Showing posts with label Yan. Show all posts
Showing posts with label Yan. Show all posts

Tuesday, March 27, 2012

Daerah YAN - Kes Jenayah turun tapi Kes Rogol meningkat..!!

Kes jenayah rogol meningkat
27 Mac 2012

Ikrar taat setia sempena Hari Polis Ke-205 Peringkat Daerah Yan.
YAN - Kerjasama baik antara orang awam dan polis, antara faktor indeks jenayah dicatat pihak Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Yan dapat dikurangkan 10.7 peratus antara tahun 2011 dan 2010.

Ketua Polis Daerah Yan, Deputi Superintendan Ismail Abu berkata, jumlah keseluruhan kes jenayah di daerah ini dicatatkan 243 kes pada 2010, namun berkurangan menjadi 217 kes pada tahun 2011 iaitu pengurangan sebanyak 26 kes.

“Kes jenayah dipecahkan kepada dua iaitu jenayah kekerasan dan jenayah harta benda. Walaupun berlaku pengurangan peratusan indeks jenayah, namun jumlah kes yang dikategorikan dalam kes jenayah kekerasan meningkat.

“Jenayah kekerasan meningkat daripada 39 kes (2010) menjadi 66 kes (2011). Kita telah mengenal pasti mengenainya dan mendapati jumlah kes rogol meningkat pada tahun lepas bagi daerah ini,” katanya ketika ditemui pada sambutan Hari Polis Ke-205 Peringkat Daerah Yan, di IPD Yan, di sini.

Ceramah khas di sekolah

Dalam pada itu, Ismail berkata, pihaknya telah merangka pelbagai mekanisme bagi membendung kes jenayah khususnya kes rogol yang menyebabkan jumlah kes jenayah kekerasan meningkat tahun lepas.

Katanya, antara mekanisme yang dilaksanakan pihaknya ialah mewujudkan jawatankuasa memberikan ceramah khas mengenai jenayah rogol di sekolah-sekolah.

“Kita ada pegawai perhubungan sekolah untuk melaksanakan program ceramah khas ini iaitu memberikan penerangan mengenai jenayah rogol khususnya kepada pelajar.

“Ini disebabkan ada antara kes ialah bermula dengan suka-suka, namun bertukar menjadi pertuduhan merogol apabila situasi berubah dan ia sudah tentu melibatkan remaja belasan tahun,” katanya.

Ismail berkata, justeru, sempena Hari Polis kali ini, kadar indeks jenayah diharap dapat dikurangkan pihaknya sebanyak lima peratus setiap tahun dengan pelbagai mekanisme digunakan termasuk bekerjasama dengan masyarakat.


Kemalangan maut membimbangkan

Sementara itu, Ketua Bahagian Ketenteraman Awam dan Trafik Daerah Yan, Inspektor Ahmad Salimi Md Ali berkata, jumlah kemalangan maut di daerah ini sejak Januari hingga Mac tahun ini semakin membimbangkan.

Menurutnya, sejak Januari hingga Mac lalu, kemalangan maut yang dicatatkan pihaknya adalah sebanyak enam orang, membabitkan kemalangan motosikal.

“Kebanyakan kes maut membabitkan penunggang motosikal adalah berpunca daripada kecuaian penunggang sendiri.

“Ada antaranya tidak mematuhi peraturan jalan raya dan terbabas hingga menyebabkan berlakunya kemalangan maut,” katanya.

Ahmad Salimi yang turut menerima sijil penghargaan sempena Hari Polis kali ini, berkata, antara kawasan kerap berlaku kemalangan ialah di laluan Persekutuan iaitu Jalan Alor Setar-Sungai Petani dan Jalan Negeri iaitu Jalan Singkir-Guar Chempedak.

Menurutnya, pengguna jalan raya dinasihatkan lebih berhati-hati dan mendapatkan rehat secukupnya agar tidak mengantuk atau letih semasa memandu.


Pelbagai aktiviti April ini

Terdahulu, sempena Hari Polis Ke-205 Peringkat Daerah Yan, pelbagai aktiviti akan diadakan sepanjang April ini bagi menjalinkan hubungan mesra antara polis dan orang awam.

Ismail berkata, aktiviti bersama orang awam itu akan dimulakan dengan ‘Program jiwa murni’ iaitu gotong-royong antara anggota polis dan orang awam di Sungai Limau Dalam pada 4 April ini.

“Ini merupakan acara tahunan IPD Yan dan kita telah kenal pasti beberapa kawasan untuk kita adakan gotong-royong membersihkan surau, masjid dan tanah perkuburan.

“Gotong-royong ini diharap mengeratkan lagi silaturahim antara pegawai dan anggota polis dan masyarakat setempat seterusnya dapat menjalinkan kerjasama dalam menjaga keamanan dan keselamatan di sini,” katanya.

Ismail berkata, aktiviti seterusnya disusuli dengan Program Larian Hari Polis iaitu anjuran Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Negeri Kedah dan IPD Yan bertempat di kaki Gunung Jerai 7 April nanti.

Katanya lagi, Pertandingan Golf Amal juga bakal diadakan pada 11 April di Permaipura Golf Club, Bedong, khusus kepada orang awam yang meminati sukan golf.

“Kemuncak program ialah pada 14 April ini apabila kita akan me-nganjurkan kayuhan basikal iaitu dari IPD Yan ke Balai Polis Guar Chempedak hingga IPD Yan. Orang ramai boleh menghubungi IPD Yan di talian 04-465 5222 untuk menyertai program dianjurkan sempena Hari Polis sepanjang bulan hada-pan,” katanya.


Penghargaan pada anggota dan orang awam

Difahamkan sempena sambu-tan Hari Polis pihaknya pada Ahad lalu, seramai 42 pegawai, anggota polis dan orang awam telah menerima sijil penghargaan.

Ismail berkata, 42 pegawai dan anggota polis serta orang awam menerima sijil terbabit daripada pihaknya, manakala tiga pegawai dan anggota polis menerima sijil penghargaan daripada Ketua Polis Negara.

“Selain itu, seorang anggota polis menerima sijil penghargaan daripada Timbalan Perdana Menteri. Sijil penghargaan ini bagi membakar semangat mereka meneruskan khidmat cemerlang demi menjaga keamanan dan keselamatan negara,” katanya.


