Wednesday, May 30, 2012

Terus asak airtime TV semasa kempen PRU13

Ahmad Lutfi Othman, 28 Mei 2012

Di waktu banyak pihak meramalkan Pilihan Raya Umum Ke-13 mungkin mencipta tragis sebagai "medan terburuk" bagi pertarungan menagih mandat baru rakyat, saya melihat beberapa reaksi awal -- yang mungkin dilihat sudah terlewat tetapi tetap dianggap positif dalam proses pendemokrasian -- yang agak mengembirakan.

Semua maklum bahawa PRU13 paling kritikal, sama ada buat Pakatan Rakyat dan juga BN. Ia pertempuran hidup atau mati. Bagi sesetengah individu bertaraf VVIP, kalah bukan sekadar bererti menjadi pembangkang tetapi bakal berdepan tindakan yng cukup mengaibkankan. Maka, untuk mengharapkan pertandingan ini dijalankan secara adil, telus dan bersih, serta menurut etika yang sihat, ia seolah-olah hanya ilusi.

Semua maklum, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) daripada awal lagi dilihat bukan sahaja memihak kepada elit penguasa, malah telah dijadikan perkakas utama BN untuk menang secara tipu-muslihat. Buktinya, senarai daftar pemilih yang kotor dan meragukan, terutama di Selangor. Bukti ini sebenarnya lebih panjang lagi.


Bagaimanapun, sebagai pengamal media yang prihatin dengan tuntutan proses pilihan raya yang adil dan bersih, saya mengharapkan reaksi awal kerajaan terhadap isu akses media dan tempoh minimum kempen perlu disambut tetapi hendaklah diperhalusi agar situasi "padang permainan sama rata" dapat dijelmakan.

Apabila saya agak kerap menimbulkan hal ini, terutama melalui program Kumpulan Aktivis Media Independen (KAMI) dan kenyataan akhbarnya, ramai yang memandang sinis dan melihat usaha itu sebagai sia-sia sahaja.

Ya, masakan Umno-BN yang berada di tepi jurang curam dan dalam, masih mahu berbicara soal mewujudkan proses pilihan raya yang benar-benar demokratik dan bebas daripada sebarang penipuan dan manipulasi?

Kita tidak dapat membayangkan kegerunan pemimpin Umno-BN, terutama yang bergelumang dengan pelbagai skandal dan dosa politik, berdepan dengan hukuman rakyat nanti. Tanpa kuasa -- khususnya buat pertama kali di peringkat persekutuan -- segala imuniti dan kekebalan tertanggal seluruhnya.

Apa pun, saya kira Najib Razak tidak mempunyai banyak pilihan. Misalnya, beliau terpaksa memansuhkan ISA, tentunya bukan kerana kejujuran dan keikhlasan untuk memartabatkan keadilan, tetapi disebabkan sudah "diasak ke dinding".

Malah kerajaan sememangnya tidak lagi dapat memperalatkan ISA sesuka hati untuk memenjarakan musuh atau seteru politiknya, disebabkan kesedaran merata rakyat terhadap isu-isu hak asasi dan sebagainya. (Mungkin agak sukar kita mengingati siapa mangsa ISA terakhir daripada kalangan tokoh-tokoh politik; ia lebih membabitkan aktivis yang dikaitkan dengan keganasan dan militan ....)

Begitu juga dengan janji-janji untuk memulihkan demokrasi terpaksa dilafaz Najib semasa malam Hari Malaysia tahun lalu, pastinya bukan disebabkan keikhlasannya untuk menamatkan amalan zalim turun-temurun regim BN. (Secara peribadi saya tidak gemar dengan istilah "ikhlas dan jujur" dalam politik; ia perlu terus diasak dan ditekan secara konsisten).

Ia didorong oleh tindakan politik penguasa bagi merebut kepercayaan dan keyakinan rakyat, yang semakin terbuka dan terdedah dengan proses pendemokrasian sejagat, seperti ditandai oleh Arab Spring dan seumpamanya. Pilihan agar dilihat lebih terbuka dan demokratik hanya merupakan antara talian hayat terakhir yang masih tinggal.

