Showing posts with label GAMIS. Show all posts
Showing posts with label GAMIS. Show all posts

Sunday, May 27, 2012

Bangunkan Belia, Ini Bukan Caranya

Gambar Hiasan Sahaja nie...
Usaha pembentukan belia perlu dipandang serius oleh semua pihak. Semua maklum bahawa belia merupakan aset negara yang mesti digilap, bukan dibiarkan sahaja tanpa mendapat bimbingan yang betul.

Penganjuran Himpunan Jutaan Belia pada 23-27 Mei 2012 di Putrajaya mungkin merupakan sebuah projek mega kerajaan untuk menggilap potensi golongan belia. Mungkin ada segelintir masyarakat yang teruja terhadap himpunan tersebut, tapi yang pastinya ramai yang terkesima dan kecewa.

Gabungan Mahasiswa Islam SeMalaysia (Gamis) melahirkan kekecewaan kerana ruang yang baik sudah tersedia, tetapi kenapa perlu dicemari dengan budaya-budaya yang tidak elok. Program hiburan yang melampau, bukan sekadar menghilangkan nilai-nilai ketimuran, malah yang lebih teruk ialah mencalarkan imej Islam yang sudah lama terpahat pada Malaysia.

WASATIYYAH KOSMETIK

Konsep wasatiyyah yang seringkali dilaungkan oleh kerajaan, hakikatnya telah terpesong dari matlamat. Wasatiyyah bukannya bermaksud mengambil separuh yang baik lalu dicampur dengan separuh yang buruk, maka jadilah wasatiyyah.

Kesilapan dalam memahami konsep ini secara betul akan mencemarkan lagi pandangan masyarakat terhadap islam, apatah lagi menggunakan nama Islam untuk mencantikkan perkara yang buruk.

Kita amat risau sekiranya wasatiyyah (atau yang lebih sesuai digunakan dalam konteks ini ialah Moderate) yang dicananangkan oleh kerajaan sebenarnya adalah boneka kepada Amerika.

Hal ini seperti yang dilaporkan oleh Yayasan RAND iaitu sebuah pusat pemikiran terbesar di dunia yang berpusat di wilayah California, Amerika. Ia menjadikan agenda kesederhanaan (moderate) sebagai medium untuk menghalang gerakan islam lain dari bangkit. Malah, kesederhanaan dan ciri-cirinya perlulah mengikut kefahaman Amerika Barat, bukannya kefahaman islam yang syumul.

Perlu ditegaskan, Islam adalah agama yang praktikal tidak cukup sekadar teori. Islam juga bukannya agama rasmi sahaja yang berlegar dalam majlis-majlis keramaian, solat dan seumpamanya tetapi agama yang ‘hidup’ dalam kehidupan kita. Seperti yang disifatkan oleh Hujjatul Islam Imam Ghazali terhadap golongan al-Mutarasimun: Iaitu golongan yang mengamalkan agama yang bersifat rasmi tanpa penghayatan mendalam.

BANGUNKAN DENGAN ROHANI

Projek pembangunan belia mesti dipandang serius sama ada dari sudut pengisian mahupun teknikal. Gagasan tersebut juga sewajarnya melalui perbincangan dengan golongan cendekiawan.

Justeru, Gamis melihat aspek utama yang perlu dititikberatkan ialah rohani dan keilmuan. Beliau wajar digilap dari sudut keilmuan dan kerohanian supaya perkembangan belia menjadi seimbang disamping aspek-aspek sampingan disemai ke dalam jiwa belia.

Selain itu, ruang yang wujud dalam projek membangunkan belia iailah melalui kebajikan boleh diperkasakan untuk belia. Contoh pendidikan percuma, prasarana yang lengkap bagi sukan dan kebudayaan di kawasan pedalaman, kurangkan tahap pengangguran dengan mewujudkan institusi-institusi belia yang efektif bagi membantu ekonomi belia dan sebagainya.

Tuntasnya, dalam keghairahan kita membangunkan ‘peradaban’ sehingga kita terlupa perkara asas yang menjadi tonggak kepada peradaban tersebut. Seperti pesanan seorang reformis Islam, Malek Bennabi, “Membangunkan peradaban tanpa kerohanian adalah GAGAL”

Akram Ikrami Taib Azamudden
Presiden Gamis

Monday, May 21, 2012

Debat PTPTN: Mahasiswa Fokus Pada Tawaran Bukan Parti



Bahang isu mansuh PTPTN dan pendidikan percuma masih lagi terasa walaupun pelbagai isu muncul mewarnai dunia politik tanah air.

Terbaru (22 Mei 2012) Debat PTPTN; pemansuhan PTPTN halatuju pendidikan tinggi yang bakal memanaskan kembali isu mansuh PTPTN  dan pendidikan percuma.

Debat tersebut menampilkan dua orang tokoh anak muda iaitu Khairy Jamaluddin Abu Bakar, Ketua Pemuda UMNO dan Rafizi Ramli, Pengarah Strategi Parti Keadilan Rakyat (PKR). Melihat kepada kredebiliti dua tokoh anak muda tersebut, sudah meyakinkan debat tersebut akan berlangsung dengan penuh intelektual dan matang.

Debat tersebut sedikit sebanyak mengimbau debat politik anjuran Himpunan Mahasiswa United Kingdom dan Ireland (UKEC) membabitkan mereka berdua. Mereka berhujah dan mencabar minda mengenai Wawasan 2020 dan benarkah Malaysia berada di landasan betul untuk mencapai taraf negara maju yang tinggal 8 tahun lagi.
Gabungan Mahasiswa Islam SeMalaysia (Gamis) menyokong penganjuran debat ini dan melihat ia satu medium untuk rakyat mendapatkan maklumat secara adil. Pihak Gamis juga yakin bahawa isu ini bukan isu yang dipolitikkan, tetapi isu yang memperjuangkan hak dan kebajikan rakyat khususnya mahasiswa.

Dari perspektif berbeza, Gamis yakin dengan penganjuran debat ini, ia mampu menyerlahkan lagi peranan kerajaan dan oposisi, iaitu saling melengkapi bukannya sekadar mahu melihat parti mana yang lemah atau kuat, hasilnya rakyat akan mendapat keuntungan daripada proses saling melengkapi dari sudut gagasan dan tawaran.