Sunday, March 4, 2012

Masalah banjir di Yan diatasi

https://blogger.googleusercontent.com/img/b/R29vZ2xl/AVvXsEjH68AfDcJM8c-RM9lWbEoNTbLTzyB_Bnq3wK4jYcH4IbjIkcnT-TtpGhTSjfvt9FaMcbXfESkiMzdzH4FeH8a676XDktnxcAgJlu2KabU5icdBbau_w4LFvZepWIiS40-T0L0JqKtRy-2a/s1600/Lumrah+1.jpg
YAN - Peruntukan sebanyak RM5 juta daripada Kerajaan Pusat bertujuan untuk mendalam, meluaskan serta menyediakan ban banjir dari Sungai Kepala Bukit hingga ke Sungai Udang, di sini.

Pegawai Khas Kepada Menteri Besar, Muzaini Azizan berkata, masalah banjir sering berlaku di Daerah Yan sejak 50 tahun lalu.

“Dengan adanya peruntukan itu, ia secara tidak langsung dapat mengatasi masalah banjir yang sering berlaku di Daerah Yan,” ujarnya.

Dalam pada itu, katanya, Kerajaan Negeri terus memberikan penekanan dalam usaha membangunkan Daerah Yan dengan menyediakan peruntukan bagi kemudahan infrastruktur yang lengkap untuk kesejahteraan rakyat.

Beliau menjelaskan, peruntukan itu disediakan untuk kesejahteraan rakyat tanpa mengira fahaman politik serta keprihatinan Kerajaan Negeri di bawah Menteri Besar, YAB. Dato' Seri Diraja Ustaz Azizan Abdul Razak.

Muzaini berkata, Kerajaan Negeri tetap berusaha untuk membangunkan negeri Kedah dan ia diharap dapat menarik lebih ramai pelabur datang ke negeri ini.

“Pembinaan kampus tetap Kolej Universiti Insaniah (KUIN) di Kuala Ketil dapat menampung seramai 10,000 pelajar yang menawarkan 40 kursus di situ,” jelasnya.

Beliau memberitahu, Kerajaan Negeri juga turut menyampaikan sumbangan dan bantuan kepada golongan yang kurang berkemampuan seperti anak yatim dan fakir miskin.

“Sumbangan dan bantuan yang diberikan itu, diharap mampu meringankan beban yang terpaksa dihadapi oleh golongan berkenaan,” katanya.

Tambahnya, pendapatan daripada hasil balak juga turut menyumbang kepada sektor ekonomi negeri.

Thursday, February 2, 2012

Pelabuhan kargo akan dibina di Yan

ALOR SETAR, 1 Februari 2012 – Negeri Kedah tidak lama lagi mempunyai pelabuhan yang pesat apabila sebuah pelabuhan kargo akan dibina di pantai Yan.

Menteri Besar Kedah, YAB Dato’ Seri Diraja Ustaz Azizan Abdul Razak berkata, pada bulan Mac ini akan diadakan perjanjian persefahaman (MoU) dengan sebuah syarikat yang terkenal di Malaysia bagi membina sebuah pelabuhan baru di Pulau Bunting, Yan.

Beliau berkata demikian semasa berucap di Sambutan Tahun Baru Cina 2012 di Dewan Perhimpunan Cina, di Jalan Tunku Bendahara.

“Pelabuhan yang akan dibina ini akan digunakan untuk tujuan kargo.

“Selain itu, pada dasarnya kerajaan negeri dan pusat telah bersetuju untuk membina jalan dari Gurun ke Pulau Bunting serta jalan kereta api dari Kobah ke pulau tersebut,” terangnya.

Tambah beliau lagi, ianya adalah antara satu perancangan yang selari dengan projek kereta api berkembar yang sedang dibina dari Ipoh, Perak ke Komeng, Thailand.

Jika projek ini dapat dilaksanakan pada tahun ini maka ianya akan menyediakan banyak peluang pekerjaan dan peniagaan kepada orang ramai.

“Manakala, pada bulan Februari ini pula, satu MoU lagi akan diadakan dengan syarikat tersebut mengenai projek saluran paip minyak dari Jerlun ke Songkla, Thailand.

“Walaupun ianya adalah kejayaan yang orang ramai tidak tahu tetapi ianya merupakan sebuah kejayaan yang sedang kita kecapi,” katanya.

Beliau turut berterima kasih kepada kerajaan pusat kerana memberikan kerjasama kepada kerajaan negeri walaupun berbeza fahaman politik.

Wednesday, December 21, 2011

Jabatan Zakat sumbang RM36 ribu untuk mangsa ribut

images/stories/Disember2011/bantuan mangsa ribut1.jpgYAN - Jabatan Zakat Negeri Kedah memperuntukkan sebanyak RM36,000 untuk bantuan bencana alam kepada 36 mangsa ribut di Kuala Sedaka, di sini.

Bantuan sebanyak RM36,000 itu disampaikan oleh Setiausaha Zakat Negeri Kedah, Dato’ Syeikh Ghazali Yaakob kepada Pegawai Daerah Yan, Zahari Ismail pada majlis penutup Kursus Amil Padi Daerah Yan yang diadakan di D’Yan Chalet, Peranginan Titi Hayun, di sini.

Menurut Dato’ Syeikh Ghazali, bantuan itu diberikan sebanyak RM1,000 kepada 36 mangsa ribut.

“Kita amat memahami situasi yang dihadapi oleh mangsa-mangsa ribut di Kuala Sedaka dan bantuan yang diberikan pada hari ini diharap dapat meringankan beban yang terpaksa dihadapi oleh mereka,” ujarnya.

images/stories/Disember2011/yb. tan chow kang - sukaneka1.jpgBeliau menjelaskan, pihaknya juga turut menyampaikan bantuan kewangan bulanan kepada 42 fakir miskin dan bantuan makanan bulanan kepada 30 fakir miskin dalam Daerah Yan.

“Kita juga turut menyampaikan bantuan Jaya Diri kepada enam orang penerima dalam Daerah Yan yang berjumlah sebanyak RM12,500 dan bantuan rawatan sekaligus kepada tujuh orang penerima yang berjumlah sebanyak RM6,200,” katanya.

