Gambar Hiasan Sahaja nie... |
Usaha pembentukan belia perlu dipandang serius oleh semua pihak. Semua maklum bahawa belia merupakan aset negara yang mesti digilap, bukan dibiarkan sahaja tanpa mendapat bimbingan yang betul.
Penganjuran Himpunan Jutaan Belia pada 23-27 Mei 2012 di Putrajaya mungkin merupakan sebuah projek mega kerajaan untuk menggilap potensi golongan belia. Mungkin ada segelintir masyarakat yang teruja terhadap himpunan tersebut, tapi yang pastinya ramai yang terkesima dan kecewa.
Gabungan Mahasiswa Islam SeMalaysia (Gamis) melahirkan kekecewaan kerana ruang yang baik sudah tersedia, tetapi kenapa perlu dicemari dengan budaya-budaya yang tidak elok. Program hiburan yang melampau, bukan sekadar menghilangkan nilai-nilai ketimuran, malah yang lebih teruk ialah mencalarkan imej Islam yang sudah lama terpahat pada Malaysia.
WASATIYYAH KOSMETIK
Konsep wasatiyyah yang seringkali dilaungkan oleh kerajaan, hakikatnya telah terpesong dari matlamat. Wasatiyyah bukannya bermaksud mengambil separuh yang baik lalu dicampur dengan separuh yang buruk, maka jadilah wasatiyyah.
Kesilapan dalam memahami konsep ini secara betul akan mencemarkan lagi pandangan masyarakat terhadap islam, apatah lagi menggunakan nama Islam untuk mencantikkan perkara yang buruk.
Kita amat risau sekiranya wasatiyyah (atau yang lebih sesuai digunakan dalam konteks ini ialah Moderate) yang dicananangkan oleh kerajaan sebenarnya adalah boneka kepada Amerika.
Hal ini seperti yang dilaporkan oleh Yayasan RAND iaitu sebuah pusat pemikiran terbesar di dunia yang berpusat di wilayah California, Amerika. Ia menjadikan agenda kesederhanaan (moderate) sebagai medium untuk menghalang gerakan islam lain dari bangkit. Malah, kesederhanaan dan ciri-cirinya perlulah mengikut kefahaman Amerika Barat, bukannya kefahaman islam yang syumul.
Perlu ditegaskan, Islam adalah agama yang praktikal tidak cukup sekadar teori. Islam juga bukannya agama rasmi sahaja yang berlegar dalam majlis-majlis keramaian, solat dan seumpamanya tetapi agama yang ‘hidup’ dalam kehidupan kita. Seperti yang disifatkan oleh Hujjatul Islam Imam Ghazali terhadap golongan al-Mutarasimun: Iaitu golongan yang mengamalkan agama yang bersifat rasmi tanpa penghayatan mendalam.
BANGUNKAN DENGAN ROHANI
Projek pembangunan belia mesti dipandang serius sama ada dari sudut pengisian mahupun teknikal. Gagasan tersebut juga sewajarnya melalui perbincangan dengan golongan cendekiawan.
Justeru, Gamis melihat aspek utama yang perlu dititikberatkan ialah rohani dan keilmuan. Beliau wajar digilap dari sudut keilmuan dan kerohanian supaya perkembangan belia menjadi seimbang disamping aspek-aspek sampingan disemai ke dalam jiwa belia.
Selain itu, ruang yang wujud dalam projek membangunkan belia iailah melalui kebajikan boleh diperkasakan untuk belia. Contoh pendidikan percuma, prasarana yang lengkap bagi sukan dan kebudayaan di kawasan pedalaman, kurangkan tahap pengangguran dengan mewujudkan institusi-institusi belia yang efektif bagi membantu ekonomi belia dan sebagainya.
Tuntasnya, dalam keghairahan kita membangunkan ‘peradaban’ sehingga kita terlupa perkara asas yang menjadi tonggak kepada peradaban tersebut. Seperti pesanan seorang reformis Islam, Malek Bennabi, “Membangunkan peradaban tanpa kerohanian adalah GAGAL”
Akram Ikrami Taib Azamudden
Presiden Gamis
masa tun razak dulu sampai promote panglima cangkul utk maju kan negara lah awat lemah sangat nak buat cerita ala panglima dari kaki gunung tahan pun tak boleh memang melayu acuan umno sakit
ReplyDelete