ALOR SETAR - Syarikat Air Darul Aman (Sada) menyambut baik hasrat Universiti Utara Malaysia (UUM) untuk menjadi penghasil bekalan air bersih persendirian (IWP) bagi mengatasi masalah gangguan bekalan air yang membelenggu universiti itu sejak sekian lama.
Namun, pengurusan universiti terbabit perlu membuat kajian menyeluruh termasuk mematuhi kaedah dan prosedur yang betul, sekiranya benar-benar mahu menjadi IWP untuk kegunaan warga kampusnya.
Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Sada, Datuk Adzmi Din berkata, untuk menjadi IWP, UUM perlu mempunyai sumber bekalan air bawah tanah atau membina lojinya sendiri bagi membolehkan universiti itu menyalurkan air bersih secukupnya, selain perlu mendapatkan kelulusan daripada Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (Span).
“Sada mengalu-alukan hasrat UUM itu namun mereka perlu guna kaedah dan prosedur yang ditetapkan. Buat masa ini, Sada satu-satunya operator berlesen yang membekalkan air bersih di Kedah kerana mempunyai loji dan kelengkapan mencukupi, yang dibenarkan oleh Span,” katanya.
Adzmi berkata demikian ketika mengulas kesediaan UUM menjadi penghasil bekalan air bersih persendirian untuk membantu Sada menyelesaikan masalah bekalan air di kawasan Changlun, Sintok dan Kubang Pasu.
Naib Canselornya, Profesor Datuk Dr Mohamed Mustafa Ishak sebelum ini berkata, UUM berharap Kerajaan Negeri mempertimbangkan permohonan itu setelah pihaknya yakin mempunyai segala kepakaran yang diperlukan untuk menjadi IWP.
Adzmi berkata, Sada bersedia membantu UUM menjadi IWP dengan menyalurkan input berkaitan sekiranya mereka benar-benar berminat.
“Jika UUM berjaya menjadi IWP, 12 juta liter air sehari yang disalurkan ke UMM boleh kita salurkan ke kampung-kampung berhampiran,” katanya.
Menurutnya, namun secara rasionalnya, UUM tidak perlu menawarkan diri menjadi IWP kerana pihaknya yakin sejurus loji Padang Sanai mula beroperasi penghujung Mei ini, masalah gangguan bekalan air dapat diatasi sekiranya sistem paip UUM turut dinaik taraf.
“Sada kini dalam usaha menaik taraf sistem termasuk infrastruktur supaya khidmat menyalurkan bekalan air dapat dipertingkatkan. Kita akur masalah air di UUM berlarutan sejak tahun 90-an lagi disebabkan pembangunan pesat yang tidak mampu menampung permintaan, setelah loji baru siap dan bekalkan 30 juta liter air sehari, masalah dijangka selesai,” katanya.
No comments:
Post a Comment