Tuesday, April 26, 2011

Kebarangkalian PAS kalah dalam PRU ke 13 nanti adalah tinggi

http://www.mir.com.my/rb/photography/companies/canon/fdresources/fdlenses/pas.jpg
Ramai mengkritik PAS kerana telah banyak ketinggalan dalam memenangi pilihanraya baik PRK mahupun PRN Sarawak baru-baru ini. Beberapa siri kekalahan tersebut telah meningkatkan tekanan kepada PAS terutama kepada kepimpinan Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang. Macam-macam analisa dan pandangan serta kritikan dihamburkan.

Semua perhatian yang diberikan kepada PAS menunjukkan harapan rakyat kepada PAS terlalu tinggi. Namun dalam gelanggang politik Malaysia seperti yang ada pada hari ini, harapan yang tinggi itu masih tidak kesampaian.

Semacam sudah timbul rasa putus asa terhadap PAS, kenapalah PAS masih belum mampu menewaskan UMNO yang penuh dengan kekotoran itu, untuk menguasai undi masyarakat Melayu? Walaupun PAS sebuah parti yang berjuang atas dasar Islam yang sebenar dan bersih dari sebarang kekotoran moral, namun semakin hari semakin kelihatan PAS terus gagal memenangi hati orang-orang Melayu terutama di luar bandar dan kawasan-kawasan FELDA, yang dianggap kubu kuat UMNO.

Apakah rasa tidak puas hati dengan pencapaian PAS itu menunjukkan rakyat tidak sabar? Kalau begitu salahkah mereka itu bersikap tidak sabar?

Kalau ada yang bersikap tidak sabar mereka itu bukannya semua ahli jemaah PAS yang sentiasa dilatih akur kepada parti. Mereka adalah rakyat umum yang mahukan perubahan dan mengharapkan PAS menang dalam pilihanraya. Mereka bukan aktivis PAS tetapi mereka adalah rakyat yang celik politik. Di sini tidak boleh disamakan sikap politik rakyat prihatin yang mendesak dan mengharapkan PAS menguasai undi-undi masyarakat Melayu, dengan sikap ahli-ahli jemaah PAS yang merupakan pendokong parti. Namun demikian para pemimpin PAS wajar melayan rasa tidak puas hati itu kerana mereka mahukan Pas menang!

Nampaknya mahu tak mahu kepimpinan PAS mesti melakukan sesuatu secara jelas dan pratikal. Realitinya jentera parti PAS di peringkat cawangan dan kawasan begitu lemah pada masa ini. Apabila jentera parti lemah di peringkat bawah maka rakyat tidak nampak PAS berada entah di mana, atau PAS di bawah sana hanya sekadar berada di pinggiran dan bukan di aliran utama dalam kegiatan hidup masyarakat.

Kepimpinan PAS cawangan dan kawasan berada dalam keadaan terasing, malu-malu serta segan-segan dalam masyarakat. Keadaan ini wujud kerana kempimpinan Pas cawangan dan kawasan tidak ramai dalam kalangan yang berbakat dan berpengaruh dalam kepimpinan masyarakat. Kalau ada pun seorang dua sahaja dan mereka ini tidak mampu dibantu oleh AJK-AJK yang tidak berkemampuan baik dari kawasan mahupun cawangan.

Kedua ramai aktivis PAS di bawah sana terutama di kawasan luar bandar adalah kakitangan kerajaan yang mempunyai pergerakan terhad untuk beraktiviti secara terang-terangan dalam politik pembangakng (PAS) kerana ancaman terhadap mereka terlalu banyak. Mereka tidak bertaraf Mat Sabu atau Mahfuz yang rela melakukan apa sahaja dan diperlakukan apa sahaja oleh kerajaan zalim UMNO/BN. Ini mengakibatkan mereka ini hanya beraktiviti pada sebelah malam. Mampukah memenangi pilihanraya jika aktivis PAS dalam kalangan kakitangan kerajaan dan swasta hanya beraktiviti secara senyap-senyap pada malam hari?

Senario ini telah mengakibatkan para pemimpin PAS kawasan dan cawangan tidak kelihatan dalam urusan seharian masyarakat. Mereka jauh daripada masyarakat setempat. Ini mengakibatkan masyarakat tidak yakin untuk mengharapkan mereka menyelesaikan masalah kehidupan atau mereka tidak tahu langsung siapa para pemimpin Pas kawasan dan cawangan di tempat mereka. Walaupun UMNO begitu kotor dan tidak amanah, senario ini tidak berlaku kepada UMNO. Para pemimpin UMNO berselirat dalam masyarakat. Walau bagaimana pun para pemimpun UMNO ini, rakyat yang tidak kisah hal-hal politik tetap memilih mereka.

Isunya PAS perlu mencari jalan untuk menyegarkan aktiviti Pas dalam masyarakat (di peringkat cawangan atau kawasan) seperti yang dinyatakan oleh Datuk Husam. Pokoknya jika terdapat aktivis-aktivis Pas yang terikat dengan peraturan kerja dengan kerajaan, PAS tidak boleh mengharapkan mereka untuk berada di barisan hadapan walaupun mereka mungkin berbakat besar. Terdapat pula mereka yang tidak terikat dengan apa-apa ikatan tidak pula mempunyai bakat kepimpinan dan pengurusan yang boleh diharapkan. Inilah antara faktor yang mengakibatkan aktiviti PAS dalam masyarakat terutama di luar bandar terbantut.

Para pemimpin PAS harus sedar bahawa masih terlalu ramai para aktivis parti yang ramai terikat di bawah sana hanya bertugas menghadiri mesyuarat parti pada waktu malam dan program parti yang tidak membabitkan orang luar dan pengundi dalam kalangan masyarakat Melayu! Jika begini bilalah agaknya Pas boleh menang dalam kawasan Melayu yang dikuasai oleh UMNO? Nampaknya lambatlah lagi, bukan dalam PRU ke 13 nanti!

http://garamlada.blogspot.com

1 comment:

  1. Kalau ada yang bersikap tidak sabar mereka itu bukannya semua ahli jemaah PAS yang sentiasa dilatih akur kepada parti. Mereka adalah rakyat umum yang mahukan perubahan dan mengharapkan PAS menang dalam pilihanraya. Mereka bukan aktivis PAS tetapi mereka adalah rakyat yang celik politik. Di sini tidak boleh disamakan sikap politik rakyat prihatin yang mendesak dan mengharapkan PAS menguasai undi-undi masyarakat Melayu, dengan sikap ahli-ahli jemaah PAS yang merupakan pendokong parti. Namun demikian para pemimpin PAS wajar melayan rasa tidak puas hati itu kerana mereka mahukan Pas menang!

    Diatas adalah initipati kepada catatan penulis.
    Bagi aku,keseluruhan catitan adalah berdasar fakta dan pemerhatian penulis.

    ReplyDelete