Showing posts with label Zakat. Show all posts
Showing posts with label Zakat. Show all posts

Wednesday, November 7, 2012

Jabatan Zakat Negeri Kedah mula agih bantuan persekolahan

7 November 2012

ALOR SETAR - Jabatan Zakat Negeri Kedah (JZNK) mula mengagihkan bantuan pakaian dan kasut sekolah kepada pelajar miskin di seluruh negeri sebagai persediaan sesi persekolahan tahun depan.

Setiausahanya Datuk Syeikh Ghazali Yaacob berkata agihan dilakukan secara berperingkat mengikut daerah bermula dengan Kota Setar bulan lepas dan kini di Pendang dengan peruntukan RM5,000 setiap sekolah.

Di Kota Setar sebanyak 78 sekolah menerima 7,800 pasang pakaian seragam sekolah dan 3,900 pasang kasut, manakala 33 buah sekolah di Pendang menerima 3,300 pasang pakaian seragam dan 1,650 pasang kasut, katanya.

"Bantuan ini diberikan kepada pelajar miskin dari golongan asnaf yang layak sahaja," katanya selepas penyampaian Dermasiswa Institusi Pengajian Tinggi (IPT) Tempatan dan Luar Negara serta penyampaian bantuan pakaian seragam sekolah di Bangunan JZNK, di sini hari ini.


Beliau berkata pakaian seragam terbabit adalah hasil jahitan 16 peserta golongan asnaf dari Pusat Kemahiran Jahitan di bawah unit Agihan dan Pembangunan Asnaf JZNK.

Pada majlis itu Syeikh Ghazali turut menyampaikan pakaian seragam sekolah kepada 10 penerima dari Sekolah Model Khas Bukit Jenun, Pendang.

Bagi Dermasiswa IPT tahun ini, JZNK memperuntukan RM15.5juta kepada 16,733 penerima yang diagih dari Januari hingga Oktober lepas, katanya.

Sheikh Ghazali berkata jumlah itu meningkat sebanyak RM2 juta berbanding RM13.5juta tahun yang disumbang kepada 18,078 pelajar.

Katanya dermasiswa diberikan hanya untuk tahun pertama pengajian iaitu RM800 bagi pelajar peringkat sijil, matrikulasi serta diploma dan RM1,200 bagi penuntut peringkat ijazah, sarjana dan ijazah doktor falsafah. - Bernama

Friday, March 9, 2012

Bukti Penyelewengan Wang Zakat

KUALA LUMPUR : Dewan Pemuda PAS Malaysia [DPPM] hari ini mededahkan bahawasanya berlaku penyelewengan di dalam urus tadbir zakat oleh MAIWP. Pendedahan ini diketuai oleh Saudara Kamaruzaman Mohamad selaku Pengarah Task Force Zakat DPPM, Saudara Yusapiza Yaacob selaku Penolong Setiausaha 3 DPPM dan Saudara Suhaimi Abdul Aziz selaku Timbalan Ketua Pemuda PAS Wilayah Persekutuan.

“Sidang media ini adalah kerana Dato’ Seri Jamil Khir selaku Menteri Agama enggan menjawab persoalan-persoalan yang telah kami timbulkan dalam siri pendedahan yang terdahulu”, jelas saudara Kamaruzaman Mohamad selaku pengarah task force zakat DPPM. Antara yang pernah ditimbulkan oleh DPPM ialah :

1. Mengapa lebih 40% duit zakat tidak pergi langsung ke asnaf,

2. Mengapa sehingga RM 23 juta diberikan kepada Amil,

3. Apakah perincian perbelanjaan RM 2 juta bagi belanja mengurus Yayasan Taqwa (YT) dan minta didedahkan akaun YT,

4. Dimana bukti RM 800,000 yang tidak dinyatakan dalam Laporan Maiwp di bawa ke 2011,

5. Dimana hasil audit dalaman YT.

Hari ini, DPPM dalam sidang medianya telah mendedahkan 2 dokumen yang berkaitan dengan satu transaksi wang zakat ke Yayasan Taqwa. “ Pada kami, transaksi seperti ini mengandungi conflict of interest dan pelanggaran kepada konsep urus tadbir yang baik.

Dokumen tersebut menjelaskan berlakunya permohonan yang diluluskan oleh Jawatankuasa Baitulmal terhadap permohonan Yayasan Taqwa Wilayah Persekutuan melalui Pengurus Besar Yayasan Taqwa Haji Ahmad Ayob Haji Ibrahim dengan pertambahan kepada RM4 juta daripada RM1 juta yang dipohon.

“Kenapa peruntukan yang diluluskan lebih dari yang dipohon? Ke manakah pula wang RM 4 Juta itu dibelanjakan? Dan sila dedahkan segera audit dalaman Yayasan Taqwa segera”, tegas beliau yang juga Ketua Pemuda PAS Wilayah Persekutuan.