Dato’ Syeikh Ghazali memberitahu, pihaknya juga turut menyampaikan bantuan untuk membaiki tujuh buah rumah dalam Daerah Yan iaitu sebanyak RM111,700.

“Kita juga turut memberikan bantuan kepada pelajar yang berjaya melanjutkan pengajian ke institusi pengajian tinggi (IPT) iaitu kolej sebanyak RM600 manakala universiti sebanyak RM1,000,” jelasnya.

images/stories/Disember2011/bantuan mangsa ribut3.jpg images/stories/Disember2011/bantuan mangsa ribut4.jpg

Tambahnya, pihaknya juga turut menyediakan bantuan untuk anak sekolah pada 1 Januari 2012 iaitu sebanyak RM300.

Dalam pada itu, katanya, kutipan zakat yang berjaya diperolehi oleh Jabatan Zakat Negeri Kedah dalam Daerah Yan sehingga 14 Disember 2011 ialah sebanyak RM1,852,230.42.

“Kita juga turut menyampaikan bantuan zakat kepada penerima-penerima bantuan zakat dalam Daerah Yan sebanyak RM2,797,009.51,” ujarnya.

Tuesday, November 22, 2011

Projek Rumah Sejahtera Rakyat di Yan tidak terbengkalai


ALOR SETAR - Khabar angin yang mengatakan bahawa projek pembangunan Rumah Sejahtera Rakyat di Yan terbengkalai adalah tidak benar kerana proses pembangunan projek ini telah bermula sejak awal tahun ini.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan & Kerajaan Tempatan, Kerja Raya, Bekalan Air, Sumber Air dan Tenaga. YB Dato’ Phahrolrazi Zawawi.

Beliau menjelaskan dalam jawapan bertulis semasa menjawab persoalan daripada ADUN Guar Chempedak, YB Dato’ Dr. Ku Rahman Ku Ismail mengenai status projek Rumah Sejahtera Rakyat di Yan yang dikhabarkan terbengkalai, semasa Mesyuarat Kedua Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri Kedah yang ke -12.

“Projek pembangunan Rumah Sejahtera Rakyat di Yan sebenarnya tidak terbengkalai dan proses pembangunan projek ini telah bermula sejak awal tahun ini. Ianya bermula setelah mendapatkan ulasan-ulasan daripada jabatan-jabatan teknikal seperti Tenaga nasional berhad (TNB), Syarikat Air Darul Aman (SADA), Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) dan banyak lagi.

“Proses surcharge tanah (penimbunan tanah ) yang dikendalikan Jabatan Kerja Raya (JKR) telah pun siap dan ianya memakan masa selama enam bulan untuk memastikan bahawa tidak berlaku pemendapan bagi semua lot-lot rumah,” jelasnya.

Menurut Dato’ Phahrolrazi kontraktor tersebut adalah Che Alin@ Abdullah Ahmad. Tarikh mula projek tersebut adalah bermula pada 10.5.2011 dan dijangka siap pada 6.6.2011 ini. Harga kontrak tersebut adalah sebanyak RM98,163.

Mengikut perancangan, pembinaaan 100 unit rumah oleh Yayasan Haji Zainuddin akan bermula enam bulan setelah kerja penambunan tanah siap iaitu pada Disember 2011.

“Pada masa ini permohonan kebenaran merancang dan pelan pembangunan telah diluluskan oleh Majlis Daerah Yan.

Tambahan dan penyelarasan aspek-aspek teknikal seperti bekalan air, elektrik perparitan dan kumbahan sedang dijalankan oleh jabatan-jabatan yang terlibat seperti JKR, SADA, MADA, TNB dan Indah Water.

“Maka seperti mana jangkaan awal projek ini akan dimulakan pada Disember 2011 ini,” ujarnya.

Sunday, August 28, 2011

Akai & Fikiran rakyat Malaysia sudah hilang.. boleh terpikiaq mencuri tahap zalim macam nie..!!!

Isteri disimbah asid, suami dicampak tepi jalan

August 28, 2011

ALOR SETAR, 28 Ogos — Seorang wanita melecur kira-kira 20 peratus pada bahagian muka, leher, mata dan dada akibat disimbah asid oleh dua lelaki dalam kejadian samun di Guar Chempedak dekat Yan malam tadi.

Ketua Polis Daerah Kota Setar Asisten Komisioner Adzaman Mohd Jan berkata, kejadian itu berlaku kira-kira pukul 11 malam apabila kereta Proton Waja yang dinaiki Rosnani Husin, 53, bersama suaminya dipercayai ditahan oleh dua lelaki yang tidak dikenali di sebuah stesen minyak di Kota Sarang Semut dekat sini.

Katanya, dua lelaki terbabit berpura-pura mahu menumpang kereta mangsa disebabkan kereta mereka kehabisan minyak dan suami mangsa bersetuju menumpangkan kedua-dua suspek menuju ke Jalan Baru melalui Jalan Permatang Buluh, Kota Sarang Semut.

“Ketika dalam perjalanan suspek, dikatakan mengacu pisau kepada kedua-dua mangsa dan mengikat kaki dan tangan suami mangsa sebelum mencampakkannya di tepi jalan di Jalan Baru, Bukit Besar.

“Kira-kira 50 kilometer dari tempat suami mangsa dicampak, suspek memberhentikan kereta (berdekatan Guar Chempedak) lalu menyimbah asid ke muka mangsa sebelum beredar dari tempat kejadian,” katanya dipetik Bernama Online.

Suami mangsa dijumpai orang awam dalam keadaan kaki dan tangan berikat manakala mangsa dan kereta yang ditinggalkan ditemui Polis Guar Chempedak.

Jumlah kerugian yang dialami pasangan suami isteri terbabit belum dikenal pasti.

Adzaman berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan iaitu samun berkawan dengan mendatangkan kecederaan.

Mangsa kemudiannya dibawa ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di sini untuk menerima rawatan.

Pengarah HSB Dr Juita Ghazali ketika dihubungi berkata, mangsa dirawat di Unit Rawatan Kebakaran dan dalam keadaan stabil.

Mangsa terpaksa menggunakan alat bantuan pernafasan kerana menghadapi masalah paru-paru disebabkan terhidu asid yang terkena padanya.

