Friday, November 25, 2011

Pertarungan Dr M–Pak Lah di sidang Dun Kedah

Oleh ZULKIFLI YAHAYA

https://blogger.googleusercontent.com/img/b/R29vZ2xl/AVvXsEh5DAOtT4YOR1bUdSkLaFnjsyHFyiMFrhq65ylE-z2w0_uOkBZ4yIVq9yfL-SncfaGOZhziozET9R59UpaG2m5KIWrlp1RWO5CIDOoEkQ-6I4BQVt0_iKonVsY9hJFrNCzVsFxzQmDGfzI/s400/images+%252810%2529.jpgSEWAKTU sidang Dewan Undangan Negeri (Dun) berlangsung dalam suasana yang ‘panas’ di Selangor, Perak, Pulau Pinang dan Kelantan; Kedah nampaknya masih mengekalkan rekod ketenangannya untuk tahun yang keempat.

Kritikan dan bidasan daripada pihak pembangkang adalah hal biasa namun ia berlangsung dalam suasana aman. Tiada Adun yang diperintah keluar dewan, tiada tempik sorak macam di zoo serta tidak pernah berlaku peristiwa keluar dewan beramai-ramai oleh pihak pembangkang.


Ramai yang menunggu pendedahan Exco Kerajaan Negeri, Dato’ Ir Phahrolrazi Zawawi mengenai cara perbelanjaan di zaman BN dahulu berhubung peruntukan penyelenggaraan jalan oleh Pusat.

Namun belum sempat beliau mendedahkan perkara tersebut, Ketua Pembangkang, Dato’ Seri Mahdzir Khalid terlebih dahulu mengakui ‘kesalahan’.

“Kerajaan dahulu juga menggunakan lebihan wang peruntukan jalan seperti mana kerajaan negeri sekarang lakukan.

Amalan itu telah kita lakukan sejak dulu lagi,” dedah beliau sewaktu memulakan perbahasan Usul Ucapan Menjunjung Kasih sempena Persidangan Dun.

Dalam tempoh sejam lebih berucap, terdapat satu isu menarik yang diceritakan oleh bekas Menteri Besar itu.

Kononnya maklumat yang didengarnya di sebuah lobi hotel di Langkawi bahawa kerajaan negeri akan memulangkan semula tanah yang dirampas oleh kerajaan negeri di zaman pentadbiran beliau dahulu.

Mahdzir tidak menyebut siapakah pemilik tanah tersebut tetapi mungkin sebahagian besar ahli dewan tahu bahawa tanah kontroversi itu adalah milik Ting Pek Khiing, kroni kepada bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Tanah itu dirampas dahulu kerana tidak membayar cukai taksiran yang berjumlah RM14 juta. Hanya cukai premium yang dibayar. Rampasan dibuat mengikut prosedur undangundang dan telah diwartakan sebagai milik kerajaan.

Ketua Pembangkang itu tidak mahu tanah itu diserah balik hanya kerana terdapat usaha oleh orang tertentu mendesak tanah itu dikembalikan.

Beliau tidak menyebut siapakah individu yang ‘menyondol’ kerajaan negeri minta tanah tersebut dikembalikan tetapi di belakang tabir, terdapat rahsia umum bahawa individu yang dimaksudkan ialah Mahathir.

Mahdzir Khalid menaiki karier politik kerana bekas bosnya Tun Abdullah Ahmad Badawi.

Abdullah dan Mahathir berseteru dalam banyak isu. Sidang Dun pula dijadikan platform untuk memanjangkan usaha menyekat dan mencantas antara dua kem yang nampaknya belum berakhir.

Kerajaan negeri tidak terbabit dengan pertikaian mereka melainkan melakukan apa yang sepatutnya mengikut prosedur dan undang-undang dengan meletakkan kepentingan rakyat sebagai keutamaan.

Sidang Dun kali ini juga dikejutkan dengan kekesalan oleh Tuanku Sultan Kedah yang pastinya ditujukan kepada Kerajaan Pusat kerana belum lagi membina dua hospital di Daerah Pendang dan Bandar Baharu, seperti dijanjikan sebelum ini.

Di Selangor, Perak dan Kelantan seringkali titah ucapan Tuanku ‘dimanipulasi’ seolah-olah mengkritik kerajaan pimpinan Pakatan Rakyat, lalu ia disiarkan secara besar-besaran oleh mediamedia talibarut BN. Berhubung teguran Tuanku Sultan Kedah mengenai isu hospital ini, ia langsung digelapkan oleh TV3, Utusan Malaysia serta mediamedia talibarut BN yang lain.

Tahun lalu hal yang sama berlaku. Tuanku Sultan melahirkan kekesalan terhadap pihak yang mempertikaian usaha kerajaan negeri membantu mangsa banjir. Sepatah pun titah ucapan tersebut tidak disiarkan oleh media-media talibarut BN.

Pelan Strategik Kedah Sejahtera mendapat pujian daripada Sultan Kedah. Menurut baginda, melalui pelan tersebut perancangan dan pelaksanaan projek pertanian, akuakultur, pembuatan, pelancongan, prasarana dan pembangunan insan telah memberi impak positif kepada ekonomi serta meningkatkan taraf hidup rakyat.

Baginda berharap semua pihak beri kerjasama dan sokongan padu kepada kerajaan agar pelaksanaan projek-projek ini berjalan dengan lancar demi faedah kepada negeri Kedah.

Isu penting yang disentuh oleh Sultan Kedah ialah sokongan baginda terhadap usaha kerajaan negeri membangunkan projek terbengkalai termasuk Bangunan Plaza Tunku Yaakob yang tidak dapat disiapkan selama 30 tahun.

Isu tersebutlah yang menjadi pertikaian pihak tertentu kononnya kerajaan negeri bertindak keterlaluan merobohkan sebuah surau wakaf. Jabatan Mufti, Majlis Fatwa Negeri Kedah dan Majlis Agama Islam Kedah (Maik) berada di bawah Tuanku Sultan Kedah.

Semua keputusan yang dibuat oleh entiti tersebut sudah termaklum kepada baginda. Jadi apabila baginda bersetuju secara umum usaha pemulihan projek terbengkalai tentulah ia termasuk yang melibatkan penggantian bangunan surau wakaf. Maka ia berjaya ‘menutup mulut’ pihak pembangkang sehingga tiada seorang pun di kalangan Adun BN berani yang menyentuhnya dalam sidang Dun kali ini.

No comments:

Post a Comment