Sang diktator yang mengawal ketat setiap pergerakan rakyatnya pun tidak mampu mengepung wilayah negara daripada "wabak pendemokrasian" ini, apatah lagi teknologi ICT dan fenomena langit terbuka sudah merata serta tidak mampu disekat lagi.

Dan saya melihat penubuhan Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen (PSC) berhubung penambahbaikan proses pilihan raya adalah kemenangan moral buat Bersih 2.0. Kerajaan akhirnya terpaksa tunduk dengan aksi protes jalan raya. Manakala beberapa rumusan awal, seperti penggunaan dakwat kekal, merupakan "keputusan terpaksa" bagi melunakkan kemarahan rakyat dan pembangkang.

Hinggakan, Pengerusi SPR, Abdul Aziz Mohd Yusof terpaksa meluahkan rasa kecewanya apabila beberapa langkah pembaharuan, misalnya dakwat kekal, tidak disambut dengan lafaz terima kasih oleh pemimpin Pakatan Rakyat.

Apabila membaca kenyataan Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Dr Rais Yatim, pada 22 Mei lalu, bahawa kerajaan akan meneliti saranan SPR agar parti-parti politik di negara ini termasuk pembangkang diberikan akses siaran televisyen secara bebas dan adil, saya menarik nafas lega.

Kata Rais, kertas kabinet mengenai hal itu sudahpun disiapkan. Semestinya ia dibincangkan dengan semua parti yang bertanding serta NGO media yang prihatin dengan isu ini, khasnya Bersih.

Sekurang-kurangnya isu akses media ini terpaksa juga disambut kerajaan. Sebelum itu, Timbalan Pengerusi SPR, Wan Ahmad Wan Omar memberi jaminan akan mempertimbangkan tempoh kempen lebih lama dalam PRU13 nanti. (Alasan bertulis SPR sebelum ini untuk meremehkan tuntutan tempoh minimum kempen 21 hari adalah dangkal dan tidak diasaskan kepada fakta).

Saya dan KAMI kerap menekankan dua tuntutan penting Bersih itu, yang agak dipandang remeh, iaitu akses media yang adil dan saksama, serta tempoh kempen minimum 21 hari, termasuk melalui Konvensyen Akses Media Dalam PRU13 pada 12 Mei lalu, di Hotel Nouvelle, Sri Kembangan.

Rais berkata, ia bagi membolehkan parti-parti berkenaan menyampaikan manifesto mereka kepada rakyat. "Kerajaan telah menerima permohonan SPR supaya memperuntukkan masa kepada parti-parti politik berkempen di televisyen. Sebenarnya kita telah menyediakan satu kertas cadangan yang akan dibentangkan ke Kabinet tidak lama lagi," tambahnya.

Ia susulan permohonan SPR agar kerajaan memberikan masa siaran televisyen kepada semua parti politik ketika kempen PRU13.

Ya, kerajaan BN terpaksa melakukan sesuatu bagi menampakkan, sekurang-kurangnya, ia tidak berada pada tahap lebih buruk berbanding kerajaan junta Myanmar, yang bersedia memberi airtime saluran TV kerajaan kepada pejuang demokrasi Aung San Suu Kyi, dalam pilihan raya kecil negara itu baru-baru ini.

Kerajaan autoritarian Singapura juga memberikan akses kepada pembangkang untuk muncul di kaca TV yang dikawal kerajaan, khususnya untuk menjelaskan manifesto kepada pengundi. Difahamkan transkrip ucapan itu kemudiannya disiarkan dalam akhbar harian esoknya.

Saya kira SPR juga wajar mengendalikan debat politik di TV, membabitkan tokoh-tokoh utama parti-parti yang bertanding, seperti dimulakan oleh Sinar Harian, yang mempertemukan Khairy Jamaluddin dan Rafizi Ramli, baru-baru ini. Apa pun, seperti saya tegaskan di awal tadi, isu akses media ini perlu diperdebat dan perhalusi lagi.

1 comment:

  1. kenapa takut sangat memberi siaran kepada pihak yang satu lagi

    saya juga ingin tahu apakah pihak pembangkang cakap tak serupa bikin

    kalau takut untuk beri masa siaran pada pembangkang, benarkan mereka buat radio/ tv sendiri

    http://mystarmovies.com

    ReplyDelete