Suami mangsa ketika ditemui pemberita di HSB enggan ditemu ramah kerana masih trauma dengan kejadian yang menimpa isterinya itu.

http://www.themalaysianinsider.com/bahasa/article/isteri-disimbah-asid-suami-dicampak-tepi-jalan/

Monday, June 27, 2011

Dua maut kereta bertembung di Yan

YAN — Dua lelaki maut dalam satu kemalangan yang melibatkan dua buah kereta yang bertembung di Batu 14, Sungai Daun, Jalan Sungai Petani-Alor Setar di sini hari ini.

Jurucakap polis berkata, kejadian itu berlaku pukul 2.47 petang apabila kereta jenis Daihatsu Charade yang dipandu oleh Azhar Ahmad, 40, berlanggar dengan sebuah kereta Toyota LE yang datang dari arah bertentangan.

"Sewaktu kejadian kereta jenis Daihatsu Charade ini datang dari arah Alor Setar sedang menghala ke arah Yan bertembung dengan kereta Toyota LE ini yang dinaiki empat orang iaitu tiga lelaki dan seorang wanita yang dipercayai masuk ke laluan bertentangan sehingga mengakibatkan kemalangan ini,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di bilik mayat Hospital Yan di sini hari ini.

Katanya, kemalangan itu menyebabkan Azhar dan penumpang yang duduk di bahagian belakang kereta Toyota LE, Harun Othman, 58, meninggal dunia di tempat kejadian manakala tiga lagi mangsa yang cedera dihantar ke Hospital Yan dan Hospital Sultanah Bahiyah di Alor Setar untuk mendapatkan rawatan lanjut. — Bernama

Tuesday, May 3, 2011

Warga emas mohon bantuan

GUAR CHEMPEDAK - Seorang warga emas hidup menderita apabila menghidapi sejenis penyakit kulit di kedua-dua bahagian tangan dan kakinya.

Tan @ Mustaffa Awang, 70, berkata, hampir dua tahun dia menghidapi penyakit berkenaan.

“Semuanya berpunca daripada alahan makanan.

“Sudah banyak doktor saya pergi untuk mengubati penyakit ini, namun ia tidak membuahkan hasil, kulit saya tetap begini,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian, semalam.

Menurutnya, sebelum ini dia mendapatkan rawatan di hospital kerajaan, namun kerana terpaksa berulang alik dalam jarak yang jauh lalu dia berhenti daripada mendapatkan rawatan di situ.

“Saya juga ada cuba memohon bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), namun masih belum mengetahui statusnya lagi,” katanya.

Tan berkata, selain itu dia juga pernah memohon bantuan zakat sejak Februari lalu, namun masih belum menerima sebarang perkembangan.

“Tetapi pada tahun lalu, saya ada menerima bantuan zakat sebanyak RM1,000 setahun,” katanya.

Menurutnya, bagi mengubati penyakit kulit yang dihadapi, sekarang dia bergantung sepenuhnya kepada ubat yang dibeli di farmasi berharga RM15 satu tiub.

“Satu tiub hanya mampu bertahan selama beberapa hari sahaja, dalam masa sebulan saya terpaksa membelanjakan sebanyak RM120 untuk kos ubat sahaja,” katanya.

Sunday, April 3, 2011

Kerajaan Negeri Sumbang RM160,000 untuk membina Surau

Perlu pembaharuan

GUAR CHEMPEDAK – Surau yang digunakan oleh penduduk setempat lebih 40 tahun kini memerlukan pembaharuan dari segi binaan dan infrastruktur bagi memudahkan jemaah menunaikan ibadat.

Wakil Surau Pondok Haji Husin Dol, Abdul Manan Khan Arshad Ahmad berkata, pihaknya mendapat peruntukkan daripada Kerajaan Negeri sebanyak RM160,000 untuk pembinaan surau itu.

“Kerajaan Negeri memberikan peruntukkan kepada pihak surau untuk menjalankan pembinaan surau yang baru dan saya serta pihak surau mengucapkan terima kasih atas bantuan yang diberi.

“Kalau kita lihat keadaan surau yang semakin hari semakin uzur ini, memang sepatutnya surau ini dibina baru berikutan ia adalah tempat yang suci dan menjadi tumpuan utama bagi penduduk setempat untuk menjalankan amal ibadat,” katanya.

Menurutnya, sebab utama surau itu memerlukan pembinaan segera kerana ia dikelilingi oleh warga emas dan hampir keseluruhan penduduk di sekitar Pekan Guar menggunakan surau berkenaan.

“Saya memohon kepada sesiapa yang ingin menghulurkan bantuan tidak kiralah sama ada orang perseorangan mahupun organisasi yang ingin membantu kami dari segi kewangan bagi menambah dana untuk baik pulih surau.

“Alang-alang mahu mendirikan surau baru, lebih baik kita bina surau yang lebih besar supaya mereka yang datang menunaikan solat di sini lebih selesa terutamanya bagi individu daripada luar daerah ini,” katanya.

Abdul Manan berkata, sebarang aktiviti yang berunsur keagamaan sering diadakan di surau berkenaan dan jika jumlah jemaah ramai, ia tidak mampu menampung jumlah terbabit.

“Kalau kita lihat surau ini juga tidaklah sebesar mana, jika sesuatu aktiviti seperti ceramah agama dan sebagainya dijalankan ia tidak dapat menampung jumlah jemaah yang ramai pada satu masa.

“Dengan adanya surau baru, saya yakin penduduk di sekitar kawasan ini akan gembira dan segala aktiviti yang akan diperbanyakkan lagi,” katanya.

Monday, March 28, 2011

Karnival Kedah Sejahtera serlahkan Daerah Yan

http://wartakedah.net/images/stories/MAC2011/img_0462.jpg http://wartakedah.net/images/stories/MAC2011/img_0491.jpg

GUAR CHEMPEDAK – Biarpun dalam keadaan hujan dan rumput ‘lecah’, YAB Dato’ Seri Ustaz Azizan Abdul Razak tetap datang ke Dewan Serbaguna Pekan Guar Chempedak bagi bertemu dengan rakyat daerah Yan khususnya, amnya rakyat negeri Kedah.

