Sunday, February 12, 2012

KUBANG PASU –Tiga beranak tinggal sehelai sepinggang

Wartawan Sinar Harian
12 Februari 2012
Tiga beranak tinggal sehelai sepinggang

KUBANG PASU – “Tiba-tiba saya ternampak asap dan api kecil dari arah bilik tidur ayah sebelum cuba memadamkannya namun api mula marak beberapa minit kemudian,” kata seorang mangsa, Khairul Azhar Muhamad, 27, selepas tiga pintu rumah kedai termasuk rumah mereka terbakar di Kampung Pida Empat di sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 12 tengah hari itu, tiga pintu kedai terdiri daripada kedai makan, kedai runcit termasuk rumah mangsa yang baru dibina empat tahun lalu musnah menyebabkan tiga beranak di situ tinggal sehelai sepinggang.

Bagaimanapun sewaktu kejadian, hanya mangsa berada di rumah sementara kedua-dua ibu bapanya pergi ke Wang Tepus melawat neneknya yang sakit.

Menceritakan detik cemas itu, Khairul Azhar yang leka menonton televisyen ketika itu berkata, dia tidak menyangka cubaan memadam api yang pada mulanya kecil itu kemudian bertukar menjadi marak dalam sekelip mata.

Menurutnya, bagaimanapun dia hanya sempat menyelamatkan diri, sebuah motosikal dan enam tong gas dari kedai runcit milik bapanya itu.

“Sebuah motosikal dalam rumah selain beberapa dokumen penting termasuk geran tanah tidak sempat diselamatkan kerana api marak dengan cepat,” katanya.

Bapanya, Muhamad Abdullah, 67, berkata dia yang menerima panggilan daripada anaknya segera pulang ke rumah namun tidak sempat berbuat apa-apa kerana keseluruhan rumahnya telah musnah.

Menurutnya, bagaimanapun dia bersyukur kerana anaknya selamat dan redha dengan apa yang berlaku.

“Kerugian yang dianggarkan melibatkan semua harta benda dalam rumah, di kedai makan dan kedai runcit melebihi RM50,000.

“Buat sementara waktu kami akan tinggal di rumah lama yang terletak kira-kira satu kilometer dari sini,” katanya.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Jitra, Hasbullah Mohd Isa berkata, pihaknya menerima panggilan pada jam 12.39 tengah hari dan tiba di tempat kejadian empat minit kemudian.

“Kebakaran melibatkan empat premis perniagaan terdiri daripada dua buah kedai makan dan masing-masing sebuah kedai runcit dan kedai gunting rambut,” katanya.

Hasbullah berkata, bomba berjaya memadamkan api sepenuhnya pada pukul 2.05 petang dengan menggunakan sumber air dari sungai berhampiran.

No comments:

Post a Comment