Menurut beliau, wang zakat adalah harta orang Islam yang diambil dan dipertanggungjawabkan kepada institusi tertentu untuk mengagihkannya kepada asnaf yang telah ditetapkan. Beliau juga memuji tindakan MAIWP yang telah membentuk satu skuad untuk mencari asnaf baru-baru seperti yang dilaporkan di dalam Utusan pada 17 Febuari.

“Tindakan menubuhkan skuad ini merupakan satu tindakan yang menarik berkemungkinan rentetan daripada siri pendedahan yang telah kita buat sebelum ini. Penubuhan skuad ini juga memberi bukti bahawasanya masih ada asnaf di sekitar Wilayah Persekutuan. Hari ini sekiranya kita melihat di sekitar Bandaraya kita ini, nescaya kita akan terjumpa masyarakat gelandangan yang tidak mempunyai tempat tinggal”.

Tambah beliau lagi, “Sepatutnya tidak perlu ada Yayasan Taqwa kerana sudah ada Baitulmal yang berperanan selaku pengurus dan juga pengagih kepada wang zakat. Sampai RM2 juta wang yang diperlukan untuk membiayai kos pengurusan Yayasan Taqwa ini. Kita mengandaikan sekiranya dipecahkan kepada angka RM5 ribu untuk diagihkan, hampir 400 orang akan mendapat manfaat dengan jumlah RM2 juta itu tadi. Jadi kami berpendapat Yayasan Taqwa perlu ditutup dan pekerjanya perlu diserap masuk ke dalam MAIWP!”.

Dewan Pemuda PAS Malaysia juga hari ini meminta daripada Dato’ Seri Jamil Khir untuk menjawap dengan kadar segera persoalan yang ditimbulkan oleh mereka.

“Kami beri tempoh seminggu, sekiranya masih mendiamkan diri dan tidak memberikan jawapan yang memuaskan hati umat Islam, kami akan buat laporan polis atau kepada pihak SPRM untuk menyiasat perkara ini”, tegas beliau.

Dewan Pemuda PAS Malaysia meminta kepada Dato’ Seri Jamil Khir untuk menjelaskan 3 perkara tersebut :

  1. 1. Kenapa peruntukan yang diluluskan lebih dari yang dipohon?
  2. 2. Ke manakah wang RM4 Juta itu dibelanjakan?
  3. 3. Dedahkan audit dalaman Yayasan Taqwa segera !

Monday, February 13, 2012

Baitulmal: Jamil Khir mohon, dia sendiri lulus?

KUALA LUMPUR, 13 Feb: Dewan Pemuda PAS Malaysia mempersoalkan bagaimana orang yang sama iaitu Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir yang merupakan Pengerusi Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) dan memegang jawatan Pemegang Amanah Yayasan Taqwa boleh memohon dan meluluskan peruntukan dari Baitulmal MAIWP.

Ketuanya, Nasrudin Hassan pada sidang media di Ibu Pejabat PAS mendakwa, perkara tersebut menimbulkan persoalan bagaimana jumlah permohonan berjumlah RM1 juta tetapi diluluskan RM4 juta itu dilakukan oleh Jamil Khir yang merupakan pemohon serta yang meluluskan permohonan tersebut.

"Persoalan ini perlu dijawab dan kami mahu Jamil Khir menjelaskan perkara tersebut yang telah menimbulkan tanda tanya bagaimana beliau yang juga merupakan Pengerusi MAIWP dan juga Pemegang Amanah Yayasan Taqwa boleh meluluskan permohonan tersebut.

"Dalam pada itu juga permohonan yang dibuat oleh Yayasan Taqwa haya RM1 juta tetapi kelulusan dari Baitulmal MAIWP adalah sebanyak RM4 juta," jelasnya.

Dalam pada itu, Nasrudin berkata Yayasan Taqwa jua mendakwa bahawa RM2 juta yang dibelanjakan untuk pengurusan bukan sekadar perbelanjaan pengurusan tetapi meliputi semua perbelanjaan pentadbiran dan pengurusan program.

"Kita melihat perincian perbelanjaan tersebut telah diperakui dan disahkan mengikut skim mahupun peraturan yang ditetapkan malah ia diperakui oleh semakan audit.

"Tetapi demi kepentingan pembayar zakat dan sensitiviti seluruh umat Islam maka kita hari ini turut mendesak agar Jamil Khir membuat pendedahan secara terperinci perbelanjaan pengurusan RM2 juta itu, tindakan ini adalah sebagai menghapuskan keraguan yang timbul," katanya lagi.

Katanya lagi, untuk apa diwujudkan Yayasan Taqwa kerana pada masa sekarang peranan MAIWP dalam urusan menyampai bantuan zakat sudah mencukupi apatah lagi dengan bantuan kakitangan yang cekap dalam urusan tersebut termasuk segala maklumat penerima yang ada.

"Kita melihat permohonan RM4 juta itu kalau diberikan kepada mereka yang layak menerima zakat sudah tentu lebih ramai dapat merasakannya tetapi wang tersebut disalurkan kepada sebuah yayasan yang dilihat mempunyai kepentingan peribadi.