Menariknya, debat ini sejajar dengan kandungan Deklarasi Inspirasi Anak Muda (Inspirasi) yang dilancarkan oleh Gamis pada 25 Mac 2012 lalu iaitu dalam membela hak dan kebajikan mahasiswa dalam pembiayaan pengajian.


Gamis Inspirasi Anak Muda!
Akram Ikrami Taib Azamudden,
Presiden, Gamis

Tuesday, April 10, 2012

Isu PTPTN : Kenyataan Naib Ketua Pemuda UMNO di sanggah

Gamis Menyelar Tuduhan tak Berasas Naib Ketua Pemuda UMNO Isu PTPTN


 
Gabungan Mahasiswa Islam SeMalaysia (Gamis) menyelar tuduhan tak berasas Naib Ketua Pemuda UMNO, Datuk Razali Ibrahim yang menuduh perhimpunan mansuhkan PTPTN pada 14 April nanti bukan untuk membantah pinjaman melalui Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), sebaliknya, perhimpunan itu dirancang pembangkang untuk mengapi-apikan kemarahan mahasiswa menjelang perhimpunan BERSIH 3.0.

Gamis melalui Naib Presiden 1, Eikhwan Ali telah memberi saranan kepada Pakatan Rakyat dan Barisan Nasional supaya mengadakan perbincangan khusus bagaimana untuk menyelesaikan isu PTPTN.

Bukan itu sahaja, melalui kenyataan akhbar yang dikeluarkan oleh Presiden Gamis, Akram Ikrami Taib Azamudden, Gamis bersedia menjadi penganjur sidang meja bulat antara mahasiswa, ahli akademik, NGO, PR dan BN bagi membincangkan kaedah terbaik bagi menyelesaikan isu PTPTN dan juga pendidikan percuma bagi rakyat.

Kenyataan Naib Ketua Pemuda UMNO menunjukkan beliau seolah-olah tidak mengikuti langsung isu tuntutan terhadap PTPTN sebelum ini. Mahasiswa telah menggunakan pelbagai cara untuk menyuarakan pandangan berkaitan isu PTPTN tetapi kerajaan tidak mengendahkan.

Tuduhan tersebut juga membuktikan bahawa UMNO sudah kekeringan idea dalam urusan pentadbiran. Sewajarnya tindakan proaktif diambil oleh kerajaan untuk meningkat sokongan dan kepercayaan rakyat kepada kerajaan, bukanya menuduh dan menidakkan hak mahasiswa.
Sepatutnya kerajaan mengambil peluang baik ini dengan menjadikan isu PTPTN sebagai ‘pencuci’ imej kerajaan yang banyak tercalar sebelum ini.

Tuntutan berkaitan isu PTPTN juga sejajar dengan Deklarasi Inspirasi Anak Muda Malaysia (Inspirasi) yang dilancarkan oleh Gamis bersama 13 front mahasiswa seluruh negara.

Inspirasi membawa 6 gagasan iaitu rejuvinasi sistem pendidikan, keadilan undang-undang, ekonomi untuk rakyat, jaminan kerjaya, politik berintegriti dan keharmonian sosial. Gagasan ini dibawa bagi memastikan masa depan Malaysia terus cemerlang.

Akram Ikrami Taib Azamudden
Presiden Gamis

Note Admin : Tunggu penjelasan dari Pakatan Rakyat

Monday, April 2, 2012

Batal PTPTN: Menifesto awal PRU-13 untuk siswa


http://www.harakahdaily.net/v2/images/stories/berita/17feb/gamis2010.jpgIsu penghapusan skim pembiayaan pendidikan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) bukanlah isu yang dipolitikkan, tetapi ia merupakan isu yang dibawa untuk menjaga hak dan kebajikan mahasiswa.

Gabungan Mahasiswa Islam SeMalaysia (GAMIS) menyokong iltizam Pakatan Rakyat untuk membatalkan PTPTN sekiranya Pakatan berjaya membentuk kerajaan pusat selepas pilihan raya umum akan datang.

Iltizam PR untuk membatalkan pinjaman PTPTN dan menyediakan pendidikan percuma dari sekolah rendah sehingga universiti boleh dilakukan sekiranya kerajaan berhemat dalam setiap perbelanjaan dan menghapuskan budaya rasuah dan kronisme yang merugikan negara.

Kenyataan menteri yang menyatakan bahawa idea tersebut adalah tidak relevan buat masa ini menunjukkan kedangkalan bagi seorang yang ‘berkuasa' terhadap sistem pengajian tinggi di Malaysia

Sewajarnya pihak kerajaan mengambil langkah proaktif dengan mengadakan sesi perbincangan dengan PR berhubung dengan kaedah mengurangkan bebanan pembiayaan pengajian pelajar, bukannya dengan mengkritik idea yang dibawa oleh Pakatan Rakyat.
Isu ini sejajar dengan agenda yang dibawa dalam Deklarasi Inspirasi Anak Muda Malaysia (INSPIRASI) yang dilancarkan pada 25 Mac 2012 iaitu dalam membela hak dan kebajikan mahasiswa dalam pembiayaan pengajian.

Di samping itu, INSPIRASI membawa enam agenda utama dalam pembentukan masa depan negara Malaysia yang lebih cemerlang iaitu Rejuvinasi Sistem Pendidikan, Keadilan Undang-undang, Ekonomi untuk rakyat, Jaminan Kerjaya, Integriti Politik dan Keharmonian Sosial.

INSPIRASI yang didokong oleh Gamis bersama 13 front mahasiswa di seluruh negara juga akan bersama dalam Himpunan mansuh PTPTN pada 14 April ini.



Penulis bergiat sebagai naib presiden 1 GAMIS dan pengerusi INSPIRASI.

Thursday, March 22, 2012

Iltizam Dengan Ikrar Integriti PRU

Matlamat untuk menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara bebas-rasuah memerlukan komitmen rakyat dan juga kesungguhan kerajaan dalam memerangi rasuah, mengamalkan tadbir urus yang baik dan mendukung integriti.

Ikrar integriti pilihan raya yang dilancarkan oleh Transparency International-Malaysia (TI-M), bagi melindungi integriti jawatan politik dan proses politik demokrasi merupakan satu langkah baik bagi meningkatkan integriti dalam politik.

