Tarikh : November 28, 2011
AYER BALOI - Kesesakan hampir dua kilometer sepanjang jalan menuju ke Kampung Parit Keroma Ayer Baloi, di sini tidak sedikitpun menghalang orang ramai menghadiri ceramah Umum Pakatan Rakyat (PR) yang julung kali diadakan di daerah ini.
Malah, sejak awal lagi bermula pada jam 8.30 malam, hampir 2,000 hadir bagi mendengar ceramah yang disampaikan pemimpin utama parti itu, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Dalam ucapannya, Anwar mengingatkan golongan muda perlu mengambil contoh kebangkitan di Mesir untuk membawa perubahan di negara ini.
Katanya, perubahan sangat diperlukan bagi memastikan golongan tersebut tidak terpinggir dalam mendapat pekerjaan biarpun banyak universiti dan institusi pengajian ditubuhkan.
Sementara itu, Ketua Penerangan Dewan Pemuda Pas Pontian. Saiful Amri A Suloh berkata sokongan dari generasi muda terutama golongan belia terhadap ceramah ini adalah paling ramai diterima dan jelas kelihatan apabila separuh daripada golongan itu hadir.
“Biarpun pada mulanya jalan sesak berikutan sekatan jalan raya berhampiran dengan kawasan ceramah diadakan namun bilangan yang hadir tetap ramai.
“Seawal jam 8.30 malam lagi, orang ramai sudah mula membanjiri kawasan perkarangan lokasi ceramah di salah sebuah rumah penyokong Pas di Kampung Parit Keroma, meskipun hujan renyai,” katanya pada majlis itu serentak dengan Pelancaran Jentera Pilihan Raya Parlimen Pontian, di Parit Keroma, di sini, malam semalam.
Hadir sama, Naib Presiden PKR, Chua Jui Meng; Exco Selangor, Yaakob Sapari dan Badrul Hisham Shaharudin atau ‘Cikgu Bad”
Katanya, perancangan selama tiga minggu diperlukan untuk mengadakan majlis dan memastikan keadaan aman dan terkawal serta memperoleh permit.
“Sudah lama kita merancang untuk diadakan majlis yang memberi peluang kepada penduduk bertemu dengan pemimpin teratas parti,
“Justeru, sempena dengan Kongres PKR yang diadakan di Pulai Spring Resort, Skudai, kita menjemput sendiri pemimpin utama parti hadir memberi ceramah,” katanya.
Katanya, dianggarkan seramai 200 orang sudah menyertai jentera itu dan bilangannya dijangka meningkat.
“PR akan menggunakan pengalaman mengadakan ceramah umum ini sebagai permulaan untuk mengadakan ceramah yang seterusnya di Pontian,” katanya.
No comments:
Post a Comment