"Malah perbelanjaan RM2 juta itu juga satu yang besar, kalau dikira berapa ramai penerima zakat dapat menikmati wang tersebut jika ia disalurkan melalui sebuah badan yang layak," sambungnya lagi.

Dalam masa yang sama Dewan Pemuda PAS Pusat juga ingin penjelasan dari Menteri di Jabatan Perdana Menteri atas tujuan apakah Yayasan Taqwa yang berada di bawah MAIWP itu ditubuhkan sedangkan sebelum ini segala urusan mengenai zakat telah dilakukakan oleh pihak Baitumal MAIWP.

Friday, January 20, 2012

Apa makna jawatan kalau wang zakat disalahguna?

Harakahdaily, 20 Jan 2012

KUALA LUMPUR, 20 Jan: “Apa makna jawatan tertentu kalau diserahkan kepada golongan agama sekalipun, jika wang zakat pun boleh disalahgunakan seperti yang diledakkan Ketua Audit Negara?”

Itulah jawapan ringkas berbentuk soalan daripada Ketua Penerangan PAS Pusat Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man untuk membalas serangan bertubi-tubi media Umno terhadap PAS dalam isu exco agama kerajaan negeri Selangor.

Bagi beliau, serangan Umno menandakan pemikiran Umno masih berada di kotak lama kerana menganggap exco agama mesti diberikan kepada PAS, seolah-olah orang lain tidak layak; atau PAS hanya layak pegang exco agama; sedangkan portfolio lain tak layak.

Dalam memegang jawatan dalam apa bidang sekalipun, Tuan Ibrahim menegaskan yang penting ialah amanah seperti yang dinyatakan dalam satu nasihat Nabi Muhammad kepada Abu Zar Radiallahu'anhu.

“Dalam satu peringatan Rasulullah kepada Abu Zar Radiallahu'anhu, baginda menyatakan:

"Wahai Abu Zar, sesungguhnya kamu lemah, sedangkan jawatan ini adalah amanah, dan ianya adalah penyesalan di hari akhirat, melainkan kamu menerimanya di atas kelayakan kamu dan kamu menunaikan hak kepada yang berhak menerimanya (tunaikan amanahnya).

"Jelas apa yang penting penyandang adalah mesti seorang yang amanah. Apa makna jawatan tertentu kalau diserahkan kepada golongan agama sekalipun, jika wang zakat pun boleh disalahgunakan seperti yang diledakkan Ketua Audit Negara?” kata beliau.

Kenyataan beliau ini dipercayai merujuk kepada kontroversi Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) menggunakan dana zakat sebanyak RM63,650.00 untuk sebagai pendahuluan membiayai kos guaman Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir dalam menangai kes permohanan qazaf Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Tuan Ibrahim, yang juga Pesuruhjaya PAS Pahang turut berpendapat bahawa kenyataan Menteri Besar Selangor Tan Sri Khalid Ibrahim dan perakuan untuk mengadakan perbincangan dengan PAS dalam isu-isu agama dan merujuk kepada pakar dalam isu-isu hukum telah menggambarkan kepada rakyat, sikap berhati-hati yang diambil kerajaan Selangor dalam melaksanakan amanah yang dipertanggungjawab kepadanya.

Dalam perlantikan Dr Yunus dengan sokongan padu Pesuruhjaya PAS Selangor Dr Rani Osman, Tuan Ibrahim berkata ia memperlihatkan kepada umum betapa kepimpinan PAS bukanlah golongan yang mengejar jawatan.

“Bahkan rela diberi kepada orang lain yang difikirkan sesuai dan layak demi memperkasakan jentera parti,” tambah beliau.

Tuesday, January 17, 2012

ISU ZAKAT : Dah masuk balai polis.. kita tunggu apa tindakan terhadap MAIWP, Jamil Khir dan Che Mat.

Pemuda PAS Wilayah buat laporan polis isu zakat

KUALA LUMPUR, 17 Jan: Pemuda PAS Wilayah Persekutuan hari ini membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi berhubung dakwaan salahguna wang zakat Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP).

Laporan atas nama Ketua PAS Wilayah Persekutuan, Kamaruzaman Mohamad itu dibuat terhadap Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom dan Pengarah Jawi, Datuk Che Mat Che Ali.

Jamil, Che Mat dan Ketua Pendakwa Syarie Wilayah Persekutuan Shamsuddin Hussain melantik syarikat guaman Zainul Rijal Talha dan Amir bertarikh 28 Januari 2010 bagi mewakili mereka dalam kes tuntutan qazaf bertujuan menghalang kes melibatkan Datuk Seri Anwar Ibrahim dibicarakan di Mahkamah Syariah.

Bercakap kepada pemberita selepas laporan dibuat, Kamaruzaman mendesak pihak polis menyiasat dan mengambil tindakan undang-undang terhadap MAIWP, Jamil dan Che Mat.

"Bukti mengenai salahguna wang zakat oleh menteri dan pengarah Jawi ini sangat besar dan perlu disiasat segera kerana melibatkan wang rakyat.