Sejajar dengan kedudukan Malaysia sebagai sebuah negara OIC yang dianggap sebagai model sebuah negara islam yang moden, kerajaan khususnya perlu beriltizam bagi memastikan negara ini bebas dari rasuah.

Memperbaiki Kedudukan Negara

Menurut laporan rasuah oleh Transparency International pada 2005 bahawa Malaysia telah jatuh 16 anak tangga dalam tempoh 10 tahun ini, iaitu dari tempat ke-23 pada tahun 1995 ke tempat 39 pada tahun 2004.

Manakala, pada tahun 2011, Malaysia berada di tangga 60 dengan nilai 4.3 berbanding pada tahun 2007 di tangga 43 dengan nilai 5.1. Malaysia telah mengalami kemerosotan dari sudut integriti sejak tahun 2005 sehingga sekarang.

Ini amat memalukan jika dibandingkan dengan negara jiran iaitu Singapura, pada tahun 2011 berada di tangga ke-5 dengan nilai 9.2, manakala pada tahun 2007, berada di tangga ke-4 dengan nilai 9.3. Tambahan pula Singapura merupakan negara yang ‘lebih muda’ berbanding Malaysia.

Agenda transformasi yang dilancarkan seakan-akan tidak memberi kesan kepada negara kerana kadar peningkatan korupsi di Malaysia meningkat 46% dalam masa 3 tahun kebelakang berdasarkan kajian daripada Global Corruption Barometer 2012.

Rakyat mengharapkan negara dapat dibersihkan dari kes korupsi dalam masa yang sama meningkatkan kedudukan Malaysia dalam ranking indeks rasuah global.

Sektor Politik yang Parah

Gabungan Mahasiswa Islam SeMalaysia (GAMIS) mengucapkan tahniah atas tindakan Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Saifuddin Abdullah menandatangani ikrar integriti pilihan raya untuk Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13). Tindakan ini sewajarnya dimulai dengan Perdana Menteri Malaysia dahulu sebagai role model.

Benarlah apa yang dikatakan oleh Ketua Pesuruhjaya, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, Dato 'Sri Abu Kassim Mohamed,”Rasuah dalam politik adalah ibu kepada semua rasuah”.

Ini diperkuatkan lagi dengan kajian oleh Transparency International Global Corruption Barometer 2010, parti politik merupakan sektor yang tertinggi kes rasuah dengan nilai 4.0 daripada keseluruhan 5.0 mata.

Mesti Ada Tindakan Tegas

Sekadar berikrar sahaja tak dapat menyelesaikan masalah korupsi. Kerajaan perlu beriltizam untuk membebaskan Malaysia dari korupsi dengan mengadakan perbincangan serius bersama ahli akademik, ahli politik dan NGO bagi membincangkan langkah yang lebih efisyen bagi menjayakan pembersihan negara dari korupsi.

Kes yang terdekat yang melibatkan seorang bekas menteri besar yang didakwa mendapatkan untuk diri dan isterinya dua buah lot tanah dan sebuah rumah daripada pengarah Ditamas Sdn Bhd dengan harga RM 3.5 juta sedangkan ia dibeli oleh Ditamas Sdn Bhd dengan harga RM6.5 juta. Mahkamah menjatuhkan hukuman 12 bulan penjara berkuatkuasa serta merta dan memerintahkan harta tersebut dilucut hak kepada kerajaan Malaysia.

Kes yang besar tetapi hukuman yang tidak setimpal dengan kesalahan yang terlampau berat. Ini menyebabkan golongan-golongan kaya berani untuk terlibat dengan rasuah. Kerana mereka yakin mereka mampu ‘membiayai’ hukuman rasuah.

Proses untuk membersihkan negara dari rasuah perlu bermula dari peringkat kanak/remaja dengan penerapan unsur akauntabiliti dan integriti dalam kurikulum pelajaran. Dengan adanya sikap akauntabiliti dan integrity akan menjadikan rakyat Malaysia yang sentiasa beramanah.

Kita juga sewajarnya meneladani good governance yang telah lama wujud dalam sejarah islam contohnya ketika pemerintahan Umar Abdul Aziz, Nuruddin Az-Zinki dan ramai lagi. Nilai integriti dan akauntabiliti yang wujud adalah bermula dari keimanan yang teguh.

Gamis optimis sekiranya kerajaan mempunyai iltizam yang tinggi dalam menjadikan Malaysia sebagai negara bebas-rasuah, disambut pula dengan kesungguhan rakyat, Malaysia mampu menjadi negara bebas-rasuah dalam masa yang sama dapat menonjolkan ciri keistimewaan sebuah negara bermajoritikan orang Islam.

Gamis, Inspirasi Anak Muda!
Wan Mohamad Rasyadan Wan Hussin
Ketua Penerangan, GAMIS

Monday, February 20, 2012

Bila gerakan mahasiswa di tertawa masyarakat

Penulisan saya yang lepas, saya ada nyatakan beberapa persoalan mengenai penyalahgunaan nama Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM) oleh individu serta group tertentu tanpa ada penglibatan front-front mahasiswa di bawah gabungan SMM itu sendiri. Selepas penulisan itu di keluarkan di beberapa media utama, mereka segera ‘upload’ gambar perjumpaan yang mana di buat di pejabat PKPIM dan front- front gabungan di wakili oleh individu tertentu.

Bagi saya solidariti yang ada bukan digambarkan melalui perjumpaan, metting, atau sekadar pertemuan tetapi gerakan yang di buat, yang sentiasa di sokong dan di hadir oleh semua front-front gabungan yang ada termasuk pimpinan dan juga ahli. Tetapi saya melihat akhir-akhir ini, SMM seolah mewajahkan mereka adalah gerakan atau front yang lain, sehinggakan tidak nampak langsung apa itu “solidariti” mahasiswa.

Buktinya cukup jelas, apabila perhimpunan di depan bangunan setiausaha kerajaan negeri Kedah di Alor Setar anjuran Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM) baru-baru ini hanya dihadiri kira-kira 50 orang mahasiswa. Banyak media yang tertawakan mahasiswa sehingga ada blog-blog yang menyatakan wartawan lebih ramai dari mahasiswa yang hadir. SMM adalah nama besar bagi gabungan front-front utama di Malaysia seperti Gamis, Karisma, Dema dan PKPIM. Bagi saya front-front yang ada pastinya turut merasa malu jika gerakan yang dibuat hanya mendapat sambuntan sebegini rupa di kalangan mahasiswa apatah lagi sambuntan di kalangan masyarakat.