Biasa dibentangkan dengan permaidani merah sebagai ‘VIP’, namun kali ini YAB Dato’ Seri Ustaz Azizan hanya berjalan di atas rumput yang ‘lecah’ sejauh 40 meter. Kereta rasminya tidak berhenti di depan pentas utama, malah diletakkan jauh dari pentas.

http://wartakedah.net/images/stories/MAC2011/img_0559.jpg  http://wartakedah.net/images/stories/MAC2011/img_0575.jpg

Kedatangan beliau disambut dengan pukulan alatan muzik tradisional Melayu, tarian singa, pertunjukan silat dan tarian kebudayaan masyarakat India.

 http://wartakedah.net/images/stories/MAC2011/img_0506.jpg http://wartakedah.net/images/stories/MAC2011/img_0577.jpg

Orang ramai juga tidak endah dengan hujan yang turun untuk tidak melepaskan peluang bersalaman dengan YAB Menteri Besar yang ‘tidak besar’ itu ketika hadir bagi merasmikan Karnival Kedah Sejahtera Peringkat Daerah Yan tahun 2011.

Karnival selama tiga hari bermula 25 Mac 2011 dianjurkan oleh Pentadbiran Daerah Yan dengan kerjasama Majlis Ketua Kampung/Komuniti Daerah Yan.

Program yang bakal dijadikan acara tahunan dalam kalendar pelancongan daerah, adalah selaras dengan wawasan daerah Yan iaitu untuk menjadi antara daerah pelancongan termasyhur, daerah pengeluaran hasil pertanian yang berdaya saing dan pusat kecemerlangan ilmu terunggul di Malaysia.

Karnival yang menemukan antara jentera pentadbiran kerajaan dan rakyat bertujuan menyediakan platform kepada setiap lapisan masyarakat daerah Yan khususnya, bagi mendapatkan pendedahan dan memperolehi pelbagai maklumat teknologi terkini dalam usaha melahirkan generasi masyarakat bermaklumat yang sejahtera.

Ia turut memberi ruang kepada usahawan mengembangkan perniagaan mereka dengan menyediakan ruang promosi pemasaran kepada pengusaha serta peniaga pelbagai produk barangan, hasil tani tempatan dan produk perkhidmatan terkini untuk keperluan rakyat sebagai pengguna.

Kepada jentera pentadbiran negeri, ruang kempen dan publisiti disediakan untuk mendekati golongan sasaran di kalangan rakyat.

Sepanjang tiga hari karnival, pelbagai program melibatkan rakyat diadakan dalam usaha memupuk nilai-nilai perpaduan di samping berpeluang mengahayati nostalgia warisan budaya bangsa.

 http://wartakedah.net/images/stories/MAC2011/img_0596.jpg http://wartakedah.net/images/stories/MAC2011/img_0593.jpg

Antaranya adalah pameran jabatan oleh agensi-agensi kerajaan serta produk asas tani, sukaneka rakyat, kejohanan futsal, sepak raga bulatan, bola jaring, pertandingan suara burung merbok, pencak silat, gendang rebana pelbagai kaum, forum perdana ehwal Islam, pertandingan tarik tali, cabutan bertuah, gerai jualan dan persembahan kesenian Islam.

Kedah Agro, PKNK sedia beli buah-buahan orang kampung

http://wartakedah.net/images/stories/MAC2011/img_0462.jpg
GUAR CHEMPEDAK – Rakyat Kedah yang mempunyai dusun buah-buahan bermusim seperti rambutan dan durian tidak perlu bimbang untuk menjual hasil buah tersebut.

Ini kerana bermula tahun ini, apabila tibanya musim buah-buahan, kerajaan negeri melalui anak syarikatnya, Kedah Agro Holdings Berhad dan Perbadanan Kemajuan Negeri Kedah (PKNK) akan membeli semua hasil buah rambutan dan durian untuk diproses.

Menteri Besar Kedah, YAB Dato’ Seri Ustaz Azizan Abdul Razak berkata, PKNK sedang giat menyiapkan kilang pemprosesan produk asas tani di Sungai Petani, dan dijangka siap Jun ini dengan menelan belanja RM10 juta.

Oleh demikian, kerajaan negeri akan membeli buah rambutan dan durian daripada rakyat yang mempunyai dusun buah rambutan dan durian.

“Hari ini, kita mahu rambutan dan durian kita ada harga, PKNK sedang giat menyiapkan kilang untuk proses bahan asas tani dan akan siap Jun ini.

“Jadi, kepada sesiapa yang ada dusun buah tersebut, kita akan beli semua untuk diproses dan ditinkan untuk dijadikan jus, untuk durian kita boleh buat lempok, rambutan boleh ditinkan seperti laici,” jelas beliau pada Majlis Perasmian Karnival Kedah Sejahtera Peringkat Daerah Yan 2011 di Kompleks Dewan Serbaguna Guar Chempedak.

Manakala Kedah Agro yang telah berjaya menanam nanas, dan kini aktif untuk mengusahakan tanaman pisang dan betik juga akan membeli semua buah mempelam daripada rakyat Kedah untuk diproses menjadi kordial dan lain-lain hasil industri asas tani.

“Kedah Agro telah buat keputusan untuk beli buah pelam rakyat, buah tersebut dikumpulkan di satu tempat untuk dikupas, kemudian diproses untuk jadi jus dan macam-macam lagi yang boleh dihasilkan dari buah pelam,” ujar beliau.

Semua usaha adalah untuk menjadikan Kedah sebagai Belanda Timur bagi menjamin keluaran makanan.

Thursday, February 24, 2011

MB beri peruntukan, penduduk gotong royong


Ditulis oleh WADIASSOFI JAAFAR

YAN – Menteri Besar, YAB. Dato’ Seri Ustaz Azizan Abdul Razak telah memberi peruntukan untuk menampung jalan yang berlubang di Kampung Batu 11, Bukit Besar, di sini.

Pegawai Khas Kawasan Kepada Menteri Besar, Encik Muzaini Azizan berkata, jalan itu menjadi laluan utama bagi penduduk Kampung Tualang, Kampung Telok dan Bukit Choras sebagai jalan singkat ke Pekan Kota Sarang Semut.

Menurutnya, lebih 100 penduduk kampung bersama-sama bergotong-royong menampung jalan yang berlubang di kampung tersebut.

