YAN - Jabatan Zakat Negeri Kedah memperuntukkan sebanyak RM36,000 untuk bantuan bencana alam kepada 36 mangsa ribut di Kuala Sedaka, di sini.
Bantuan sebanyak RM36,000 itu disampaikan oleh Setiausaha Zakat Negeri Kedah, Dato’ Syeikh Ghazali Yaakob kepada Pegawai Daerah Yan, Zahari Ismail pada majlis penutup Kursus Amil Padi Daerah Yan yang diadakan di D’Yan Chalet, Peranginan Titi Hayun, di sini.
Menurut Dato’ Syeikh Ghazali, bantuan itu diberikan sebanyak RM1,000 kepada 36 mangsa ribut.
“Kita amat memahami situasi yang dihadapi oleh mangsa-mangsa ribut di Kuala Sedaka dan bantuan yang diberikan pada hari ini diharap dapat meringankan beban yang terpaksa dihadapi oleh mereka,” ujarnya.
Beliau menjelaskan, pihaknya juga turut menyampaikan bantuan kewangan bulanan kepada 42 fakir miskin dan bantuan makanan bulanan kepada 30 fakir miskin dalam Daerah Yan.
“Kita juga turut menyampaikan bantuan Jaya Diri kepada enam orang penerima dalam Daerah Yan yang berjumlah sebanyak RM12,500 dan bantuan rawatan sekaligus kepada tujuh orang penerima yang berjumlah sebanyak RM6,200,” katanya.
Dato’ Syeikh Ghazali memberitahu, pihaknya juga turut menyampaikan bantuan untuk membaiki tujuh buah rumah dalam Daerah Yan iaitu sebanyak RM111,700.
“Kita juga turut memberikan bantuan kepada pelajar yang berjaya melanjutkan pengajian ke institusi pengajian tinggi (IPT) iaitu kolej sebanyak RM600 manakala universiti sebanyak RM1,000,” jelasnya.
Tambahnya, pihaknya juga turut menyediakan bantuan untuk anak sekolah pada 1 Januari 2012 iaitu sebanyak RM300.
Dalam pada itu, katanya, kutipan zakat yang berjaya diperolehi oleh Jabatan Zakat Negeri Kedah dalam Daerah Yan sehingga 14 Disember 2011 ialah sebanyak RM1,852,230.42.
“Kita juga turut menyampaikan bantuan zakat kepada penerima-penerima bantuan zakat dalam Daerah Yan sebanyak RM2,797,009.51,” ujarnya.
No comments:
Post a Comment