Saya sebagai mahasiswa turut merasa kesannya, bila gerakan mahasiswa di tertawa masyarakat sebegini rupa. Saya harapankan front-front gabungan dalam SMM dapat mencari punca dan sebab gerakan mahasiswa menjadi bahan ketawa rakyat akhir-akhir ini. Seperti yang saya sebutkan dalam penulisan saya sebelum ini sepatutnya presiden Gamis merupakan pengerusi SMM ataupun bersepakat antara front-front yang ada bagi memutuskan mana-mana presiden lain sama ada presiden Dema, presiden Kami atau presiden PKPIM. Bagi memastikan SMM ini bergerak atas permuafakatan bersama bukannya satu identiti yang lain atau pertubuhan yang berbeza seperti mana yang terjadi pada ketika ini.

Berkenaan perhimpunan di depan bangunan setiausaha kerajaan negeri Kedah di Alor Setar anjuran SMM baru-baru ini, saya mendapat banyak maklum balas dari orang ramai mengenai potrait Jamil yang dikalungkan jambangan bunga seperti dalam upacara kematian penganut bukan Islam. Apakah Islam meletakkan pada orang Islam untuk menghina orang Islam dengan upacara agama lain. Tindakan ini boleh mencemarkan imej Islam tersendiri tambahan pula jika mahasiswa itu 'wajahnya Islam'. Mungkin pimpinan SMM atau wakil Gamis yang sertai perhimpunan itu perlu jelaskan isu tersebut, kerana di bimbangi menjadi fitnah kepada gerakan mahasiswa islam.

Saya harapkan isu di KUIN dapat di selesaikan dengan baik oleh semua pihak yang terlibat. Bagi saya hendak habuskan Auku bukan dengan cara jatuhkan Ustaz Azizan, atau buruk-burukkan kerajaan PR di Kedah. Auku tetap akan di laksanakan selagimana PR belum memerintah Malaysia. Kecuali Kerajaan Umno/Bn yang sedia ada mahu mansuhkannya. Hendak hapuskan Auku, perlu hapuskan yang buat Auku terlebih dahulu.

MOHD YUSOF HADHARI BIN SAIDON
Aktivis Mahasiswa
Mantan Ketua Penerangan Gamis 2010/2011

Link penulisan saya yang lama : http://bm.harakahdaily.net/index.php/berita-utama/7906-penggunaan-nama-smm-sekarang-sudah-dikhianati

Thursday, February 2, 2012

Mahasiswa dan peredaran masa....

Kebelakangan ini, setelah berlalu beberapa demontrasi, dan cara pergerakan mahasiswa, ramai pihak mula menganalisis berkenaan corak pergerakan mahasiswa ini. Sehingga ramai pihak, rakyat mahupun mahasiswa sendiri menjadi muak dan memandang buruk serta sebahagian yang lain menanti-nanti bagaimana corak dan perjuangan mahasiswa seterusnya.

Kita imbas kembali sejarah penubuhan Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM) yang kini dianggap gerakan yang mula mendapat kritikan langsung dari rakyat dan aktivis mahasiswa sendiri. Pada hujung era 90an, Gamis melihat bahawasanya perlu kepada mahasiswa ini bergerak untuk memastikan bukan hanya isu-isu Islam tetapi bergerak juga dalam memperjuangkan isu-isu yang melibatkan hak asasi secara universal.

Pada tahun 2001 dengan isu ISA, Gamis bergabung menubuhkan Gerakan Mahasiswa Mansuhkan ISA (GMMI) kemudian pada tahun 2002 apabila Amerika menyerang Afganistan, Gamis sekali lagi bergabung menubuhkan Gerakan Mahasiswa Anti Perang (GEMPAR). Tetapi gerakan-gerakan ini ianya hanya bersifat isu dan hanya sementara ataupun bergabung atas sebab isu-isu tertentu sahaja.

Pada akhir tahun 2002, Gamis mencari kesimpulan yang lebih baik, bagaimana hendak memastikan gerakan bukan hanya terhenti dengan isu tetapi pergi kepada suatu benda yang lebih besar iaitu satu solidariti di antara gerakan-gerakan mahasiswa ini baik mahasiswa Islam mahupun bukan Islam.

Pimpinan Gamis berbincang untuk mewujudkan satu pakatan dan Gamis bersama dengan Gerakan Demokratik Belia dan Pelajar Malaysia (Dema), Persatuan untuk Belia Baru Universiti Malaya (Umany), Jawatankuasa Kebajikan Mahasiswa Mahasiswi (JKMI), Kelab Rakan Islah Malaysia (Karisma), Pertubuhan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM), Gabungan Anak Muda dan Pelajar (GAMP) dan banyak lagi. Bahkan pada waktu itu ada 14 front mahasiswa dan anak muda termasuk Food Not Bomb (FNB), Jaringan Rakyat Tertindas (Jerit) dan lainya. Hasil daripada perhimpunan gerakan-gerakan mahasiswa ini, diakhiri dengan satu kesimpulan untuk tubuhkan satu solidariti yang namanya Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM). Itu secara ringkas sejarahnya.

SMM ditubuhkan pada tahun 2002 dan pengerusi pertamanya ialah Mohd Khairol Anwar Mat Zuki juga merupakan Presiden Gamis pada masa itu. SMM hanya bergerak atas muafakat bersama, bukan bergerak atas identiti sendiri dan bagi saya sepatutnya presiden Gamis merupakan pengerusi SMM ataupun bersepakat antara front-front ini bagi memutuskan mana-mana presiden lain sama ada presiden DEMA , presiden KAMI atau presiden PKPIM. Bagi memastikan SMM ini bergerak atas permuafakatan bersama bukannya satu identiti yang lain atau pertubuhan yang berbeza seperti mana yang terjadi pada ketika ini.