"Di Wilayah Persekutuan ini ramai lagi golongan yang memerlukan sukar untuk menerima zakat, tiba-tiba menteri menggunakan wang ini untuk kepentingan peribadi," kata beliau.

Kamaruzaman merujuk kepada bukti yang didedahkan PKR minggu lalu mengenai perkara tersebut.

Ianya merupakan set dokumen daripada MAIWP sendiri termasuk baucar bayaran bernombor 2010B4112 bertarikh 29 April 2010 sebanyak RM32,150.

Baucar tersebut secara terang merakamkan kumpulan wang yang digunakan merupakan kumpulan wang zakat.

Selain itu bukti itu merupakan surat daripada Ketua Audit Negara, Tan Sri Datuk Setia Ambrin Buang kepada Pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Negara, Datuk Seri Azmi Khalid yang mengesahkan bahawa RM63,650 wang zakat iaitu bayaran pertama sebanyak RM31,500 pada 9 Februari 2010 dan bayaran kedua berjumlah RM32,150 pada 29 April 2010 digunakan bagi membayar kos guaman MAIWP.

Mengulas mengenai kenyataan Jamir bahawa wang itu digunakan untuk menjaga kepentingan Islam, Kamaruzaman berkata ianya adalaha alasan yang tidak logik.

"Datuk Seri Jamil kata boleh guna wang zakat untuk mendaulatkan Islam.

"Dalam kes ini Datuk seri Anwar yang fail kes qazaf dan memohon untuk kesnya dibicarakan di Mahkamah Syariah. Sekarang siapa yang mendaulatkan Islam?" soalnya.

Sementara itu, Timbalannya, Suhaimi Abdul Aziz memberitahu, Pemuda PAS Pusat akan menyerahkan memorandum berhubung perkara itu di pejabat MAIWP, Khamis ini jam dua petang.

Friday, January 13, 2012

Tidak layak guna wang zakat untuk kes qazaf

PKR: Tidak layak guna wang zakat untuk kes qazaf


KUALA LUMPUR, 13 Jan — PKR terus memberikan tekanan terhadap Datuk Seri Jamil Khir Baharom dengan menegaskan Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu tidak layak menggunakan wang zakat untuk membiayai kos guamannya dalam kes permohonan qazaf Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Ini kerana menurut Setiausaha Agung PKR Saifuddin Nasution Ismail (gambar), Jamil Khir dan dua Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) telah menghalang hukum Islam daripada dilaksanakan dalam kes Anwar.

Dua pegawai MAIWP itu adalah setiausahanya Datuk Che Mat Che Ali yang juga Ketua Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) dan Ketua Pendakwa Syarie Wilayah Persekutuan, Shamsuddin Hussain.

“Alasan mereka bahawa wang zakat diwajarkan penggunaannya sebab mereka termasuk dalam Asnaf fisabillah, mereka tergolongan di kalangan yang mempertahankan kedaulatan institusi Islam. Apakah orang yang menggunakan kedudukan menghalang seorang yang difitnah membawa kes ke mahkamah syariah dianggap mempertahankan kedaulatan institusi Islam?

“Adakah orang yang menggunakan kedudukan mereka menyekat pendakwa syarie meneruskan dakwaan qazaf ke atas (Mohd) Saiful (Bukhari) (Azlan) yang membuat tuduhan tanpa menampilkan saksi boleh dianggap mempertahankan kedaulatan Islam,” kata Saifuddin dalam satu kenyataan.

Malah kata Saifuddin, Ahli Parlimen Machang ini tindakan Jamil Khir yang menafikan penggunaan wang zakat untuk membayar kos guaman itu terus menimbulkan banyak persoalan ekoran bukti-bukti baru yang didedahkan parti itu.

“Apakah jika mereka menggunakan kedudukan untuk berbuat demikian maka mereka dibolehkan menggunakan wang zakat untuk membayar khidmat guaman mereka?

“Adalah jelas mereka bukan mendaulatkan Islam bahkan merekalah yang menghalang hukum Islam daripada dilaksanakan,” katanya.

Beliau menambah kenyataan Mufti Wilayah Persekutuan Datuk Wan Zahidi Wan Teh dan Che Mat bahawa wang zakat boleh digunakan untuk mempertahankan institusi Islam mengundang lebih banyak persoalan.

Semalam PKR membuat laporan polis berhubung perkara ini dan menamakan Jamil Khir, Che Mat dan Shamsuddin atas kesalahan penyalahgunaan wang zakat.

Saifuddin turut menyentuh tentang pelantikan peguam yang mewakili ketiga-tiga individu Datuk Zainul Rijal Abu Bakar menjadi ahli majlis MAIWP pada 25 Julai 2011.

Katanya, Jamil Khir perlu tambil memberi penjelasan berhubung persoalan yang dibangkitkan parti itu menambah “ berdiam diri bukanlah jalan terbaik.”

Laporan Audit Negara mengesahkan RM63,650 dikeluarkan daripada dana zakat MAIWP bagi mendahulukan bayaran khidmat guaman untuk ketiga-tiga mereka.

