mb kedah

ALOR SETAR - Langkawi memerlukan lebih banyak hotel bertaraf lima bintang untuk menggalakkan pelancong asing tinggal lebih lama di pulau itu.

Menteri Besar, Datuk Seri Azizan Abdul Razak berkata, berdasarkan kajian yang dibuat oleh Unit Perancangan Ekonomi (EPU) di Jabatan Perdana Menteri, menunjukkan pelancong tidak berhasrat tinggal lama di Langkawi kerana kekurangan hotel bertaraf lima bintang.

“Kehendak pelancong luar negara tidak sama dengan pelancong domestik. Mereka amat titik beratkan keselesaan penginapan dan aspek kebersihan. Sebab itu kita perlu sediakan hotel bertaraf lima bintang supaya mereka tinggal lebih lama dan berbelanja lebih banyak,” katanya.

Menurutnya, Kerajaan Negeri bersedia membantu pengusaha hotel menaik taraf kemudahan hotel sedia ada supaya setaraf dengan hotel antarabangsa, selain mempermudahkan proses permohonan atas dasar strategi memacu sektor pelancongan.

“Terdapat beberapa projek sedang dalam pembinaan dan naik taraf, antaranya syarikat Tradewind di Pantai Kok, Tanjung Sancthuary diperbesarkan, juga ada permohonan di Tanjung Rhu dan Datai, yang akan difokuskan untuk pelancong luar negara,” katanya.

Azizan berkata, walaupun tumpuan diberikan untuk membangunkan hotel bertaraf lima bintang, namun keperluan menyediakan hotel bertaraf tiga bintang juga disediakan untuk pelancong tempatan.

“Hotel bertaraf lima bintang perlu apabila adanya penganjuran acara peringkat dunia, seperti Lima dan Le Tour de Langkawi. Namun kita tidak lupakan penginapan untuk pelancong tempatan, kita juga galakkan pengusaha hotel bina hotel berpatutan untuk domestik,” katanya.

Sehubungan itu, Kerajaan Negeri bawah Permodalan Kedah Berhad (PKB) akan membina hotel bertaraf tiga bintang di Pokok Asam, Kuah yang bakal menyediakan 300 bilik untuk pelancong tempatan.

“Terdapat juga sebuah hotel di bandar Kuah sedang dalam pembinaan, yang turut menempatkan kompleks beli belah," katanya. [Sinar Harian]