Saya melihat pengunaan nama SMM sekarang ini sudah dikhianati oleh individu dan kumpul tertentu. Sepatutnya tidak boleh menggunakan nama SMM jika salah satu front gabungan tidak setuju. Sebagai contoh, jika DEMA setuju dengan hak kebebasan beragama tetapi front gabungan lainnya tidak bersetuju lalu itu atas nama DEMA sahaja. SMM ianya tidak mengikat. Saya bagi contoh, Pakatan Rakyat (PR) yang mempunyai tiga parti iaitu PAS, PKR dan DAP. Walaupun ketua pembangkang Dato Seri Anwar Ibrahim tetapi Presiden PAS, Tuan guru Haji Abdul Hadi tidak terikat dengan sebarang keputusan Anwar Ibrahim kecuali permuafakatan bersama dan keterikatan itu bukan bersifat mutlak. PR berjanji ingin mansuhkan AUKU jika Berjaya memerintah Malaysia pada masa akan datang, atas permuafakatan bersama PAS, PR dan DAP mesti melaksanakannya.

SMM dalam satu-satu keputusan dan gerakan yang ingin di buat, mesti di sepakati oleh semua front gabungan. Jika satu sahaja front tidak bersetuju, kita tidak boleh namakan statement kita, gerakan kita atas nama SMM, tetapi hanya nama individu. Saya berpandangan, keadaan ini perlu di pandang serius oleh semua aktivis dan gerakan mahasiswa. Saya cadangkan setiap kenyataan media yang di buat SMM, memorandum dan sebagainya, mesti lampirkan persetujuan bersama GAMIS, PKPIM, DEMA dan KARISMA. Jika tidak dilampirkan atau salah satu nama front tidak ada, jangan sesuaka hati menggunakan nama SMM. Bagi saya, GAMIS, KARISMA, DEMA dan PKPIM perlu bertegas soal ini, kerana mahasiswa dan rakyat melihat setiap tindakkan SMM atas kebersamaan front-front yang ada dalam gabungannya.

Saya berharap, Gamis, Karisma, Dema dan Pkpim perlu nyatakan pendirian tegas, supaya gerakan yang dibuat tidak disalah tafsir oleh rakyat mahupun mahasiswa. Akhirnya, semoga gerakan mahasiswa dapat mengembalikan kepercayaan rakyat terhadap gerakan mahasiswa dan terus menjadi ikon masyarakat dan pandangan mahasiswa terus dihormati.
MOHD YUSOF HADHARI BIN SAIDON
Aktivis Mahasiswa
Mantan Ketua Penerangan Gamis 2010/2011

Saturday, January 7, 2012

GAMIS Menyokong Kenyataan KPT Berhubung Perhimpunan 901

Gabungan Mahasiswa Islam SeMalaysia (GAMIS) menyokong sepenuhnya kenyataan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Khaled Nordin membenarkan mahasiswa IPT untuk menyertai perhimpunan 9 Januari di Kuala Lumpur.

Di peringkat GAMIS kami merasakan inilah ruang yang terbaik bagi mahasiswa untuk menilai sistem perundangan dan institusi kehakiman negara dalam masa yang sama, mereka turun ke perhimpunan tersebut bukan atas ‘tiket’ mahasiswa tetapi atas ‘tiket’ rakyat Malaysia yang mempunyai hak untuk mengundi dalam pilihanraya.

GAMIS menyarankan kepada seluruh pentadbiran universiti agar menyambut kenyataan dari KPT berhubung kebenaran untuk menyertai himpunan 9 Januari nanti. Ini sejajar dengan semangat pindaan yang akan berlaku kepada AUKU 1971. Sepatutnya pentadbiran universiti menunjukkan kebersamaan dengan KPT.

Mahasiswa bersama KPT

Mahasiswa Aman sewajarnya mempunyai pendirian tersendiri berhubung perhimpunan 9 januari nanti, bukannya terpengaruh dengan tindakan PERKASA mahupun UMNO.

Wakil dari Mahasiswa Aman, Mohd Shahar Abdullah, yang juga presiden Persatuan Alumni Pemimpin Mahasiswa Aspirasi Malaysia (ASPIRASI) telah menghantar satu memorandum kepada Datuk Seri Najib Tun Razak bagi membantah perhimpunan 9 januari nanti.

GAMIS secara tegas menyangkal dengan dakwaan Mahasiswa Aman kononnya perhimpunan tersebut merupakan agenda politik individu yang terdesak memperalatkan mahasiswa.

GAMIS menaruh keyakinan yang tinggi terhadap mahasiswa yang akan turun ke perhimpunan tersebut mempunyai kebijaksaan untuk menilai sistem perundangan dan institusi kehakiman negara.

Mereka harus sedar bahawa rakyat ada hak untuk berhimpun secara aman. Perkara ini diakui apabila tiada sebarang sekatan yang dilakukan terhadap demonstrasi pelajar pro-Aspirasi pada 21 Disember 2011 yang diketuai oleh ASPIRASI. Malah tiada sebarang laporan polis dibuat untuk membantah demonstrasi tersebut.

Saranan GAMIS kepada Mahasiswa Aman dan ASPIRASI, supaya bertindak dengan matang dan seharusnya mendokong hasrat kerajaan untuk meminda AUKU dan membenarkan mahasiswa ke perhimpunan pada 9 Januari nanti.

GAMSI juga menasihati ASPIRASI supaya menghentikan desakan supaya Datuk Saifuddin Abdullah meletakkan jawatan beliau sebagai Timbalan Menteri Pengajian Tinggi. Sepatutnya ASPIRASI bertindak dengan lebih matang dan profesional iaitu dengan menjadi medium perantaraan bagi pihak kerajaan dan mahasiswa.

Sekiranya desakan supaya Datuk Saifuddin Abdullah meletak jawatan atas alasan beliau tidak selari dengan dasar kerajaan, GAMIS dengan tegas menggesa ASPIRASI perlu dibubarkan kerana tidak menyokong hasrat kerajaan untuk meminda AUKU dan membantah kenyataan KPT berhubung perhimpunan 9 Januari.

GAMIS menyarankan kepada seluruh mahasiswa yang ingin turun ke perhimpunan 9 Januari ini mematuhi arahan dan peraturan yang telah dipersetujui. Yang paling utama ialah tujuan menyertai perhimpunan tersebut bukan untuk membela Dato’ Seri Anwar Ibrahim, tetapi kita ingin membela keadilan bagi rakyat Malaysia dan kita ingin menilai sistem perundangan dan institusi kehakiman negara . Sejajar dengan prinsip ‘seseorang itu dianggap tidak bersalah melainkan dibuktikan bersalah’.