Bagaimanapun Jamil Khir menafikan perkara itu menegaskan beliau telah membayar kos guaman menggunakan geran kerajaan dan bukan wang zakat.

Monday, January 9, 2012

Jumlah kutipan zakat 2011 ialah RM97,948,412.90

ALOR SETAR – Jumlah keseluruhan kutipan zakat yang berjaya diperolehi oleh Jabatan Zakat Negeri Kedah sehingga 27 Disember 2011 ialah sebanyak RM97,948,412.90.

Menurut Setiausaha Zakat Negeri Kedah, Dato’ Sheikh Ghazali Yaacob, jumlah zakat yang berjaya diperolehi sehingga 27 Disember 2011 ialah sebanyak RM93,455,305.96.

“Jumlah lain-lain pendapatan ialah sebanyak RM4,493,106.94 manakala sasaran jumlah kutipan zakat pada tahun 2011 ialah sebanyak RM83 juta,” ujarnya.

Beliau menjelaskan, jumlah kutipan zakat padi yang berjaya diperolehi ialah sebanyak RM3,782,049.65.

“Bagi zakat ternakan, jumlah zakat yang berjaya diperolehi ialah sebanyak RM21,488; zakat pendapatan (RM47,824,348.89), zakat perniagaan (RM27,587,402.95) dan zakat wang simpanan (RM6,491,464.57),” ujarnya.

Sheikh Ghazali berkata, jumlah kutipan bagi zakat saham ialah sebanyak RM256,164.70 manakala zakat Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) ialah sebanyak RM668,211.96.

“Jumlah kutipan bagi zakat emas ialah sebanyak RM424,502.05; zakat perak (RM20), zakat galian (RM5,130), zakat fitrah (RM6,085,349.73), qadha zakat (RM125,064.06) dan zakat fidyah (RM184,109.40),” tambahnya.

Wednesday, December 21, 2011

Jabatan Zakat sumbang RM36 ribu untuk mangsa ribut

images/stories/Disember2011/bantuan mangsa ribut1.jpgYAN - Jabatan Zakat Negeri Kedah memperuntukkan sebanyak RM36,000 untuk bantuan bencana alam kepada 36 mangsa ribut di Kuala Sedaka, di sini.

Bantuan sebanyak RM36,000 itu disampaikan oleh Setiausaha Zakat Negeri Kedah, Dato’ Syeikh Ghazali Yaakob kepada Pegawai Daerah Yan, Zahari Ismail pada majlis penutup Kursus Amil Padi Daerah Yan yang diadakan di D’Yan Chalet, Peranginan Titi Hayun, di sini.

Menurut Dato’ Syeikh Ghazali, bantuan itu diberikan sebanyak RM1,000 kepada 36 mangsa ribut.

“Kita amat memahami situasi yang dihadapi oleh mangsa-mangsa ribut di Kuala Sedaka dan bantuan yang diberikan pada hari ini diharap dapat meringankan beban yang terpaksa dihadapi oleh mereka,” ujarnya.

images/stories/Disember2011/yb. tan chow kang - sukaneka1.jpgBeliau menjelaskan, pihaknya juga turut menyampaikan bantuan kewangan bulanan kepada 42 fakir miskin dan bantuan makanan bulanan kepada 30 fakir miskin dalam Daerah Yan.

“Kita juga turut menyampaikan bantuan Jaya Diri kepada enam orang penerima dalam Daerah Yan yang berjumlah sebanyak RM12,500 dan bantuan rawatan sekaligus kepada tujuh orang penerima yang berjumlah sebanyak RM6,200,” katanya.

Dato’ Syeikh Ghazali memberitahu, pihaknya juga turut menyampaikan bantuan untuk membaiki tujuh buah rumah dalam Daerah Yan iaitu sebanyak RM111,700.

“Kita juga turut memberikan bantuan kepada pelajar yang berjaya melanjutkan pengajian ke institusi pengajian tinggi (IPT) iaitu kolej sebanyak RM600 manakala universiti sebanyak RM1,000,” jelasnya.

images/stories/Disember2011/bantuan mangsa ribut3.jpg images/stories/Disember2011/bantuan mangsa ribut4.jpg

Tambahnya, pihaknya juga turut menyediakan bantuan untuk anak sekolah pada 1 Januari 2012 iaitu sebanyak RM300.

Dalam pada itu, katanya, kutipan zakat yang berjaya diperolehi oleh Jabatan Zakat Negeri Kedah dalam Daerah Yan sehingga 14 Disember 2011 ialah sebanyak RM1,852,230.42.

“Kita juga turut menyampaikan bantuan zakat kepada penerima-penerima bantuan zakat dalam Daerah Yan sebanyak RM2,797,009.51,” ujarnya.

Friday, November 4, 2011

Pengurusan zakat, wakaf dan sedekah perlu pembaharuan

E-mail

http://wartakedah.net/images/stories/November2011/rasmi%20tuanku.jpgLANGKAWI - Ekonomi umat Islam perlukan perubahan namun, pengurusan zakat, waqaf dan sedeqah perlukan perubahan sebelum ekonomi umat Islam boleh diubah.

