Thursday, April 28, 2011

MB lancar Pelan Hala Tuju ICT Negeri Kedah 2011-2015

http://wartakedah.net/images/stories/April2011/ict1.jpg http://wartakedah.net/images/stories/April2011/ict.jpg

SUNGAI PETANI, 26 April 2011 – Penggunaan sistem teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) dengan betul mampu mempercepat dan memudahkan lagi sektor pelancongan, ekonomi, pertanian serta bidang pendidikan di Negeri Kedah.

Menteri Besar Dato’ Seri Ustaz Azizan Abdul Razak berkata, selaras dengan perkembangan dunia tanpa sempadan masa kini, kerajaan negeri memberi penekanan untuk pembangunan ICT di Negeri Kedah, seiring pembangunan ICT peringkat nasional.

Beliau berkata demikian ketika berucap semasa Majlis Pelan Hala Tuju ICT Negeri Kedah 2011-2015 di Hotel Amanpura.

“Penggunaan multimedia tidak salah, yang salah adalah manusia yang salah menggunakannya. Maklumat yang diberi adalah betul jika kita guna dengan betul. Kita juga boleh menggunakan ICT dan multimedia untuk membina akhlak remaja dan juga boleh menggunakan ICT untuk rosakkan akhlak remaja,” katanya.

Tambah Azizan, bagi menjayakan agenda ini, kerajaan negeri telah menyusun beberapa langkah strategik dan telah mula dilaksanakan secara berperingkat-peringkat.

Langkah pertama, katanya, ialah dengan menubuhkan sebuah GLC iaitu Information Technologi Sdn. Bhd. yang merupakan syarikat dari Kulim Technologi Park Corporation yang beroperasi di Kulim Hi-Tech Park.

“Kita sedar bahawa pembagunan ICT bergantung kepada sumber tenaga manusia yang mahir, untuk itu kita telah menubuhkan kuliah multimedia di Kolej Universiti Insaniah (KUIN) untuk melahirkan tenaga manusia mahir dalam bidang ICT ini.

“Penggunaan ICT di negeri ini adalah masih di tahap yang rendah berbanding dengan negeri yang mempunyai pembangunan yang pesat seperti Pulau Pinang dan Selangor,” tambahnya.

Beliau yakin bahawa aplikasi ICT di Negeri Kedah dapat dipertingkatkan dari semasa ke semasa.

Turut hadir dalam program tersebut ialah Pengerusi Jawatankuasa Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT) Sains dan Inovasi Negeri Kedah, Dr Ismail Salleh, Pengerusi Multimedia Development Corporation (MDeC) Tan Sri Abdul Halim Ali dan Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pembangunan)/Pengarah Unit Perancangan Ekonomi Negeri, Dato’ Bashirudin Abdul Jamil.

No comments:

Post a Comment