Berdasarkan pengalaman LV membaca ruangan masalah di majalah-majalah untuk wanita, terdapat banyak soalan berkaitan keperluan bercakap benar bila bersangkut soal maruah diri. Antara soalan yang acap kali dikitar, perlulah perempuan berterus terang tentang ketelanjuran silam kepada bakal suami?
Ketahuilah, ramai perempuan yang kononnya atas tiket mahu berlaku jujur maka bercerita pada teman lelaki bahawa mereka sudah kehilangan dara kepada lelaki lain, tapi sudahnya lelaki yang diharapkan menjadi suami, menumpang sekaki apa yang dilakukan teman lelaki terdahulu sebelum lesap begitu sahaja!
Sebab itu, pertama sekali kehormatan diri mesti dijaga rapi. Itulah gunanya mengikut garis panduan dari segi pakaian dan batas pergaulan yang ditetapkan Islam.
Tapi kalau sudah terbabas mengikut bisikan syaitan, bertaubatlah dengan sungguh-sungguh taubat dan jangan lagi mengulanginya. Jika ditakdirkan selepas itu berjumpa lelaki baik dan tidak pernah bertanya kisah silam, maka serahkan pada takdir Allah, tak perlu dibuka pekung lama.
Satu lagi sikap jujur tidak bertempat yang LV perhatikan dewasa ini, sesetengah orang cukup bangga menunjukkan dosa kepada orang lain atas alasan dia lebih ‘hip’ kerana mengamalkan gaya hidup Barat. Bagi mereka keberanian berhibur di kelab malam, meneguk arak, mengambil bahan terlarang dan melakukan zina petanda kehidupan lebih ‘advanced’ daripada orang lain.
Seorang kawan misalnya, baru-baru ini membawa kisah sedih tentang salah seorang geng kami sewaktu belajar dahulu, N. Mula ceritanya, kawan ini gembira apabila ditugaskan pejabat ke utara tanah air selama seminggu kerana di sana tinggal N, yang turut teruja apabila mengetahui berita ini.
Setibanya di Daerah L, N menyambut kawan ini lalu melarangnya menetap di hotel. Selain jimat bajet, bolehlah bercerita panjang katanya. Seronoklah kawan tadi mendengar.
Tup-tup sampai di rumah, selamba sahaja N memperkenalkannya kepada teman serumah yang juga teman lelakinya. Dosa sudah satu hal, perasaan malu pun entah ke mana sudah tercampak.
Apabila dinasihati, N naik angin lalu bersikap dingin sampailah ke hari ini. Walaupun persahabatan erat akhirnya goyah gara-gara hal yang dijeritkan N urusan peribadinya, mana mungkin kami tega membiarkan dia hanyut begitu.
Hari ini bolehlah mendabik dada mengatakan ini urusan peribadi tapi esok lusa bila sudah bergelar andartu tapi teman lelaki masih bersilih ganti (biasanya lelaki yang dapat 'free' takkan serius pun nak ambil kita jadi bini - percayalah), kita yang jadi teman inilah pula terpaksa menadah telinga mendengar masalahnya.
Masa itu jangan marah kalau kami jerit kuat-kuat di telinga: padan muka!
No comments:
Post a Comment