Wednesday, April 27, 2011

Ketua Pemuda PAS Kedah akan ada Pertandingan tiga penjuru?

Pertandingan tiga penjuru?

ALOR SETAR - Pemilihan Muktamar Pemuda Pas Negeri Kedah bakal menyaksikan jawatan Ketua Pemuda, yang disandang Ahmad Yahya dicabar oleh dua wakil rakyat yang disegani.

Menurut sumber, pertandingan tiga penjuru itu adalah berdasarkan adanya pencalonan daripada ahli, namun belum disahkan sama ada dua wakil rakyat terbabit menyatakan kesediaan untuk bertanding.

“Ura-ura bertiup kencang mengatakan Ahmad bakal dicabar seorang ADUN dan seorang lagi Ahli Parlimen. Namun kedua-dua calon berkenaan belum beri kata putus,” katanya.

Jawatan Timbalan Ketua Pemuda turut dijangka sengit apabila penyandangnya, Muhammad Sanusi Md Nor bakal bersaing dengan seorang pemimpin senior yang juga popular dalam kalangan ahli Pemuda.

“Pertandingan jawatan Timbalan juga menarik perhatian ramai memandangkan kedua-dua calon yang disebut-sebut ada tarikan tersendiri. Saya berpendapat Muhammad Sanusi harus mempertahankan kedudukannya dalam barisan Pemuda kerana selaku Setiausaha Politik Menteri Besar, dia memerlukan sokongan yang kuat bagi memberi gambaran positif dalam parti,” katanya.

Sumber itu berkata, pemilihan jawatan nombor dua ini juga boleh mencetuskan kontroversi memandangkan kedua-dua calon amat berkaliber dan mesra rakyat.

“Saya tidak sokong mana-mana calon, tetapi kedua-duanya memang layak untuk jawatan itu,” katanya.

Bagi jawatan Naib pula, difahamkan ADUN Bukit Lada, Ahmad Izzat Shauki turut dicalonkan semula, dan tidak menolak kemungkinan beliau turut dicalonkan bagi merebut jawatan lebih tinggi.

“Ketokohan Ahmad Izzat tidak boleh dipertikai dan saya percaya beliau mempunyai sokongan yang banyak untuk mana-mana jawatan yang dipertandingkan,” katanya.

Menurut sumber itu lagi, kemungkinan barisan ahli jawatankuasa (AJK) Pemuda tidak berubah namun sekiranya berlaku perubahan, hanya membabitkan rombakan kecil.

“Difahamkan 10 AJK sedia ada mungkin tidak berlaku banyak perubahan, namun pencalonan tetap dibuat untuk memilih AJK bagi penggal baru,” katanya.

Muktamar Pemuda Pas Kedah pada 1 Mei ini dijangka dirasmikan oleh Timbalan Ketua Pemuda Pas Pusat, Azman Shapawi Abdul Rani di Dewan MPSP, Tikam Batu bermula 9 pagi hingga 4 petang.

No comments:

Post a Comment