Gamis Inspirasi Anak Muda!

Akram Ikrami Taib Azamudden
Presiden GAMIS

Tuesday, January 3, 2012

Seruan Solat Hajat dan Qunut Nazilah Sempena Kezaliman Terhadap Mahasiswa

Tabir 2012 disambut dengan lembaran ‘Tragedi Berdarah’ di Universiti Perguruan Sultan Idris (UPSI) baru-baru ini. Tragedi itu menyaksikan 17 mahasiswa ditahan dan Muhammad Safwan Anang, Timbalan Presiden Gabungan Mahasiswa Islam SeMalaysia (GAMIS) cedera parah dibelasah pihak polis keranamelakukan demonstrasi aman menuntut kes Adam Adli supaya digugurkan pihak universiti.

Seakan satu kelucuan apabila membaca kenyataan Datuk Mohd Shukri Dahlan, Ketua Polis Perak, bahawa kecederaan ahli kumpulan mahasiswa itu adalah disebabkan ‘rempuhan yang mereka lakukan sendiri’, dan bukan dipukul polis seperti didakwa. Ya, ‘rempuhan sendiri’ sehingga menyebabkan koma dan bermandi darah pada waktu kejadian. “Kita mempunyai rakaman video selain saksi bagi membuktikan polis tidak melakukan keganasan.”, ujar Ketua Polis Perak, Datuk Mohd Shukri Dahlan. Sudahlah penguasa! Rakyat sudah muak. Sampai bila mahu berdalih lagi.

Kezaliman demi kezaliman yang dilakukan kepada mahasiswa semakin menjengkelkan Apabila mahasiswa pro-kerajaan melakukan demonstrasi membantah tindakan Adam Adli tempohari, ia diistilahkan sebagai ‘perhimpunan aman’ manakala demontrasi aman oleh mahasiswa yang bersama dengan Adam Adli dinamakan sebagai ‘perhimpunan haram’, ‘mencetuskan’ keganasan’ dan lain-lain label yang negatif. Bertali arus hentaman media kepada mahasiswa mengenai isu ini.

Kepada sang penguasa,

Anda mungkim selamat di dunia dengan jaminan ‘orang atasan’ anda. Anda mungkin boleh bersenang lenang dengan putar-belit anda. Namun, mahkamah akhirat tetap menanti anda. Mungkin ada yang beralasan, “Tak semua polis begitu. Ada yang baik dan bersama-sama dengan perjuangan mahasiswa, cuma mereka dipaksa.”.

Marilah merenung mutiara nasihat dari Hasan al-Basri radhiallahuanhu kepada Gabenor Iraq dan Khurasan iaitu ‘Umar bin Hubairah. ‘Umar bin Hubairah mengadu kepada Hasan al-Basri radhiallahuanhu, katanya: “Sesungguhnya Khalifah Yazid bin Abdul Malik kadang-kala menyuruhku melaksanakan perkara yang aku rasa tidak puas hati dari segi keadilan. Apakah jika aku melaksanakannya menjadi satu kesalahan di sisi agama?”

Kata Hasan al-Basri: “Wahai Umar bin Hubairah! Takutlah Allah mengenai Yazid, jangan engkau takutkan Yazid mengenai Allah. Ketahuilah sesungguhnya Allah dapat menghalang Yazid daripada bertindak ke atasmu, tetapi Yazid tidak dapat menghalang Allah daripada bertindak ke atasmu.”

Kepada mahasiswa,

Perjuangan tetap perlu diteruskan. Bukankah cabaran itu adalah lumrah buat orang yang beriman? Firman Allah:
Ketahuilah sesungguhnya pertolongan Allah itu dekat (asalkan kamu bersabar dan berpegang teguh kepada agama Allah).” (Al-Baqarah: 214)

Allah SWT menjanjikan pertolongan saat kita menghadapi kesulitan, dengan syarat kita mestilah bersabar menghadapinya. Jangan sesekali kita berpaling dari Allah SWT, atau menjauhkan diri dari-Nya.

Dengan ini, semua mahasiswa di seluruh dunia khususnya di Malaysia diseru melakukan Solat Hajat dan Qunut Nazilah. Moga-moga dengan munajat ini, Allah SWT memberikan kemenangan buat mahasiswa, dan pastinya kemenangan buat perjuangan rakyat. Mari kita realisasikan, ‘Tahun 2012: Tahun Kebangkitan Mahasiswa”!

Gamis Inspirasi Anak Muda

Akram Ikramin Tabi Azamudden
Presiden GAMIS

Sunday, January 1, 2012

GAMIS Mengutuk Kekejaman Polis Terhadap Mahasiswa di UPSI

https://blogger.googleusercontent.com/img/b/R29vZ2xl/AVvXsEiXH7IhobC-4jZAgAlTQ2MVdfzYR_t6LQvM6WA8BqK6GIM3m7jeBBNoaP6O3AsDnIheCcS3DBfeeyHBQZ9f0-pESCS8qVwBfimdawNnZ4-SCqOwdFr0KpoqY8tpfLe6VLtZdlyAEInTn68p/s400/parah2+3.jpg

Tirai 2012 menyaksikan satu lagi rentetan siri penindasan semenjak 40 tahun ke atas mahasiswa sekaligus memberi gambaran jelas pemerintahan diktator dan angkuh di bawah kepimpinan negara Dato’ Seri Najib Tun Razak. Hal ini menyebabkan lagi mahasiswa semakin hilang percaya dengan kepimpinan ini untuk terus menerajui kepimpinan negara.

Insiden yang penuh tragis pada malam tahun baru itu menyaksikan ratusan polis dan pasukan simpanan polis (FRU) berhimpun bagi menyuraikan himpunan mahasiswa yang bilangannya hanya sekitar 40 orang sahaja. Tanpa mempedulikan jeritan mahasiswa yang meraung kesakitan dibelasah teruk, pihak polis dilihat seperti manusia berhati binatang. Tidak cukup dengan itu, setelah dibelasah teruk, mereka juga menghalang mahasiswa yang sedang menggelupur kesakitan untuk mendapatkan rawatan di klinik berhampiran.

