Sunday, April 3, 2011

Kerajaan Negeri Sumbang RM160,000 untuk membina Surau

Perlu pembaharuan

GUAR CHEMPEDAK – Surau yang digunakan oleh penduduk setempat lebih 40 tahun kini memerlukan pembaharuan dari segi binaan dan infrastruktur bagi memudahkan jemaah menunaikan ibadat.

Wakil Surau Pondok Haji Husin Dol, Abdul Manan Khan Arshad Ahmad berkata, pihaknya mendapat peruntukkan daripada Kerajaan Negeri sebanyak RM160,000 untuk pembinaan surau itu.

“Kerajaan Negeri memberikan peruntukkan kepada pihak surau untuk menjalankan pembinaan surau yang baru dan saya serta pihak surau mengucapkan terima kasih atas bantuan yang diberi.

“Kalau kita lihat keadaan surau yang semakin hari semakin uzur ini, memang sepatutnya surau ini dibina baru berikutan ia adalah tempat yang suci dan menjadi tumpuan utama bagi penduduk setempat untuk menjalankan amal ibadat,” katanya.

Menurutnya, sebab utama surau itu memerlukan pembinaan segera kerana ia dikelilingi oleh warga emas dan hampir keseluruhan penduduk di sekitar Pekan Guar menggunakan surau berkenaan.

“Saya memohon kepada sesiapa yang ingin menghulurkan bantuan tidak kiralah sama ada orang perseorangan mahupun organisasi yang ingin membantu kami dari segi kewangan bagi menambah dana untuk baik pulih surau.

“Alang-alang mahu mendirikan surau baru, lebih baik kita bina surau yang lebih besar supaya mereka yang datang menunaikan solat di sini lebih selesa terutamanya bagi individu daripada luar daerah ini,” katanya.

Abdul Manan berkata, sebarang aktiviti yang berunsur keagamaan sering diadakan di surau berkenaan dan jika jumlah jemaah ramai, ia tidak mampu menampung jumlah terbabit.

“Kalau kita lihat surau ini juga tidaklah sebesar mana, jika sesuatu aktiviti seperti ceramah agama dan sebagainya dijalankan ia tidak dapat menampung jumlah jemaah yang ramai pada satu masa.

“Dengan adanya surau baru, saya yakin penduduk di sekitar kawasan ini akan gembira dan segala aktiviti yang akan diperbanyakkan lagi,” katanya.

No comments:

Post a Comment