11 individu

SHAH ALAM – Mahkamah Tinggi di sini, melepas dan membebaskan 11 individu termasuk seorang wanita ­daripada tuduhan menyertai perhimpunan haram, 11 tahun lalu.
Hakim, Datuk Abdul Rahim Uda membuat keputusan itu semalam, ­selepas berpuas hati Mahkamah ­Sek­­syen Ampang tidak terkhilaf ­semasa membuat keputusan melepaskan semua tertuduh pada 6 Oktober 2009.

Mereka adalah Saeden Wateh, 58; Monashofian Zulkarnain Putera, 49; Aida Idris, 45; Muhammad Tarmizi Abd Rahman, 50; Sahri Bahari, 50; S Pospan Linggam, 66; Md Ab Nasir Md Isa, 54; Ahmad Faizal Chek, 34; Mat Dan Hassan, 69; Abd Razak Ismail, 49 dan Mohamad Salim Laidin, 53.

Mereka didakwa melakukan perhimpunan itu di antara Kilometer 21 dan 24 Lebuhraya Shah Alam (Kesas), dekat sini, antara jam 2 dan 4.15 petang, 5 November 2000, di mana mereka sepatutnya mempunyai lesen kebenaran di bawah Seksyen 27 (2) Akta Polis 1967 Akta 344.

Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 27(5) (9) akta sama yang boleh dihukum di bawah Seksyen 27 (8) yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM10,000 dan penjara tidak melebihi setahun, jika sabit kesalahan.

Abdul Rahim dalam penghakimannya berkata, semua tertuduh tidak sepatutnya dipanggil membela diri pada perbicaraan di Mahkamah Seksyen kerana pembuktian kes (prima facie) gagal dibuktikan.

“Mahkamah tidak boleh mem­buat rumusan bahawa semua pengguna jalan raya yang berada di Kesas pada masa kejadian bertujuan membuat demonstrasi dan tidak mungkin semua menjalankan perhimpunan haram.

“Oleh itu, mahkamah ini menolak rayuan pendakwa raya dan mengekalkan keputusan untuk melepas dan membebaskan semua responden,” katanya.

Pendakwaan diwakili Ketua Pen­dakwaan Selangor, Mohd Azari Haarun dan Timbalan Pendakwa Raya, Khairul Fikrie Zubaidi, manakala semua tertuduh diwakili peguam, Yusmadi Yusoff dan Fahda Nur Ahmad Kamar.

Sementara itu, Saeden yang merupakan pengawal peribadi Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, di luar mahkamah berkata, be­liau dan rakan-rakan bersyukur kerana bebas daripada tuduhan.

11 tahun lalu, ‘Perhimpunan 100,000 Rakyat’ anjuran parti pembangkang yang mahu diadakan di Jalan Kebun, Klang pernah menyebabkan beribu-ribu pengguna lebuh raya itu terperangkap dalam kesesakan teruk.

Seramai 11 orang daripada 125 orang yang ditahan polis, didakwa di Mahkamah Seksyen Ampang dan dibebaskan pada akhir kes pembe­laan.