“Hasil dari gotong-royong ini dapat menjimatkan perbelanjaan Kerajaan Negeri dan selain itu, ianya dapat mengeratkan tali silaturrahim antara penduduk,” ujarnya.

Beliau menjelaskan, gotong-royong yang diadakan itu adalah ilham Menteri Besar yang mahu semangat itu dihidupkan kembali.

“Sikap berjimat Kerajaan Negeri maka banyak lagi peruntukan-peruntukan dapat disalurkan ke seluruh negeri tanpa mengira fahaman politik, agama dan bangsa,” katanya.

Turut hadir ialah Majlis Ketua Kampung/Komuniti (MKK) Kampung Batu 11, Haji Ahmad Sulaiman.

Saturday, February 12, 2011

Alahai MDY.. buat jamban tak ayaq pipe...

Cantik tapi tidak berfungsi

GUAR CHEMPEDAK - Penduduk di daerah ini kecewa, berikutan tandas di pekan Guar Chempedak tidak dapat berfungsi dan dikunci sehingga menyusahkan penduduk setempat.

Tandas berkenaan yang juga tidak mempunyai bekalan air itu tidak berfungsi sejak sekian lama dan hanya menjadi tatapan penduduk setempat.

Penduduk yang hanya dikenali sebagai Halim berkata, tandas itu tidak sepatutnya dibiarkan begitu saja, kerana pekan Guar Chempedak adalah kawasan tumpuan.

“Ramai penduduk kampung yang merungut mengenai tandas ini yang nampak cantik, tetapi tidak dapat digunakan,” katanya.

Menurutnya, kegagalan tandas itu untuk berfungsi membuatkan penduduk berasa kecewa dengan pentadbiran pihak berkuasa.

“Kalau betul la tandas ini memang tidak dapat digunakan lagi, sekurang-kurangnya letakkan tanda agar penduduk faham dan boleh mencari tandas lain,” katanya.

Halim berkata, tandas itu sepatutnya dikekalkan berikutan ramai penduduk yang memerlukan kemudahan tandas awam.

“Saya difahamkan, tandas ini akan dirobohkan dan akan dijadikan ruang niaga. Saya tidak pasti perkara ini betul ataupun tidak, cuma saya berharap, kalau perkara ini betul terjadi, tandas alternatif perlu diwujudkan,” katanya.

Menurutnya, isu tandas memang nampak remeh tetapi ia melibatkan perasaan penduduk setempat.

“Cuba bayangkan kalau anda amat memerlukan tandas, tetapi tandas tidak dapat berfungsi. Saya yakin anda pasti berasa kecewa dan marah.

“Disebabkan itu, masalah tandas perlu diselesaikan dengan kadar segera, untuk mengelakkan sebarang masalah kelak,” katanya.

Wednesday, February 9, 2011

Perghh Bela ikan Puyu pun mampu dapat sampai RM40000

Projek ternak puyu pulangan lumayan

SINGKIR LAUT - Koperasi Pembangunan Negeri Kedah Berhad dengan kerjasama Bumi Great Resources Sdn Bhd melancarkan projek ternakan ikan puyu yang disertai sembilan koperasi dalam daerah ini yang mampu memberi pulangan sebanyak RM40,000 bagi setiap lima bulan.

Projek yang bertempat di Singkir Laut ini melibatkan sejumlah 165,000 anak ikan pada fasa pertama dan jumlah itu akan meningkat dari masa ke semasa selepas pembinaan kolam baru pada fasa seterusnya.

Pengarah projeknya, Mohd Nasaruddin Abu Hasan berkata, projek tersebut bawah program ‘Contact Farming’.

“Sebanyak dua kolam dibina khas untuk projek penternakan ikan puyu ini dan anggaran kos untuk projek ini pula adalah bernilai RM80,000,” katanya.

Tempat penternakan strategik

Menurut Mohd Nasaruddin, tapak projek terletak di tempat yang strategik dan mampu memberikan persekitaran lebih baik kepada ternakan ikan puyu sekaligus mengurangkan risiko kematian.

“Tempat ini strategik kerana saliran air boleh diperoleh dari bukit dan sistem perparitan juga sempurna. Selain itu, projek ini turut dilengkapi dengan kemudahan asas seperti elektrik, air, telefon dan tempat pengurusan projek.

“Perkara ini mampu menghasilkan kualiti penjagaan yang baik dan pastinya akan dapat menghasilkan ternakan yang lebih berkualiti,” katanya.

Mohd Nasaruddin berkata, projek ternakan ikan puyu berpotensi untuk memberikan pulangan kepada koperasi yang melabur.

“Ramai tidak sedar bahawa puyu mempunyai rasa sedap dan isinya lembut. Disebabkan itu, ia mendapat permintaan tinggi dari pembeli dan pemborong.

“Selain itu, ternakan puyu ini juga berpotensi berikutan permintaan tinggi dari pasaran luar seperti Thailand,” katanya.

Pelepasan pertama 80,000 benih puyu

Sementara itu, Mohd Nasaruddin berkata, pelepasan benih puyu peringkat pertama pada 23 Disember tahun lalu.

“Pada tarikh itu, beberapa wakil dari koperasi yang melabur telah melawat kolam yang bakal untuk penternakan puyu ini.

“Wakil dari Bumi Great Resources Sdn Bhd, Fauzi Mohd Yunus turut memberikan penerangan kepada wakil koperasi mengenai cara penternakan puyu dengan betul,” katanya.

Mohd Nasaruddin berkata, pada peringkat pertama, sebanyak 80,000 benih ikan puyu dilepaskan pada kolam pertama.

“Benih puyu ini didatangkan khas dari Thailand berukuran 1 sehingga 2 inci. Benih Thailand ini mampu menghasilkan puyu yang lebih besar dan pastinya mendapat pasaran di negara luar,” katanya.

Menurutnya, pelepasan benih puyu peringkat kedua pula adalah pada 26 Disember lalu.

“Pengarah Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) Kedah, Zainun Hamzan Stapa turut hadir bersama wakil koperasi lain untuk melepaskan benih puyu peringkat kedua.

