Thursday, February 2, 2012

Mahasiswa dan peredaran masa....

Kebelakangan ini, setelah berlalu beberapa demontrasi, dan cara pergerakan mahasiswa, ramai pihak mula menganalisis berkenaan corak pergerakan mahasiswa ini. Sehingga ramai pihak, rakyat mahupun mahasiswa sendiri menjadi muak dan memandang buruk serta sebahagian yang lain menanti-nanti bagaimana corak dan perjuangan mahasiswa seterusnya.

Kita imbas kembali sejarah penubuhan Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM) yang kini dianggap gerakan yang mula mendapat kritikan langsung dari rakyat dan aktivis mahasiswa sendiri. Pada hujung era 90an, Gamis melihat bahawasanya perlu kepada mahasiswa ini bergerak untuk memastikan bukan hanya isu-isu Islam tetapi bergerak juga dalam memperjuangkan isu-isu yang melibatkan hak asasi secara universal.

Pada tahun 2001 dengan isu ISA, Gamis bergabung menubuhkan Gerakan Mahasiswa Mansuhkan ISA (GMMI) kemudian pada tahun 2002 apabila Amerika menyerang Afganistan, Gamis sekali lagi bergabung menubuhkan Gerakan Mahasiswa Anti Perang (GEMPAR). Tetapi gerakan-gerakan ini ianya hanya bersifat isu dan hanya sementara ataupun bergabung atas sebab isu-isu tertentu sahaja.

Pada akhir tahun 2002, Gamis mencari kesimpulan yang lebih baik, bagaimana hendak memastikan gerakan bukan hanya terhenti dengan isu tetapi pergi kepada suatu benda yang lebih besar iaitu satu solidariti di antara gerakan-gerakan mahasiswa ini baik mahasiswa Islam mahupun bukan Islam.

Pimpinan Gamis berbincang untuk mewujudkan satu pakatan dan Gamis bersama dengan Gerakan Demokratik Belia dan Pelajar Malaysia (Dema), Persatuan untuk Belia Baru Universiti Malaya (Umany), Jawatankuasa Kebajikan Mahasiswa Mahasiswi (JKMI), Kelab Rakan Islah Malaysia (Karisma), Pertubuhan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM), Gabungan Anak Muda dan Pelajar (GAMP) dan banyak lagi. Bahkan pada waktu itu ada 14 front mahasiswa dan anak muda termasuk Food Not Bomb (FNB), Jaringan Rakyat Tertindas (Jerit) dan lainya. Hasil daripada perhimpunan gerakan-gerakan mahasiswa ini, diakhiri dengan satu kesimpulan untuk tubuhkan satu solidariti yang namanya Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM). Itu secara ringkas sejarahnya.

SMM ditubuhkan pada tahun 2002 dan pengerusi pertamanya ialah Mohd Khairol Anwar Mat Zuki juga merupakan Presiden Gamis pada masa itu. SMM hanya bergerak atas muafakat bersama, bukan bergerak atas identiti sendiri dan bagi saya sepatutnya presiden Gamis merupakan pengerusi SMM ataupun bersepakat antara front-front ini bagi memutuskan mana-mana presiden lain sama ada presiden DEMA , presiden KAMI atau presiden PKPIM. Bagi memastikan SMM ini bergerak atas permuafakatan bersama bukannya satu identiti yang lain atau pertubuhan yang berbeza seperti mana yang terjadi pada ketika ini.

Saya melihat pengunaan nama SMM sekarang ini sudah dikhianati oleh individu dan kumpul tertentu. Sepatutnya tidak boleh menggunakan nama SMM jika salah satu front gabungan tidak setuju. Sebagai contoh, jika DEMA setuju dengan hak kebebasan beragama tetapi front gabungan lainnya tidak bersetuju lalu itu atas nama DEMA sahaja. SMM ianya tidak mengikat. Saya bagi contoh, Pakatan Rakyat (PR) yang mempunyai tiga parti iaitu PAS, PKR dan DAP. Walaupun ketua pembangkang Dato Seri Anwar Ibrahim tetapi Presiden PAS, Tuan guru Haji Abdul Hadi tidak terikat dengan sebarang keputusan Anwar Ibrahim kecuali permuafakatan bersama dan keterikatan itu bukan bersifat mutlak. PR berjanji ingin mansuhkan AUKU jika Berjaya memerintah Malaysia pada masa akan datang, atas permuafakatan bersama PAS, PR dan DAP mesti melaksanakannya.

SMM dalam satu-satu keputusan dan gerakan yang ingin di buat, mesti di sepakati oleh semua front gabungan. Jika satu sahaja front tidak bersetuju, kita tidak boleh namakan statement kita, gerakan kita atas nama SMM, tetapi hanya nama individu. Saya berpandangan, keadaan ini perlu di pandang serius oleh semua aktivis dan gerakan mahasiswa. Saya cadangkan setiap kenyataan media yang di buat SMM, memorandum dan sebagainya, mesti lampirkan persetujuan bersama GAMIS, PKPIM, DEMA dan KARISMA. Jika tidak dilampirkan atau salah satu nama front tidak ada, jangan sesuaka hati menggunakan nama SMM. Bagi saya, GAMIS, KARISMA, DEMA dan PKPIM perlu bertegas soal ini, kerana mahasiswa dan rakyat melihat setiap tindakkan SMM atas kebersamaan front-front yang ada dalam gabungannya.

Saya berharap, Gamis, Karisma, Dema dan Pkpim perlu nyatakan pendirian tegas, supaya gerakan yang dibuat tidak disalah tafsir oleh rakyat mahupun mahasiswa. Akhirnya, semoga gerakan mahasiswa dapat mengembalikan kepercayaan rakyat terhadap gerakan mahasiswa dan terus menjadi ikon masyarakat dan pandangan mahasiswa terus dihormati.
MOHD YUSOF HADHARI BIN SAIDON
Aktivis Mahasiswa
Mantan Ketua Penerangan Gamis 2010/2011

No comments:

Post a Comment