Tuesday, April 26, 2011

Sada tawar pasukan teknikal untuk UUM


ALOR SETAR - Syarikat Air Darul Aman (Sada) menawarkan diri untuk membantu menyelesaikan kemelut bekalan air di Universiti Utara Malaysia (UUM) dengan menubuhkan pasukan teknikal untuk mengaudit sistem agihan dan infrastruktur air di universiti terbabit.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Sada, Datuk Adzmi Din berkata, kerjasama UUM diperlukan dalam menangani isu ini memandangkan pihaknya perlu memasuki kawasan universiti untuk membuat kajian dan meneliti infrastruktur sedia ada, sama ada masih mampu memenuhi keperluan pengguna atau perlu dinaik taraf, terutama setelah loji Padang Sanai beroperasi kelak, selewat-lewatnya Mei ini.

“Jika UUM bersetuju dengan penubuhan pasukan teknikal ini, saya akan susuli dengan tawaran surat rasmi dalam masa terdekat. Tidak perlulah kita asyik menyalahkan sesiapa, kerana jalan penyelesaian adalah rundingan,” katanya pada sidang media, semalam.

Menurutnya, ketika tinjauan ke UUM pertengahan tahun lalu, pihaknya mendapati masih terdapat beberapa kelemahan dalam sistem agihan air dalam kawasan kampus, dan sekiranya UUM bersedia bekerjasama, Sada akan memberi khidmat nasihat serta kajian secara percuma.

“Saya buat analisis ini berlandaskan realiti, dan nasihat saya ialah UUM perlu buat beberapa penambahbaikan sistem paip dan yang berkaitan kerana kebanyakan paip sudah lama. Saya bimbang jika sistem sedia ada masih digunakan, apabila loji Padang Sanai membekalkan 30 juta liter air sehari, boleh menyebabkan paip lama pecah,” katanya.

Adzmi berkata, pihaknya sudah pun mengenal pasti beberapa pakar dan jurutera untuk menganggotai pasukan teknikal terbabit untuk menjalankan audit keseluruhan berkaitan sistem agihan air di UUM.

“Saya hanya tunggu kebenaran Naib Canselor UUM untuk laksana cadangan ini untuk penambahbaikan sistem agihan di UUM. Selain faktor infrastruktur, sikap pengguna yang menggunakan air secara berlebihan dikenal pasti antara punca bekalan air tidak mencukupi,” katanya.

Menurutnya, Sada membekalkan 10 juta liter air sehari ke UUM dan jumlah ini adalah mencukupi bagi kegunaan 33,037 warga UUM.

“Bekalan air yang sepatutnya disalurkan bagi kegunaan pengguna seramai itu hanya 8 juta liter sehari, namun disebabkan berlaku pembaziran air sebanyak 462,000 gelen air sehari, menyebabkan bekalan tidak cukup,” katanya.

Adzmi berkata, Sada akan membantu UUM menyediakan infrastruktur lebih baik manakala UUM diminta membuat semakan semula terhadap infrastruktur sedia ada, supaya masalah bekalan air dapat diatasi.

“Saya minta mereka bersabar sehingga akhir Mei ini kerana loji Padang Sanai akan mula beroperasi setelah Tenaga Nasional Berhad (TNB) menyalurkan bekalan elektrik. Saya yakin selepas loji beroperasi, bekalan mencukupi dengan syarat saluran paip dalam kampus mampu menampung kapasiti bekalan yang tinggi,” katanya.[Sinar Harian]

No comments:

Post a Comment