“Kira-kira 70,00 benih ikan puyu telah dilepaskan pada kolam yang kedua. Jumlah keseluruhan puyu pada kedua-dua kolam adalah 150,000. Tambahan 15,000 benih ikan puyu adalah bonus dari pihak Great Resources Sdn Bhd,” katanya.

Menurutnya, pelabur tidak perlu risau mengenai pasaran kerana perjanjian telah termeterai untuk memastikan pasaran ini akan dieksport ke Thailand.

“Selepas ikan puyu mencapai usia matang, semua akan dipasarkan ke Thailand. Jumlah pendapatan dianggarkan RM120,000. Jumlah perbelanjaan pula adalah RM80,000. Maka, untung bersih dianggarkan kira-kira RM40,000 selepas ditolak kos lain,” katanya.

Terdapat pelbagai khasiat

Ikan puyu mempunyai pelbagai khasiat antaranya adalah untuk meningkatkan tenaga lelaki.

Mohd Nasaruddin berkata, bagi wanita pula, ikan puyu mampu melambatkan proses penuaan dan dapat menahan dari serangan penyakit.

Menurutnya, sekiranya fasa ini berjaya seperti yang dirancang, pihaknya akan menambahkan lagi pelaburan untuk kolam baru dengan penglibatan lebih banyak koperasi.

Mohd Nasaruddin berkata, sekiranya dibenarkan Kerajaan Negeri dan tuan tanah, pihaknya akan menjadikan tempat ini sebagai Agro Tourism.

“Kita telah merancang untuk mewujudkan kolam memancing, restoran terapung, chalet dan penglibatan orang kampung dengan menyediakan homestay,” katanya.

Monday, January 31, 2011

MKK Sg YAN.. nganga lagik pie tengok masalah anak buah nie..

Minta bantuan baiki kediaman

SUNGAI YAN - Seorang warga emas di Kampung Jeti 10 Batu 24 di sini, mengharap bantuan baik pulih rumah berikutan masalah anai-anai.

Sofiah Hasan, 57, yang turut menjalankan perniagaan kuih-muih berkata, pendapatannya sebagai penjual kuih tidak mampu untuk membaiki kerosakan tiang rumahnya.

“Masalah tiang ini telah lama berlaku, kalau tidak silap saya hampir dua tahun. Dulu tidaklah teruk sangat. Namun, bila dibiarkan ia semakin serius.

“Selain tiang, anai-anai turut merosakkan pakaian yang diletakkan di dalam almari.

“Kalau ada baju yang jarang guna pasti akan menjadi mangsa.

“Kadang-kadang sedih juga bila tengok baju kesayangan rosak,” katanya kepada Sinar Harian.

Menurutnya, permohonan untuk mendapatkan bantuan baik pulih rumah telah pun dibuat dan masih belum ada respons yang positif.

“Saya dah letih buat permohonan, terlalu banyak permohonan yang saya buat. Kadang- kadang saya terpaksa menutup gerai untuk berurusan dengan pihak yang sepatutnya.

“Saya harap ada pihak yang dapat pantau keadaan rumah saya. Sampai sekarang saya masih menunggu penjelasan pihak yang berkenaan,” katanya ketika ditemui.

Dia berkata, kerosakan rumahnya turut melibatkan kawasan atas rumah.

“Bukan saja tiang, malah dinding di bahagian atas rumah saya turut dimakan anai-anai. Keadaan ini amat merisaukan.

“Jika masalah ini tidak diatasi segera, kemungkinan keluarga saya berada dalam bahaya. Walaupun anai-anai ini kecil, tapi kesannya besar,” katanya.

Menurutnya, pelbagai langkah telah diambil untuk mengatasi masalah itu.

“Saya dah gunakan pelbagai cara, tetapi hasilnya tiada. Anai-anai tetap ada. Saya risau ancaman anai-anai ini akan terus merosakkan rumah.

“Disebabkan itulah saya berharap ada pihak yang sudi tampil melihat keadaan rumah seterusnya dapat menilai sendiri masalah yang saya alami,” kata Sofiah.

Wednesday, January 12, 2011

Ada orang Yan tanya, “Kerajaan Negeri buat apa?”

Ditulis oleh WADIASSOFI JAAFAR @ WartaKedah

YAN: Kerajaan Negeri terus memberikan penekanan dalam usaha membangunkan Daerah Yan dengan menyediakan peruntukan bagi kemudahan infrastruktur yang lengkap untuk kesejahteraan rakyat sepanjang tahun 2010 melalui Jabatan Kerja Raya (JKR) Daerah Yan dan Pendang.

Pegawai Khas Kawasan Kepada Menteri Besar Kedah, Muzaini Azizan berkata, antara perbelanjaan Kerajaan Negeri bagi tahun 2010 ialah menaik taraf jalan serta lain-lain kerja yang berkaitan di Jalan K 146 Guar Chempedak/Yan (Titi Serong), Yan dengan peruntukan sebanyak RM469,000.

“Penjelasan ini perlu untuk menjawab soalan yang sering dilontarkan oleh pihak tertentu iaitu, Kerajaan Negeri buat apa?” ujarnya.

Antara kerja lain ialah membersihkan semak samun, memotong rumput dan tumbuh-tumbuhan di kawasan bahu jalan di sepanjang jalan Negeri bagi Daerah Yan dengan peruntukan sebanyak RM119,000.



Menurut Muzaini, kerja-kerja perkhidmatan kebersihan di kawasan jalan, bahu jalan dan longkang serta kerja-kerja kecemasan di jalan ke Puncak Gunung Jerai di Daerah Yan turut dijalankan dengan peruntukan sebanyak RM97,000.

“Kerja-kerja membaikpulih jalan turut dijalankan di samping menaik taraf jalan dan lain-lain kerja yang berkaitan di Jalan Kuala Kedah/Bedong (K1), Yan dengan peruntukan sebanyak RM385,000,” katanya.

Muzaini menegaskan, kerja-kerja membekal dan menghantar Guardrail serta lain-lain kerja yang berkaitan dengannya di Jalan-Jalan Negeri di Daerah Yan dengan peruntukan sebanyak RM180,000.

“Kerja-kerja membaik pulih jalan dan lain-lain kerja yang berkaitan di Jalan K1, Sungai Limau/Sungai Kering, Yan turut dijalankan dengan peruntukan sebanyak RM373,000,” ujarnya.