Demikian titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia (KDYMM) Tuanku Sultan Kedah dalam majlis perasmian Forum Antarabangsa Ekonomi dan Kewangan Islam Langkawi kali ke tiga (Langkawi Islamic Financial dan Ekonomics International Forum, LIFE3)

KDYMM Tuanku Sultan Kedah turut bertitah kebanyakan tanah waqaf di negara ini hanya digunakan untuk tujuan bukan komersil antaranya untuk tanah perkuburan Islam, membangunkan masjid dan surau. Terdapat juga tanah waqaf yang di biarkan dan tidak diusahakan malah ada yang diusahakan secara tidak sah atau menyalahi undang-undang.

“Banyak tanah waqaf tidak dibangunkan dan tidak dipedulikan, malah ada juga tanah waqaf yang tiada rekod atau tidak diketahui kedudukannya yang tepat.

“Masalah pengurusan waqaf ini bukan hanya berlaku di Malaysia malah turut berlaku di negara lain juga,” titah baginda.

Baginda menyeru supaya pengurusan zakat, waqaf dan sedeqah tidak diuruskan secara berasingan seperti mana berlaku sekarang, tetapi perlu diurusakan secara bersepadu.

“Intitusi kewangan Islam perlu maju kehadapan dengan memainkan peranan untuk mencari lebih banyak jalan bagaimana menggunakan zakat, waqaf dan sedeqah bagi memajukan ekonomi umat Islam,” titah baginda.

Baginda berharap pakar pengurusan Islam dapat mencari formula dalam struktur atau sistem pengurusan dan para cendiakawan atau ulamak perlu mengkaji dan memastikan sistem pengurusannya selari dengan maqasid syari’ah.

KDYMM Tuanku Sultan turut melahirkan kekecewaannya terhadap pengurusan zakat yang jumlah kutipannya melebihi 1 billion ringgit setiap tahun tetapi tidak mampu mengubah ekonomi umat Islam.

“Zakat telah dijalankan sejak zaman Rasulullah hinggalah sekarang, termasuk di zaman pemerintahan empayar Khalifah Uthmaniah, namun sekarang zakat yang dipungut gagal memainkan peranannya memajukan ekonomi umat Islam seperti zaman kegemilangan Islam dahulu.

“Sebagai contoh, kaedah pungutan zakat bertambah baik menghasilkan kutipan lebih 1 billion ringgit namun tiada kesan besar terhadap pembangunan ekonomi Islam di Malaysia,” titah baginda.

LIFE 3 adalah forum antarabangsa yang di anjurkan oleh Kolej Universiti Insaniah (KUIN), Kerajaan Negeri Kedah dan Islamic Development Bank (IDB).

Forum yang dijadikan acara tahunan ini merupakan kali ketiga dianjurkan di Langkawi dan dihadiri oleh peserta-peserta dari intitusi perbankan tempatan dan antarabangsa serta individu yang terlibat dalam sektor kewangan dan perbankan.

Forum LIFE 3 kali ini di adakan di Berjaya Resort & Spa Langkawi juga menerima penyertaan dari kalangan bukan Islam bagi membincangkan agenda menjadikan zakat, waqaf dan sedeqah sebagai pemacu ekonomi masyarakat.

Majlis perasmian LIFE 3 diadakan turut dihadiri oleh Tan Sri Dr Ahmad Mohamed Ali Al-Madani, Presiden IDB dan Exco Kerajaan Negeri. Ia diadakan selama tiga hari bermula 28 Oktober dan berakhir pada 30 Oktober 2011.

Peningkatan mendadak kutipan zakat di Kedah semenjak 2008..


Alhamdulillah..Kedah Terus Sejahtera..peningkatan mendadak kutipan zakat di Kedah semenjak 2008..tahun 2010 jumlah kutipan zakat 62 juta...Semoga keberkatan terus melimpahi bumi Kedah..

Saturday, August 27, 2011

Terlupa zakat fitrah anak

oleh MOHAMAD MAT YAKIM

8/26/2011 9:09:06 AM



Saya mula bayar zakat fitrah secara tunai sejak berhijrah ke KL pada 1994. Sebelum itu, di kampung, zakat fitrah dibayar guna beras.



Pada zaman kanak-kanak, saya tertunggu-tunggu hendak melihat orang dewasa bayar zakat fitrah. Seronok. Ini kerana, zakat fitrah masa itu biasanya dibayar terus kepada asnaf, tidak melalui amil. Di rumah asnaf, sudah siap beras fitrah yang diisi dalam bekas mengkuang.



Sebelum disempurnakan bayaran zakat, terlebih dahulu dilakukan akad jual beli beras. Beras dalam bakul mengkuang ditolak oleh si asnaf kepada pembayar zakat dengan akad jual: “Aku jual beras ini sebanyak harga” dan disambut oleh si pembayar zakat: “Aku beli beras sebanyak harga.”



Selepas itu, bakul yang sama ditolak semula kepada si asnaf diiringi lafaz: “Inilah beras fitrah yang wajib ke atas diriku tahun ini kerana ALLAH TAALA.” Si asnaf menyambut beras itu.



