Saturday, April 30, 2011

Tinggalkan Umno, sertai PAS

KUALA LUMPUR, 1 Mei: Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang menyeru ahli-ahli dan pemimpin Umno supaya meninggalkan parti itu dan bersama PAS jika benar-benar hendak melaksanakan Islam dan menegakkan keadilan untuk semua bangsa di negara ini.

“Jika benar Umno hendak laksanakan Islam dan bertindak dengan penuh keadilan, kuasa sudah ada di tangan mereka hari ini, mengapa mereka tidak laksanakan?” katanya dalam kenyataan kepada Harakahdaily.

Presiden PAS itu memberi respons terhadap kesekelian kalinya, Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak dengan tanpa segan silu mengulangi lagi seruannya supaya PAS bekerjasama dengan Umno BN dan meninggalkan kerjasama PAS menerusi Pakatan Rakyat (PR).

Najib berkata, pemimpin PAS perlu menerima kenyataan bahawa mereka mesti keluar daripada pakatan pembangkang jika benar-benar berjuang untuk kepentingan agama Islam.

Menurutnya, PAS tidak akan memperoleh apa yang dicita-citakan selama ini dan kerjasama dengan parti pembangkang lain hanya memberi keuntungan kepada DAP.

''Tak kisahlah sama ada PAS mahu bersendirian atau bergabung dengan Umno, yang penting mereka tidak boleh bergabung dengan DAP kerana usaha PAS dalam memperjuangkan Islam akan terhalang," katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan Perumahan Pangsapuri Rakyat di Pulau Duyung, Kuala Terengganu semalam.

Bagi PAS, tegas Tuan Guru Abdul Hadi seruan Najib itu adalah janggal dan aneh, kerana PAS sekali-kali tidak akan bekerjasama dengan Umno BN dalam melakukan kezaliman dan meruntuhkan keadilan kepada rakyat yang telah menjadi bencana dalam negara kita yang tercinta ini.

Katanya, kerjasama atau penyatuan seharusnya dibina dengan bercirikan asas bertolong-tolong dalam melakukan kebajikan dan keadilan, dan bukan bertolong-tolong dalam melakukan maksiat, kezaliman dan memusnahkan harta negara.

“PAS mendokong fikrah yang jelas, bahawa kerjasama bersama PR adalah dibina dengan berpegang kepada dasar bantu-membantu dalam menegakkan keadilan dan menentang kezaliman,” tegasnya yang juga ahli Parlimen Marang.

Jelasnya lagi, kerjasama PAS selama ini dengan DAP contohnya, adalah di atas nama tahaluf siyasi yang dibenarkan agama dan tidak menggadaikan prinsip.

Ia, katanya tidak sama dengan kerjasama wala antara Umno dengan MCA dan MIC yang menggadaikan prinsip Islam, hanyut dengan kuasa dan seterusnya menghilangkan jati diri Melayu Islam dalam negara kita ini sejak puluhan tahun.

“Kita ingin bertanya, siapakah yang sebenarnya menggunakan kuasa tanpa hak dengan menyekat royalti minyak milik rakyat Terengganu dan Kelantan, yang lebih dari 90% adalah orang Melayu-Islam?

“Siapakah pula yang mendiskriminasikan penyokong pembangkang di kalangan orang Melayu sehingga peluang berniaga, pendidikan, pengagihan ekonomi hanya tertumpu di kalangan Umnoputra?

“Siapakah yang menyekat Kelantan dan Terengganu melaksanakan syariat Islam sebelum ini?” soalnya.

Jawapannya, kata beliau adalah kerajaan pimpinan Umno BN itulah yang sebenarnya melemahkan orang Melayu itu sendiri.

No comments:

Post a Comment