Di samping itu, katanya, kerja-kerja membaik pulih jalan serta lain-lain kerja yang berkaitan dengannya di Jalan Kampung Pondok Sheikh Mahmud (MARRIS), Bukit Besar turut dijalankan dengan peruntukan sebanyak RM118,000.

“Peruntukan sebanyak RM80,000 turut dibelanjakan untuk kerja-Kerja membaik pulih jalan serta lain-lain kerja yang berkaitan dengannya di Jalan Kampung Seberang Jaya, Mukim Sala (MARRIS), Yan,” jelasnya.

Beliau berkata, kerja-kerja menambun tanah penempatan semula mangsa tsunami turut dijalankan dengan peruntukan sebanyak RM780,000.

Tambahnya, peruntukan sebanyak RM300,000 turut dibelanjakan untuk kerja-kerja membaru muka jalan di Jalan Guar Chempedak/Yan (Teroi) dan kerja-kerja membaru muka jalan di Jalan Bedong/Singkir turut dijalankan dengan peruntukan sebanyak RM500,000.

Muzaini berkata, kerja-kerja membaru muka jalan di Jalan Yan/Tanjung Jaga turut dijalankan dengan peruntukan sebanyak RM300,000.

Sementara itu, jelasnya, antara projek-projek pembangunan kecil luar bandar bagi Daerah Yan tahun 2010 ialah peruntukan bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Limau dengan peruntukan sebanyak RM48,200.

“Kerja-kerja menaik taraf Padang Awam Kuala Sala, Yan adalah antara projek pembangunan di Daerah Yan dengan peruntukan sebanyak RM71,070,” ujarnya.

Beliau menjelaskan, peruntukan DUN Guar Chempedak turut disalurkan sebanyak RM33,500 di samping peruntukan khas tahap pertama perbelanjaan pembangunan untuk daerah sebanyak RM240,000.

Di samping itu, katanya, peruntukan membaiki rumah DUN Sungai Limau sebanyak RM35,706 turut disediakan serta peruntukan di bawah Projek Tahap Pembangunan Ekonomi, Infrastruktur dan Kesejahteraan Hidup (TAHAP) tahun 2010 bagi Yan sebanyak RM75,000.

“Peruntukan sebanyak RM73,363 turut disediakan untuk membaiki rumah DUN Guar Chempedak serta peruntukan kereta tolak dan pengusung jenazah sebanyak RM2,700,” jelasnya.

Tambahnya, peruntukan menaiktaraf Surau Lebai Abu Bakar, Kampung Teroi turut disediakan sebanyak RM50,000 di samping membina jambatan di depan Surau Kampung Kabu 10 Bawah, Sungai Limau sebanyak RM14,480.

“Kerja-Kerja membekal bahan dan peralatan yang berkaitan untuk pembinaan laluan premix di Kampung Sungai Daun Luar, Yan sebanyak RM19,820 turut disediakan serta pembinaan sebuah jambatan konkrit bagi menggantikan titi kayu di Kampung Teroi Tua, Yan sebanyak RM15,760,” katanya.

Muzaini menegaskan, peruntukan membekal peralatan untuk DUN Sungai Limau turut disediakan sebanyak RM45,500 di samping mengadakan besi pengadang keselamatan jambatan di Kampung Kepala Bukit, Gunung Jerai dan Kampung Titi Teras, Gurun dengan peruntukan sebanyak RM19,975.

Menurutnya, sumbangan bagi membaiki serta menyiapkan rumah penduduk daif Daerah Yan turut diperuntukan sebanyak RM49,074 serta peruntukan khas tahap kedua perbelanjaan pembangunan untuk Daerah Yan sebanyak RM240,000.

“Kerja-kerja mereka bentuk, membekal dan memasang peralatan permainan kanak-kanak di Wad Melor 2 Hospital Daerah Yan turut dijalankan dengan peruntukan sebanyak RM19,980,” ujarnya.

Di samping, katanya, kerja-kerja membina sebuah titi atau jambatan di Lot 1733 Simpang Empat Sedaka, Yan turut dijalankan dengan peruntukan sebanyak RM17,600 di samping peruntukan sebanyak RM48,200 untuk membekal peralatan untuk DUN Sungai Limau.

Beliau berkata, kerja-kerja membina titi konkrit turut dijalankan di Kampung Selengkoh Tengah, Yan dengan peruntukan sebanyak RM10,000 serta membina dua buah wakaf orang ramai (10’kali 10’) di Pejabat Daerah Yan dengan peruntukan sebanyak RM10,000.

“Peruntukan sebanyak RM33,500 turut disediakan untuk membekal peralatan untuk DUN Guar Chempedak di samping menaiktaraf Surau Kampung Setar, Yan dengan peruntukan sebanyak RM50,000,” jelasnya.

Muzaini memberitahu, kerja-kerja membaiki jambatan di Kampung Teroi Bukit, Yan turut dijalankan dengan peruntukan sebanyak RM17,600 serta kerja-kerja-kerja membina sebuah titi atau jambatan dari tiang konkrit di Kampung Kabu 10 Atas, Selengkoh (32 kaki panjang kali 10 kaki lebar) dengan peruntukan sebanyak RM16,000.

“Jumlah peruntukan keseluruhan untuk projek-projek pembangunan kecil luar bandar bagi Daerah Yan untuk tahun 2010 ialah sebanyak RM1,268,928,” katanya.

Manakala bagi peruntukan untuk Skim Kafalah Kerajaan Negeri Kedah sehingga bulan Disember tahun 2010 melibatkan seramai 248 orang bagi DUN Guar Chempedak, DUN Sungai Limau dan DUN Gurun sebanyak RM124,000.

Beliau menjelaskan, peruntukan itu disediakan untuk kesejahteraan rakyat tanpa mengira fahaman politik serta keprihatinan Kerajaan Negeri di bawah Menteri Besar, YAB. Dato’ Seri Ustaz Azizan Abdul Razak.

“Apa yang penting, kita ingin membangunkan Daerah Yan di samping membantu golongan yang memerlukan serta menaiktaraf kemudahan infrastruktur seperti jalan raya, sungai dan lain-lain,” ujarnya.