Saturday, April 30, 2011

Kenapa kerajaan enggan laksana qazaf

Fakhri Ali

KEPALA BATAS, 1 Mei: Timbalan Pesuruhjaya PAS Pulau Pinang, Rosidi Hussain mempersoalkan keengganan kerajaan untuk melaksanakan hukum qazaf dalam isu yang membabitkan video lucah.

"Apabila kerajaan sering memomokkan kepada dunia bahawa Malaysia adalah negara Islam, kenapa hukuman seperti qazaf yang memerlukan empat orang saksi yang tidak fasik dan adil itu enggan dilaksanakan, sedangkan kerajaan mempunyai ramai ilmuan dan pakar dalam bidang tersebut.

"Sebagai peringatan, jangan kita dilaknat oleh Allah apabila berkemampuan untuk melaksanakan hukum tersebut, tetapi enggan melaksanakannya kerana kepentingan tertentu," tambahnya lagi.

Mengenai tindakan Datuk Shazryl Eskay Abdullah yang memperjudikan sumpah laknat, katanya membuktikan dia adalah seorang yang tidak memahami agama Islam yang sebenar.

Menurut beliau lagi, ianya telah juga menjelaskan secara ketara kehidupan yang penuh kepura-puraan kerana sumpah dijadikan mainan munafik seperti mana yang dijelaskan dalam surah Al-Munafiqun.

"Sepatutnya sebagai seorang yang telah berusia Eskay sepatutnya bertaubat nasuha dan tidak merendahkan maruah sendiri seperti pengakuan yang dibuat.

"Malah sekiranya nasihat seorang imam dari masjid terbabit juga tidak dipedulikan, ini seolah-olah dia orang yang lebih tinggi martabatnya jika dibandingkan dengan imam tersebut," ujarnya lagi.

No comments:

Post a Comment