Wednesday, November 30, 2011

APA RELEVANNYA PERTAMBAHAN UNDI POS DI PARLIMEN TITIWANGSA?

04 Muharram 1433 / 30 November 2011

PAS Kawasan Titiwangsa menyatakan kekesalan di atas sikap Suruhanjaya Pilihanraya (DPR) yang telah menambah bilangan undi pos di parlimen Titiwangsa bagi tahun 2011 pada suku tahun ke 2 dan ke 3 yang berjumlah sebanyak 1,100 orang. PAS Titiwangsa menganggap jumlah pertambahan ini terlalu ramai untuk sebuah kawasan kecil seperti Parlimen Titiwangsa yang terletak di tengah kepadatan dan kepesatan ibu kota Kuala Lumpur.

PAS Titiwangsa menjelaskan, dalam data bagi daftar pemilih suku ke 3 tahun 2011 sahaja didapati sebanyak 51 pengundi baru didaftarkan sementara pengundi yang berpindah masuk ke Parlimen Titiwangsa sebanyak 471 orang. Manakala bagi tahun 2010 pula, jumlah pengundi pos hanya berjumlah 509 orang.

Dalam senarai daftar pemilih yang terbaru pula, didapati didapati ada pertambahan kem tentera baru. Salah satu daripada 4 kem baru tersebut adalah 93 Semboyan DiRaja yang dipindahkan daripada Parlimen Setiawangsa. Didapati seramai 152 orang pengundi telah dipindah masuk ke kem tersebut, manakala selebihnya, iaitu 72 KN Semboyan DiRaja, pengundi baru dan berpindah masuk seramai 57 orang. Cawangan Siasatan Jenayah KPTD mencatatkan perpindahan masuk ke Parlimen Titiwangsa seramai 61 orang, dan 104 Kompeni KPTD seramai 255 orang daripada pengundi baru dan berpindah masuk.

Dalam hal ini, PAS Titiwangsa mempersoalkan apakah rasioanalnya kem 93 Semboyan DiRaja dipindah masuk ke Parlimen Titiwangsa dari Setiawangsa? Apakah kepentingannya sehingga ia boleh berubah dari diletakkan di dalam Parlimen Setiawangsa ke Parlimen Titiwangsa?

PAS Titiwangsa mengesyaki pertambahan undi pos di Parlimen Titiwangsa menunjukkan seolah-olah ada usaha secara halus dan terancang untuk merampas kerusi Parlimen Titiwangsa secara mudah. Ini kerana, sepanjang sejarah penglibatan PAS dalam pilihanraya sama ada pilihanraya kecil ataupun umum, undi pos amat jarang memihak kepada PAS. Lebih dari itu, beberapa siri pendedahan dari bekas-bekas tentera yang mendakwa pernah menjadi pengundi pos dan mengundi lebih dari sekali menjadi bukti bahawa undi pos amat dicurigai.

Di atas prinsip keadilan dalam pilihanraya, PAS Titiwangsa mendesak agar SPR mengeluarkan segera jumlah pengundi pos Parlimen Titiwangsa. Daftarkan kesemua pengundi pos ini sebagai pengundi biasa yang mempunyai hak sama seperti pengundi yang lainnya. PAS Titiwangsa menegaskan, biarlah PRU ke 13 nanti dilangsungkan di atas padang yang sama rata, dan jangan pula dilabel nanti pemenang di Parlimen Titiwangsa sebagai wakil undi pos.

Disediakan oleh;

KHAIRUL ANUAR ABDUL MANAP
Pengarah Jentera Pilihanraya
PAS Kawasan Titiwangsa

No comments:

Post a Comment