Selepas itu, berlaku semula akad jual beli untuk proses bayar zakat seterusnya, bagi tanggungan pula. Bayangkan jika seseorang itu punya dua isteri dan 10 anak, berapa kali bakul beras fitrah itu disorong tarik? Namun itulah tarikannya bagi saya untuk menyaksikan upacara itu.



Selain bawa wang ke rumah asnaf atau amil, ada juga yang bawa beras, tetapi ini agak menyukarkan. Bagi yang beranak ramai, mungkin hingga berbelas kampit beras perlu dibawa. Sekarang beras yang dikampit khas dalam sukatan zakat pun ada dijual. Ini lebih memudahkan berbanding dahulu.



Walau apa pun, bayar zakat di Lembah Klang jauh lebih senang. Di bazar Ramadan berhampiran rumah saya, sekurang-kurangnya empat amil di merata penjuru menunggu pembayar zakat. Dan caranya juga amat mudah, keluarkan tunai - tidak perlu bawa beras - dan urusannya boleh selesai dalam masa tiga minit sahaja.



Apa yang saya ingat, bayar zakat fitrah guna tunai pernah jadi pertikaian. Inilah masalahnya apabila undang-undang Islam yang sebenarnya universal dan relevan sepanjang zaman, ditadbir berbeza mengikut sempadan pemerintahan. Atas sebab itu juga, kadar zakat fitrah antara negeri tidak sama. Semoga masalah ini akan berakhir. Itulah doa saya setiap hari.



Beberapa tahun lalu, saya berasa amat jengkel apabila seorang rakan menggeleng-geleng kepala (baca: memperlekehkan) jawapan saya untuk soalannya: “Berapa zakat fitrah di Kedah?” Saya jawab: “RM5” Sambil geleng-geleng kepala, dia kata: “Mahalnya!”



Pada masa itu, zakat fitrah di Selangor memang lebih rendah. Kejengkelan saya kerana dia mempertikaikan bayaran zakat fitrah yang hanya perlu dikeluarkan sekali setahun sedangkan untuk sekotak rokok yang lebih mahal, tidak pula dirungut.



Jika sekalipun rakan saya itu bayar zakat fitrah di Kedah, belanjanya tidaklah sebesar mana kerana isterinya hanya seorang, anaknya pula tiga.



Keluar belanja sedikit untuk penuhi tuntutan agama pun merungut, apa punya orang? Seorang lagi rakan pula ceritanya agak lucu. Menjelang bulan puasa, rakan saya itu dapat anak baru - yang keenam. Makanya, tahun itu zakat fitrah yang perlu dia keluarkan pun bertambah.



Hendak dijadikan cerita, di rumah, resit fitrah yang baru dibayar, diperiksa isterinya. Terkejut si isteri apabila dapati resit hanya ada tujuh resit dalam poket suaminya, sedangkan yang sepatutnya adalah lapan termasuk untuk mereka suami isteri selain enam anak.



“Aku terlupa (bayar untuk) anak yang baru itu?” kata kawan saya. “Habis apa hang jawab kat bini hang?” tanya saya. “Aku terus ambil kunci kereta. Aku kata kat dia, tadi duit tak cukup nak bayar. Takkan aku nak jawab lupa.” Berdekah-dekah kami ketawa. Seorang lagi kawan pula kata: “Nasib baik resit tak cukup. Kalau terlebih macam mana? Tentu bini hang soal lebih teruk lagi.”

Thursday, August 25, 2011

Jabatan Zakat berjaya kutip RM62 juta

images/stories/OGOS2011/gambar 1.jpgALOR SETAR - Sehingga kini, Jabatan Zakat Negeri Kedah telah berjaya mengutip sejumlah lebih kurang RM62 juta untuk kesemua jenis zakat dan ia meningkat sebanyak 30 peratus daripada tahun lalu.

Menurut Pengerusi Jawatankuasa Zakat Negeri Kedah, YB. Dato’ Seraja Setia Dato’ Wira Haji Rasli Basir, pihaknya mensasarkan kutipan zakat melebihi RM83 juta untuk tahun ini.



“Bersempena bulan Ramadhan yang mulia ini, saya menyeru kepada semua umat Islam khususnya di negeri Kedah ini untuk menunaikan zakat fitrah kepada amil-amil yang telah dilantik oleh Jabatan Zakat Negeri Kedah,” katanya.



Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis pelancaran Pusat Haemodialisis Zakat, Pusat Kemahiran Jahitan Jabatan Zakat Negeri Kedah dan Agihan Zakat Kepada Asnaf Miskin di Pekarangan Jabatan Zakat Negeri Kedah, di sini.



Majlis pelancaran itu disempurnakan oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia (KDYMM) Tuanku Sultan Kedah.



Dato’ Wira Haji Rasli memberitahu, pihak Jabatan Zakat Negeri Kedah juga ada menyediakan kaedah pembayaran zakat fitrah melalui SMS (Celcom dan Maxis) bagi memudahkan lagi urusan pembayaran.