Oleh itu, GAMIS mengutuk sekeras-kerasnya pembantaian mahasiswa beramai-ramai oleh pihak berkuasa. Tindakan kejam pihak polis, membelasah teruk, menerajang dan menyepak biadab mahasiswa-mahasiswa yang sedang mengadakan demonstrasi aman menuntut kebebasan akaedmik di UPSI malam semalam seolah menunjukkan lucutnya nilai kemanusiaan dan tanggungjawab polis yang sepatutnya menjaga keamanan negara.
Sehubungan dengan itu :

1. GAMIS mendesak Datuk Seri Hishammuddin Hussein dan Ketua Polis Negara bertanggungjawab berhubung keganasan polis di UPSI dengan memohon maaf secara terbuka kepada saudara Mohammad Safwan Anang Talib, Timbalan Presiden GAMIS dan mahasiswa yang dibelasah teruk pada malam kejadian

2. GAMIS menyelar tindakan pihak polis jelas membuktikan suara mahasiswa yang ingin dikuburkan oleh rejim kerajaan Dato’ seri Najib Tun Razak

3. GAMIS kesal dengan tindakan pihak berkuasa khususnya polis sepatutnya bertindak dengan lebih profesional, bukan menggunakan kekerasan melampau

4. GAMIS menuntut pihak berkuasa bertanggungjawab ke atas mangsa kekejaman tersebut dengan menanggung kerugian dan segala perbelanjaan perubatan

5. GAMIS akan bersama seluruh mahasiswa Malaysia tidak akan berundur bahkan akan terus mara memperjuangkan untuk memansuhkan AUKU dan akta seumpanya yang bersifat zalim dan mencabul demokrasi

GAMIS mengucapkan tahniah kepada seluruh mahasiswa yang mula bangkit menentang kezaliman. Tidak memadai kita hanya berasa gah dengan kebangkitan anak muda asia barat, tapi kita sebagai anak muda Malaysia khususnya mahasiswa akan terus bangkit menentang kezaliman. Kekejaman yang dilakukan oleh pihak berkuasa, tidak sesekali melunturkan semangat anak muda.

GAMIS Inspirasi Anak Muda

Saturday, December 17, 2011

BEBAS, Mahasiswa Melakar Sejarah Baru

Kuala Lumpur ,17 Dis: Mahasiswa hari ini telah melakar sejarah baru dalam kamus gerakan mahasiswa, apabila mereka bangkit mendesak kerajaan agar memansuhkan Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU). Mereka berarak dari Masjid Jamek ke Pejabat Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam).

Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM) bersama Gerakan Menuntut Kebebasan Akademik (BEBAS) bergerak dengan membawa sepanduk,“Mahasiswa Bukan Robot", "Mansuhkan AUKU", "Bebaskan Mahasiswa Berpartisan dalam Politik" serta menyatakan enam tuntutan BEBAS.

Laungan keramat penuh bersemangat daripada hampir 1000 orang mahasiswa, "Student Power!", "Mahasiswa Sayang Malaysia!", dan "Mansuhkan AUKU" diselangi dengan ucapan daripada wakil-wakil front mahasiswa telah bergema sepanjang jalan di ibu kota Kuala Lumpur.

Pengerusi SIGMA GAMIS, Rohayu Rusli menjelaskan bahawa hari ini anak muda Malaysia mencipta sejarah apabila telah turun ke jalanan menyatakan pendirian hak bersuara serta prinsip bahawa mahasiswa mahasiswi dan anak muda Malaysia.

"Kita tidak akan pernah berhenti menyuarakan kebenaran dan keadilan, menuntut hak yang selama ini dikekang”.

Akram Ikrami
"Hari ini juga turut memperlihatkan bahawa partisipasi mahasiswi dalam himpunan, turut bersuara, turut hadir membarisi barisan anak muda, sejarah hari ini memberi amaran kepada pemerintah agar tidak bersenang lenang sedangkan rakyat dan mahasiswa dalam keperitan," jelasnya.

Sementara itu, Presiden GAMIS, Akram Taib Azamudden semasa berucap memberitahu hari ini menyaksikan satu himpunan dan perarakan laungan kebenaran memenuhi bandaraya Kuala Lumpur.
"Ini bukti bahawa mahasiswa cukup muak dan benci terhadap akta zalim yang kita tuntut untuk dimansuhkan.
Safwan Anang
GAMIS mengucapkan tahniah kepada Pengerusi BEBAS, Safwan Anang yang juga merupakan Timb. Presiden GAMIS serta seluruh pimpinan front mahasiswa yang telah menggerakkan kekuatan ahli untuk turut sama ke lapangan rakyat menyatakan pendirian kebenaran," katanya.
Setelah menyerahkan memorandum kepada wakil Suhakam, kumpulan mahasiswa kemudiannya bergerak ke PWTC untuk menyerahkan memorandum kepada wakil kerajaan.
Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Saifuddin Abdullah sudi turun untuk menerima memorandum BEBAS. Beliau juga berkesempatan untuk menyampaikan pidatonya yang menyokong usaha mahasiswa menuntut kebebasan akademik. “Tahniah mahasiswa! Saya akan bersama-sama kamu semua untuk perjuangkan isu ini.” ujar beliau.

Thursday, March 24, 2011

Cadangan Loji Nuklear: GAMIS usul memorandum 100 soalan

1. Mahasiswa menyambut baik cadangan kerajaan Malaysia melalui Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air (KeTTHA)Malaysia untuk membangunkan janakuasa nuklear di Malaysia.

2. Sememangnya mahasiswa mengakui manfaat yang diperoleh hasil daripada perkembangan teknologi ini yang mana boleh memberi penjimatan kos janakuasa elektrik jangka masa panjang di samping meningkat kualiti tenaga yang dihasilkan.

3. Namun begitu, dalam memastikan perkembangan kemajuan yang ingin dicapai, hendaklah diingat akan risiko yang bakal dihadapi oleh jutaan rakyat Malaysia secara amnya. Hal ini kerana mahasiswa menyedari akan permasalahan utama yang sering dipersoalkan ialah berkaitan isu keselamatan rakyat dan implikasi tenaga radioaktif ini ke atas Rumah Hijau.

