Tuesday, May 22, 2012

Empat syarikat, tujuh produk Kedah ke Eropah

ALOR SETAR – Bagi sesi kedua penghantaran produk pengusaha Kedah ke Ireland, empat syarikat telah dipilih setelah sesi percubaan sembilan bulan yang lalu.

Manma & Hibiscus Asian Store, yang berpengkalan di Ireland telah memilih Zuza Food Industries (sos lada hitam dan sos cili Thai), Zinon Food Industry (pelbagai jenis perencah makanan), SNT Duha Industry (mi kering) dan Jeruk Madu Pak Ali (dua jenis jeruk).

Pengarah Urusan Manma & Hibiscus Asian Store, Kamarulzaman Abdul Manan berkata, pemilihan empat syarikat dan tujuh produk ini adalah berdasarkan kriteria-kriteria yang memenuhi pasaran antarabangsa.

“Mengapa saya pilih empat syarikat dan tujuh produk ini kerana produk yang saya pilih ini menjadi menu asas dalam masakan dan juga bersifat universal, di mana semua orang makanan produk-produk ini.

“Saya juga mahu nama produk Malaysia dapat perhatian dan setanding dengan produk-produk lain yang berada di Eropah,” jelas beliau pada Majlis Menandatangani Perjanjian Persefahaman (MoU) Pemasaran Produk Kedah ke Eropah yang diadakan di Wisma Darul Aman, di sini.


Beliau menambah, kerjasama antara Kedah Agro Holdings Bhd sebagai perantara akan memudahkan urusan pengumpulan dan penghantaran produk tersebut ke luar negara.

“Kedah Agro Holdings Bhd. akan bertindak sebagai pusat pengumpulan produk-produk tersebut di sini sebelum dibawa ke Pelabuhan Klang, jadi usahawan di sini tidak akan hadapi peningkatan kos produk,” ujar beliau.

Dalam pada itu, majlis pemeteraian MoU antara syarikat terbabit yang diwakili oleh Kamarulzaman dan Ketua Eksekutif Kedah Agro Holding Bhd., Dato’ Shahabudin Shafie itu turut disaksikan oleh Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Azizan Abdul Razak.
Terakhir Dikemaskini (Selasa, 22 Mei 2012 11:21)

No comments:

Post a Comment