“Pusat Haemodialisis Zakat telah berjaya ditubuhkan pada Julai 2011 yang menelan belanja hampir RM1.5 juta dan pusat haemodialisis ini telah beroperasi dengan sempurna yang boleh memuatkan 18 mesin dialysis dengan kapasiti rawatan yang melibatkan sejumlah 70 pesakit non-hepatitis pada satu-satu masa,” katanya.



Beliau menjelaskan, haemodialisis merupakan salah satu cara rawatan yang digunakan untuk merawat pesakit buah pinggang.



“Dianggarkan jumlah pesakit ini semakin bertambah setiap tahun dan pada tahun 2010 sahaja, jumlah kes yang menjalani rawatan haemodialisis di seluruh negara sudah mencecah lebih 20,000 kes,” ujarnya.



Tambahnya, antara objektif utama Pusat Haemodialisis Zakat ialah memberikan rawatan secara percuma kepada golongan asnaf miskin khususnya dalam Negeri Kedah. Selain itu, ianya membantu untuk memperbaiki kesihatan asnaf untuk menempuh hidup yang lebih bermakna.



“Manakala Pusat Kemahiran Jahitan telah ditubuhkan pada 15 Oktober 2010 dengan kos permulaan hampir RM300,000 dan ianya bermula sebagai Bengkel Jahitan yang memberikan kursus selama tiga bulan kepada asnaf terpilih berkaitan jahitan,” jelasnya.



Kemudian, katanya, operasi jahitan dimulakan pada 17 Januari 2011 dan nama Bengkel Jahitan ditukarkan kepada Pusat Kemahiran Jahitan, Jabatan Zakat Negeri Kedah.



“Seramai 11 orang peserta telah dipilih daripada kalangan ibu tunggal miskin dan anak-anak asnaf miskin. Pusat Kemahiran Jahitan ini dibimbing oleh seorang guru jahitan yang dilantik khas oleh Jabatan Zakat Negeri Kedah,” ujarnya.



Selain itu, katanya, agihan zakat kepada asnaf miskin pada tahun ini ialah seramai hampir 25,000 orang dan setiap seorang akan menerima sebanyak RM600 yang mana kos keseluruhan lebih kurang RM14 juta.



“Pengagihan ini adalah merangkumi seluruh negeri Kedah dan agihan bantuan pada hari ini adalah sebahagian daripada jumlah tersebut. Bantuan ini diharap dapat meringankan beban golongan fakir miskin untuk sama bergembira menyambut ketibaan Syawal yang bakal menjelma,” jelasnya.



Berangkat sama dalam majlis itu ialah KDYMM Tuanku Sultanah Kedah dan Pengerusi Yayasan Sultanah Bahiyah (YSB), Yang Teramat Mulia (YTM) Tunku Panglima Besar Dato’ Seri Tunku Puteri Intan Safinaz.



Hadir sama ialah Pengerusi Jawatankuasa Agama, Pelajaran dan Koperasi, YB. Dato’ Haji Mohamed Taulan Mat Rasul; Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Badan-Badan Bukan Kerajaan (NGO), Pembangunan Insan, Sains dan Inovasi serta Teknologi Maklumat dan Komunikasi, YB. Dr. Ismail Salleh; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pedu, YB. Dato’ Seri Diraja Mahdzir Khalid dan Setiausaha Jabatan Zakat Negeri Kedah, Dato’ Syeikh Ghazali Yaakob.

Thursday, August 18, 2011

Jabatan Zakat agih RM590,200 bantuan



ALOR SETAR - Jabatan Zakat Negeri Kedah mengagihkan RM590,200 kepada 923 pelajar yang berjaya melanjutkan pengajian ke institusi pengajian tinggi (IPT) awam dan swasta di dalam dan luar negara tahun ini.



Setiausahanya, Datuk Sheikh Ghazali Yaacob berkata, bantuan berkenaan yang sebelum ini disampaikan kepada semua pelajar di beberapa daerah dan kali ini melibatkan empat daerah iaitu Yan, Pendang, Kubang Pasu dan Kota Setar.



Menurutnya, RM157,200 diagihkan kepada 250 pelajar dari Pendang, RM299,000 kepada 459 pelajar Kubang Pasu, RM74,000 kepada 114 pelajar Yan dan RM60,000 untuk 100 pelajar Kota Setar.



“Bantuan ini diberikan kepada semua pelajar yang berjaya melanjutkan pelajaran ke IPT dengan RM600 diberikan kepada pelajar yang mendapat tempat di kolej manakala RM1,000 untuk pelajar di universiti.



“Saya berharap bantuan ini dapat meringankan beban kewangan dan digunakan dengan sebaiknya oleh pelajar terbabit,” katanya.



Ghazali berkata, Jabatan Zakat negeri juga akan memberi bantuan kepada pelajar yang berjaya melanjutkan pengajian di luar negara termasuk Mesir dan Jordan pada minggu hadapan.



http://www.sinarharian.com.my/sh/utr/content/story9440959.asp