1Suara yang disalurkan dananya oleh Seranta Felda dan Jabatan Perdana Menteri.

“JKPP dan GPW ingin mencadangkan supaya unit Seranta Felda Jabatan Perdana Menteri ditutup dan pegwai-pegawai Seranta Felda yang terdiri daripada anak-anak Felda yang berniat ikhlas membantu masyarakat Felda diserapkan secara tetap dalam organisasi Felda,” katanya lagi.

No comments:

Post a Comment