4. Oleh itu mahasiswa berpendirian untuk menggesa kerajaan untuk meneliti beberapa perkara :

(i) Mahasiswa menggesa kerajaan melalui kementerian yang berkaitan untuk mewujudkan elemen-eleman penerangan terus kepada rakyat sama ada melalui media rasmi kerajaan mahupun penerangan menerusi pendidikan secara formal. Ini termasuklah memberi laporan yang lengkap mengenai projek ini dan dibentangkan secara telus termasuklah implikasi dan konsekuensi bencana loji kuasa nuklear Fukushima Daiichi.

Sumber: Reuters

(ii) Mahasiswa juga bersedia untuk menjadi agen penerangan alternatif kepada rakyat sekiranya kerajaan bersedia untuk memberi penerangan lanjut mengenai teknologi ini. Penerangan ini perlu untuk memastikan rakyat benar-benar memahami sepenuhnya cadangan loji nuklear ini oleh kerajaan.

(iii) Mahasiswa menggesa pihak kerajaan agar memulangkan segala keputusan berhubung cadangan loji ini sepenuhnya kepada rakyat. Hal ini kerana selain daripada manfaat yang bakal diterima oleh negara, rakyat juga berhadapan dengan risiko luar jangka yang boleh berlaku seperti di negara Jepun. Oleh itu, sememangnya kuasa pemutus untuk menentukan sama ada negara memerlukan tenaga nuklear atau tidak perlu diserahkan kepada rakyat.

(iv) Mahasiswa menggesa pihak kabinet untuk mengambil kira kehendak rakyat sebelum membuat sebarang keputusan bagi mengelakkan terbentuknya dasar yang akan membelakangkan rakyat seperti isu pembentukan dasar PPSMI dan isu pengekalan agama anak-anak yang baru lahir.

Sehubungan dengan itu, Gabungan mahasiswa Islam Se-malaysia (GAMIS) akan mengusulkan memorandum 100 soalan yang perlu dijawab oleh kementerian yang berkaitan berhubung cadangan pembinaan loji nuklear ini. Soalan-soalan ini merupakan persoalan lazim yang sering ditimbulkan oleh rakyat kebanyakan dan perlu dijawab segera oleh pihak kerajaan. Mahasiswa menuntut agar jawapan kepada 100 soalan ini perlu dijawab dalam sidang dewan rakyat yang akan datang.

Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia juga akan melancarkan skuad khas penerangan bagi memperjelaskan isu ini kepada rakyat. Skuad ini akan bertindak sebagai agen penerangan seterusnya mengumpul suara rakyat berhubung isu cadangan pembinaan loji nuklear ini. Diharapkan dengan himpunan suara rakyat tersebut akan dapat memberi mesej jelas kepada kerajaan mengenai kehendak rakyat dalam isu ini.

Diharapkan dengan memorandum ini, pihak kerajaan dapat membuat tindakan yang terbaik berhubung isu loji nuklear demi masa depan negara dan kesejahteraan rakyat.

*Kenyataan media oleh Ahmad Syukri Ab Razab (gambar kiri) selaku Pengerusi Majlis Politik nasional (MPN) dan Gabungan mahasiswa Islam Se-malaysia (GAMIS).

http://www.merdekareview.com/bm/news.php?n=11668

Tuesday, January 11, 2011

GAMIS sedia jadi penganjur debat


Gabungan Mahasiswa Islam Semalaysia ( GAMIS ) bersedia menjadi perunding dan penganjur kepada debat antara Dato’ Seri Anuar Ibrahim dan Dato’ Seri Najib Tun Razak sebagaimana tawaran yang dibuat oleh Ketua Pembangkang beberapa hari yang lepas.

Mahasiswa melihat ini merupakan suatu ruang yang sihat bagi pihak kerajaan dan pembangkang menyatakan iltizam dan inspirasi dalam memacu program ekonomi Negara pada masa akan datang. anak muda memerlukan komitmen yang jelas daripada pihak parti politik supaya mereka khususnya mahasiswa boleh menimbangtara program terbaik yang ditawarkan.

GAMIS mengambil perhatian kepada tawaran yang dikeluarkan oleh ketua pembangkang, Dato’ Seri Anuar Ibrahim sebagi suatu usaha yang baik dalam pengamalan demokrasi Negara. Debat ini perlu dilaksanakan atas garisan akademik dan intelektual tanpa pengaruh emosi kepolitikan daripada kedua-dua pihak. Maka kami syorkan untuk debat ini diadakan dalam universiti yang menjadi medan pertempuran ilmu dan intelek dan bebas dari pengaruh politik berbanding diluar.


Isu yang ingin dibincangkan ialah berkait soal ekonomi Negara yang menjadi nadi utama kepada pembangunan Negara. Maka kepentingan percambahan idea dan pandangan dalam memajukan Negara sangat diperlukan. Debat ini bakal menjadi pentas meraikan demokrasi dalam Negara dan rakyat boleh menilai hujah dan pandangan yang bakal dilontarkan oleh kedua-dua pihak. Mahasiswa sudah muak dengan hanya mendengar kenyataan balas melalui media tanpa ada suatu pertentangan idea secara terus dan berdepan.

Permainan isu yang menjadi tanda tanya kepada rakyat khususnya berkaitan hutang Negara, ketirisan dalam perbelanjaan, penarikan subsidi barangan asas, pembinaan menara 100 tingkat, FDI yang berkurangan dan banyak lagi isu yang akan pasti menjadi perkara yang perlu dibahaskan melalui debat ini.

Maka besar harapan mahasiswa agar debat ini dapat dijalankan supaya pihak kerajaan boleh menjelaskan isu yang bermain disekitar dan dalam masa yang sama kita boleh menilai kerelevanan manifesto yang dibawa oleh pihak pakatan rakyat. Debat bukan semata-mata untuk mencari siapa menang dan kalah, tapi menilai kepada keberanian dan kekuatan hujah yang disampaikan oleh kedua-dua pihak. GAMIS merasakan ini adalah suatu permulaan kepada politik baru yang dicanangkan bersama untuk melihat masa depan Negara yang lebih baik.

Ahmad Syazwan bin Muhammad Hasan
Presiden GAMIS
013-313 6246